SHAH ALAM – Seramai 46 orang peserta telah menghadiri program Training the Trainers (TTT) Jom Mengaji dan Mengajar Mengaji (JoMMM) bersama Dr. Pauziah Mohd Arsad anjuran Wanita IKRAM Selangor yang berlangsung hari ini, 3 Ogos di Pejabat IKRAM Selangor.
Program yang diadakan dengan tujuan melatih dan melahirkan lebih ramai Pembimbing Jom Ngaji (PJN) dalam kalangan ahli IKRAM dan bukan ahli di kawasan-kawasan seluruh Selangor itu turut menyaksikan ramai di antara peserta yang hadir telah pun aktif berperanan membimbing komuniti di tempat masing-masing untuk membaca dan memperelok cara bacaan al-Quran.
Antara peserta termuda, Muhamad Fitri Ashari Muhamad Faizan, 16 yang hadir bersama ibunya ketika ditanya turut terlibat membimbing kanak-kanak yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) HICOM Seksyen 26, Shah Alam yang baru mula membaca al-Quran.
Sementara itu, Dr. Pauziah dalam penyampaiannya mendedahkan teknik mengajar tajwid secara mudah dan santai serta berkongsi pelbagai tips dan panduan kepada para peserta.
Program kali ini melibatkan penyertaan kumpulan peserta yang baharu selepas penganjurannya buat kali pertama pada September tahun lalu melibatkan kumpulan pertama yang telah tamat pada Mei lepas.
Dalam perkembangan sama, pihak penganjur berharap agar program-program tilawah, tahsin dan tadabbur al-Quran akan terus subur dalam kalangan komuniti setempat selain menjadi salah satu inisiatif yang dapat mendidik masyarakat untuk menghayati al-Quran dan mencintai ilmu pengetahuan.
Turut hadir, Ketua Wanita IKRAM Selangor, Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman dan Setiausahanya, Roselinee Mohammad Radzi. Program berakhir sekitar jam 12.30 tengah hari.