Bahaya Sikap Ghuluw: Bersedehanalah Dalam Beragama

Profesor HAMKA pernah berkata, “Iman tanpa ilmu bagaikan lentera di tangan bayi. Namun ilmu tanpa iman, bagaikan lentera di tangan pencuri.”

Metafora yang diwarisi daripada HAMKA ini mengingatkan kita tentang kepentingan ilmu dan iman seseorang. Iman yang tidak disertai dengan ilmu diumpamakan seperti lampu di tangan bayi yang dirinya tidak tahu bagaimana menggunakan dengan betul untuk menerangi jalan atau melindungi dirinya daripada bahaya.

Begitu juga, iman tanpa ilmu tidak cukup untuk memandu seseorang dalam kehidupan. Tanpa pemahaman dan pengetahuan yang mendalam, iman itu mungkin tidak dapat membantu seseorang dalam membuat keputusan yang bijaksana atau mengamalkan ajaran agama dengan cara yang betul.

Sebaliknya, ilmu yang tidak disertai dengan iman diumpamakan seperti lampu di tangan pencuri. Pencuri mungkin tahu bagaimana menggunakan lampu untuk mencari dan mengambil barang, tetapi tujuan penggunaannya adalah untuk melakukan kejahatan.

Ini menunjukkan bahawa ilmu, jika tidak diiringi dengan iman dan nilai moral, boleh disalahgunakan untuk tujuan yang tidak baik, seperti menipu, menyalahgunakan kuasa atau melakukan perbuatan yang merosakkan.

Simptom ilmu yang tidak kukuh

Mutakhir ini, wujud satu fenomena yag kurang senang dalam masyarakat Malaysia, bahkan menjangkiti sekelompok umat Islam di serata dunia.  Fenomena ini jika tidak dibendung, boleh menimbulkan kesan negatif terhadap keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat di negara yang kita cintai ini.

Fenomena ghuluw (melampaui batas) terdapat dalam mana-mana aspek kehidupan. Apa yang saya maksudkan pada pagi ini ialah ghuluw dalam kalangan umat di Malaysia.

Fenomena ini  merujuk kepada sikap atau amalan yang berlebihan atau melampaui batas dalam aspek tertentu ajaran agama, yang boleh membawa kepada perpecahan, kekeliruan dan konflik dalam masyarakat.

Jika diperhatikan, gejala-gejala kepada fenomena ini ada terdapat dalam masyarakat. Contohnya gejala takfir iaitu mengkafirkan orang lain.

Wujud segelintir kelompok yang mudah mengkafirkan atau menyesatkan orang lain hanya kerana perbezaan pandangan mahupun amalan dalam perkara-perkara yang bersifat cabang (furu’) dalam agama.

Sikap ini bukan sahaja melampaui batas tetapi juga bertentangan dengan prinsip Islam yang mengutamakan kasih sayang dan persaudaraan.

Begitu juga dengan sikap berlebihan dalam amalan zahir. Contohnya terdapat golongan yang sangat menitikberatkan aspek zahir seperti penampilan dan pakaian, hingga mengabaikan aspek rohani juga akhlak.

Selain itu, ia mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh syariat seperti bentuk pakaian tertentu yang dianggap lebih Islamik, walaupun tidak ada dalil yang jelas mengenainya.

Selain itu, kita dapat melihat sekumpulan puak yang bersikap fanatik kepada mazhab atau aliran pemikiran tertentu.

Fanatik atau taasub boleh juga berlaku terhadap individu, tuan guru, ketua kumpulan mahupun guru-guru.  Sikap ini boleh menghalang perbincangan ilmiah dan menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Tunggangan agama dan politik

Memburukkan lagi keadaan apabila fenomena ghuluw ini berlaku dalam arena politik yang menggunakan agama, sebagaimana yang dapat dilihat kecenderungan sesetengah pihak menggunakan agama sebagai alat politik untuk meraih sokongan, hingga menyebabkan perpecahan dalam masyarakat.

Slogan-slogan agama yang melampaui batas sering digunakan untuk meraih pengaruh, walaupun tindakan tersebut boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.

Fenomena ghuluw ini bukan sahaja terdapat dalam golongan masyarakat biasa, tetapi juga menular dalam kalangan para agamawan.

