Manusia sering kali berwacana dalam kerangka yang pelbagai bagi mewujudkan suatu peraturan yang merangkumi aspek yang seimbang dan bersifat sejagat. Sejarah pembentukan undang-undang, misalnya, akan sentiasa dipinda dan digubal bagi memastikan selari dengan tuntutan peredaran zaman.
Malah tidak cukup dengan itu, pelbagai idealisme yang muncul di bawah pelbagai tema falsafah turut mengisi ruang membantu merungkai kebuntuan umat manusia untuk memastikan undang-undang yang dibuat ini akan lebih inklusif, bersifat universal (menyeluruh) dan diterima orang ramai.
Namun begitu, sepandai-pandai manusia, tiada siapa yang mampu mencipta peraturan dan undang-undang sesempurna syariat atau undang-undang daripada Allah SWT.
Salah satu prinsip yang menjadi keistimewaan dalam undang-undang syariat Islam ialah terkandungnya nilai memberikan kemudahan dan mengangkat kesukaran. Dalam bahasa yang lebih mudah difahami, syariat Islam yang diciptakan oleh Allah mempunyai nilai kemudahan dan bukan bertujuan membebankan.
Bahkan Allah SWT sebagai pencipta syariat perundangan Islam, tidak mahu membebankan para hamba-Nya kerana melakukan tuntutan syariat tersebut.
Hal ini adalah sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran menerusi pelbagai surah bagi menegaskan sifat Allah yang tidak mahu membebankan hamba-Nya. Misalnya, firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:
“(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”
Begitu juga firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat 6 yang bermaksud:
“Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu supaya kamu bersyukur.”
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran tersebut, jelas bahawa Allah SWT telah mengurniakan suatu syariat perundangan Islam yang bersifat mudah untuk dilaksanakan. Malah sepertimana yang telah disebutkan, Allah SWT tidak berkehendak untuk membebankan para hamba-Nya melalui perundangan syariat Islam yang telah ditetapkan.
Maka untuk itu, kita akan melihat betapa syariat perundangan Islam itu berdiri bersendikan nilai memberi kemudahan dan mengangkat kesukaran. Nilai kemudahan dalam Islam dapat dilihat berdasarkan pensyariatan atau perundangan Islam yang diturunkan oleh Allah SWT untuk sekalian hamba-Nya.
Sebagai contoh, adalah menjadi kewajiban umat Islam membersihkan diri daripada hadas atau kekotoran sebelum melaksanakan ibadah wajib seperti solat fardu. Bagi tujuan tersebut, maka disyariatkan untuk berwuduk atau dalam bahasa mudah mengambil air sembahyang.
Melalui pensyariatan berwuduk, Allah SWT telah memerintahkan para hamba-Nya membersihkan diri sebelum melaksanakan solat. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah menerusi al-Quran dalam surah al-Maidah ayat 6 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”
Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya membersihkan diri sebelum solat dengan berwuduk menggunakan air yang bersih lagi menyucikan.
Malah Allah SWT turut menjelaskan langkah-langkah untuk berwuduk. Namun begitu, nilai kemudahan dalam syariat Islam akan dapat dilihat pada sambungan ayat dalam surah yang sama. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“…Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang daripada kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang bersih, iaitu sapulah muka kamu dan kedua-dua belah tangan kamu dengan tanah (debu) itu…”
Dalam konteks ini, Allah SWT yang Maha Mengetahui akan hamba-Nya telah memberikan keringanan atau kemudahan bagi mereka yang sakit yang tidak boleh terkena air atau mereka yang mendapati di tempat mereka tiada air, maka diperintahkan oleh Allah untuk bertayamum sebagai gantian kepada wuduk.
Ia bermaksud, terdapat kelonggaran yang diberikan oleh Allah melalui pensyariatan perundangan Islam bagi mereka yang mempunyai kekangan berkaitan masalah air, maka diberikan jalan keluar dengan bertayamum menggunakan debu tanah.
Selain itu, nilai memberikan kemudahan dan mengangkat kesukaran dalam syariat perundangan Islam dapat dilihat melalui ibadah puasa pada bulan Ramadan. Umum mengetahui, pada bulan Ramadan, umat Islam diwajibkan berpuasa sebulan sepertimana yang pernah dilakukan oleh umat terdahulu.
Pun begitu, terdapat keringanan bagi mereka yang sakit sehingga tidak mampu berpuasa, sakit kerana keuzuran dan begitu juga halnya bagi mereka yang berkelana (bermusafir), Allah SWT memberikan keringanan untuk mereka berbuka puasa.
Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Allah SWT dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 184, firman Allah bermaksud:
“(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”
Secara asasnya, Islam datang dengan membawa syariat perundangan yang bukan sama sekali bertujuan memaksa, mendera mahupun menyeksa para penganutnya. Bahkan Allah yang Maha Mengetahui pastinya lebih tahu dan faham akan kemampuan para hamba-Nya.
Oleh sebab itulah kita akan melihat bagaimana dalam keadaan terpaksa atau terdesak untuk kita melakukan perkara yang haram seperti memakan makanan yang haram, maka kita diberikan kelonggaran untuk melakukannya sekadarnya sahaja dan tidak melampaui batas.
Hal ini disebutkan oleh Allah Azzawajalla dalam surah al-Baqarah ayat 173 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Demikianlah Allah memberikan kemudahan bagi mereka yang berada dalam keadaan terpaksa atau terdesak untuk melakukan hal yang ditegah pada asalnya. Biarpun begitu, kelonggaran tersebut bukanlah bermaksud kita boleh selamanya melakukan hal yang haram tersebut.
Islam juga melalui syariat solat membuktikan betapa toleransinya Allah kepada hamba-Nya. Apabila mereka yang tidak mampu berdiri untuk menunaikan solat, mereka diharuskan untuk solat dalam keadaan duduk. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, ‘Imran bin Husin r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri), maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.”
Demikianlah sebahagian dalil, bukti dan hujah yang menunjukkan nilai kemudahan yang terdapat dalam syariat perundangan Islam.
Banyak lagi yang boleh disebut, namun memadailah secara asas untuk kita faham bahawa Allah SWT telah mencipta perundangan hukum-hakam Islam yang disebut sebagai syariat Islam bukanlah bertujuan untuk menyusahkan atau membebankan para manusia.
Sebaliknya terdapat nilai kemudahan yang memberikan keringanan kepada mereka yang tidak mampu melaksanakannya. Namun begitu, dalam kita memahami Islam sebagai suatu agama yang bersifat mudah, ia tidak pula bermakna kita boleh dengan sengaja bermudah-mudah sambil lewa dalam melaksanakan syariat Nya.
Bersikap jujurlah di hadapan Tuhan yang pastinya tidak ada siapa yang boleh menipu Allah SWT. Semoga Allah merahmati kita semua.
Muhammad Faidhi Azis
Aktivis Rakan Hidayah Perlis