Maka, dapat dilihat sesetengah agamawan mempunyai pendekatan hukum yang keras, memperketatkan hukum-hukum agama tanpa mempertimbangkan konteks dan keadaan semasa.

Sikap ini boleh membelakangkan maslahah, rahmah dan keindahan Islam yang sepatutnya menyediakan solusi kepada persoalan-persoalan yang dihadapi oleh umat.

Malah, pendekatan yang terlalu rigid ini boleh menyebabkan masyarakat berasa tertekan dan terasing daripada ajaran Islam yang sebenarnya bersifat rahmah juga toleran.

Menjadi persoalan dan tanda tanya, mengapa fenomena ini berlaku pada hari ini? Kita hidup pada zaman yang serba maju dari segi sains dan teknologi yang bergerak pantas ke depan, sedangkan sikap ini mengekang dan menarik umat Islam ke belakang dan menambah kemunduran.

Pepatah Arab ada mengatakan, “Manusia menjadi musuh kepada apa yang tidak diketahuinya.”

Justeru, sikap-sikap yang ada pada fenomena tadi berpunca daripada sikap tidak memahami tentang agama Islam yang sebenar. Kita semua harus sedar bahawa yang mempengaruhi tindakan seseorang ialah apa yang ada di dalam kepala dan dadanya.

Yang di dalam kepala ialah ilmu pengetahuan serta kefahaman, manakala yang di dalam dada ialah kepercayaan serta nilai yang terbentuk hasil daripada ilmu dan persekitaran. Inilah yang ditekankan oleh Hamka sebelum ini.

Mula rawatan daripada mana?

Fenomena ghuluw dalam masyarakat Malaysia boleh dirawat melalui pendekatan pendidikan agama yang seimbang. Sebagai contoh, dalam sistem pendidikan, silibus pengajaran agama perlu memasukkan elemen toleransi dan keterbukaan.

Setiap isu yang diperbincangkan dalam hukum-hakam mestilah dalam keadaan meraikan semangat ukhuwah dan adab perbezaan pendapat.

Sekolah-sekolah boleh menganjurkan program dialog antara pelajar daripada pelbagai latar belakang etnik dan agama. Tak kenal maka tak cinta. Namakan sahaja, kebanyakan persepsi yang salah dan sika prejudis berpunca daripada sikap tidak ingin ambil tahu dan kenal orang yang berlainan daripada diri.

Dialog-dialog sebegini akan membantu masyarakat daripada pelbagai lapisan untuk  memahami situsia daripada pelbagai perspektif, bahkan setelah itu akan membina hubungan yang lebih baik sesama sendiri.

Di samping itu, penglibatan institusi agama memainkan peranan penting dalam menangani fenomena ghuluw. Contohnya, masjid boleh mengadakan ceramah dan kelas pengajian yang menekankan nilai-nilai sederhana dalam Islam serta menyampaikan mesej menentang ekstremisme.

Penceramah yang dihormati dan berpengalaman dapat memberikan tafsiran yang lebih inklusif terhadap ajaran Islam. Kawalan pada sudut kebenaran mengajar ataupun permit sahaja tidak mencukupi.

Ruang-ruang masjid dan surau perlu dipenuhkan dengan ilmu-ilmu yang benar dan positif, berasaskan nilai yang inklusif.

Nilai-nilai seperti wasatiyyah, kesederhanaan, meraikan pandangan yang berbeza, menerima perbezaan pada sudut amalan dan kepercayaan mestilah disebar suburkan oleh semua, bukan sahaja pihak berkuasa.

Dengan cara ini, mereka dapat membantu masyarakat mengenali bahaya pemikiran ghuluw dan menawarkan alternatif yang lebih positif, seterusnya mendorong pengamalan agama yang lebih sederhana dan damai.

Apa yang penting, janganlah bertanya mengapa mereka begini, sebaliknya tanyalah diri, apa yang telah diperbuat dalam hal ini.

Moga-moga anak cucu, generasi kita akan mengenali ghuluw hanya sebagai sejarah silam, bukanlah satu sikap yang diwarisi tanpa ada nokhtahnya.

Dr Hamidah Mat
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia