Hijrah Nabi ke Madinah: Kepentingan Niat kepada Muslim

Bulan Muharam yang menjelang saban tahun mengingatkan kita kepada beberapa perkara. Bagi yang peka dan kasihkan Rasulullah SAW dan para sahabat, peristiwa Hijrah amat membekas di dalam hati.

Seperti dapat dibayangkan dalam kotak fikiran, keperitan Rasulullah SAW berhijrah merentasi padang pasir dari Kota Makkah ke Yathrib demi kesinambungan sebuah akidah yang mulia.

Imam an-Nawawi telah memilih sebuah hadis tentang hijrah dan memuatkannya dalam buku hadis 40 beliau iaitu:

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin Umar bin al-Khattab r.a. katanya, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

Hanya sesungguhnya segala amal itu bergantung dengan niat. Dan sesungguhnya bagi setiap manusia apa yang diniatkannya. Maka barang siapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehnya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ia hijrahkan.

Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ini menyampaikan mesej kepada umat Islam akan peri pentingnya sebuah niat dalam perbuatan. Meskipun hijrah bukanlah sebuah ibadah khusus dalam Islam, namun peristiwa tersebut menjadi pengajaran besar kepada umat Islam, menjangkaui bidang ibadah yang khusus.

Buktinya, pada akhir hadis di atas, Rasulullah SAW menyentuh tentang niat mereka yang berhijrah. Jika hijrah yang dilakukan bukanlah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka tiada pahala yang diperoleh daripada perbuatan tersebut.

Hijrah bukanlah perkara mudah, bukan juga perkara kecil. Hijrah memerlukan pengorbanan dan kesungguhan. Hijrah umumnya melibatkan perubahan pada tempat atau suasana. Hijrah juga boleh melibatkan amalan dan diri seseorang pada masa-masa yang tertentu.

Hijrah kerana apa?

Kisah lelaki yang berhijrah dan perempuan yang dimaksudkan dalam hadis tersebut merujuk kepada seorang sahabat bernama Hatib bin Balta’ah yang mencintai seorang gadis bernama Ummu Qais.

Dikhabarkan beliau telah meminang Ummu Qais tetapi pinangannya ditolak. Sewaktu orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, Ummu Qais juga turut berhijrah. Hatib yang masih cintakan Ummu Qais pun turut berhijrah dengan harapan dapat memujuk Ummu Qais untuk mengahwininya.

Perkara tersebut diberitahu kepada Rasulullah SAW lalu baginda menegur perbuatan itu kerana hijrah Hatib bukan kerana Allah dan Rasul-Nya, malah kerana perempuan yang dikasihinya.

Walaupun akhirnya Hatib dapat berkahwin dengan kekasihnya, dia tidak mendapat apa-apa ganjaran daripada hijrahnya.

Mesej daripada hadis di atas ialah pentingnya niat dalam setiap perbuatan seorang Muslim. Niat bermaksud azam atau tekad melakukan sesuatu ibadat semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Al-Ghazali menyatakan bahawa niat ialah sifat hati yang mendorong sesuatu tindakan dengan dipengaruhi oleh pengetahuan. Beliau menyifatkan niat sebagai moderator antara ilmu dan tindakan. Niat juga adalah keinginan yang bersesuaian dengan maksud yang ingin dicapai sama ada pada masa sekarang atau masa akan datang.

Dalam bahasa yang mudah, niat berperanan membezakan antara perbuatan adat dengan perbuatan yang diberi ganjaran (ibadah).

Sebagai contoh, duduk berehat di dalam masjid tidak mendapat apa-apa ganjaran daripada Allah SWT, tetapi duduk dengan niat iktikaf akan diberi pahala oleh Allah SWT.

Dalam konteks fiqh ibadah, niat telah menjadi satu perbincangan yang mendalam dalam kalangan para fuqaha. Mereka telah merumuskan satu kaedah fiqh iaitu الأمور بمقاصدها  yang bermaksud “Setiap perkara dengan apa yang diniatkan.”

Kaedah ini menjadi rujukan semua hukum fiqh, bukan sahaja ibadah, malah menjangkaui hukum-hukum berkaitan muamalat, munakahat, jinayat dan lain-lain.

Niat lambang sebuah kesungguhan

Jika dinilai semula, kepentingan niat ialah pada kedudukannya yang menentukan kesungguhan seseorang dalam melakukan tindakannya. Niat akan menjadikan seseorang bersedia dan sedar akan setiap perbuatannya.

Penghayatan kepada niat akan menjadikan kita bersungguh-sungguh dalam setiap perbuatan kerana akan melakukan sesuatu tindakan dengan penuh kesedaran, kefahaman dan benar-benar melakukan perbuatan tersebut dengan tujuan yang jelas.

Selain aspek pahala, niat mempunyai peranan besar dalam menentukan kualiti sebuah perbuatan. Niat menjadikan seseorang mempunyai tujuan yang jelas dalam sesebuah tindakan, seterusnya melahirkan konsistensi dan istiqamah.

Natijahnya, perbuatan tersebut akan dilakukan dengan fokus dan bersungguh-sungguh hingga mencapai tujuan yang diinginkan atau diperlukan.

Niat penentu keikhlasan

Niat berkait rapat dengan keikhlasan. Imam al-Ghazali berpandangan niat ialah sifat hati yang mendorong sesuatu tindakan dengan dipengaruhi oleh ilmu dan kehendak serta kemampuan.

Analogi lainnya, niat boleh menjadi ‘orang tengah’ antara ilmu dan tindakan. Niat juga adalah keinginan yang bersesuaian dengan maksud yang ingin dicapai sama ada pada masa sekarang atau masa akan datang.

Tidak terkecuali, keikhlasan penting kerana tanpanya sesuatu tindakan tidak membawa manfaat ukhrawi tetapi sekadar memperoleh manfaat  duniawi. Misalnya, seseorang yang makan hanya untuk kenyang semata-mata, maka dia tidak memperoleh apa-apa selain kekenyangan sahaja.

Sepatutnya tindakan makan tersebut diniatkan untuk memperoleh kekuatan bagi tujuan beribadah kepada Allah SWT untuk manfaat duniawi dan ukhrawi.

Menurut al-Ghazali lagi, niat dibahagikan kepada tiga kategori iaitu niat yang ikhlas kerana Allah, niat yang bercampur aduk antara ikhlas dan tidak ikhlas serta niat yang tidak ikhlas.

Niat yang jelas diterima atau yang betul serta berpahala ialah niat yang ikhlas kerana Allah. Syarat niat yang ikhlas ialah tujuan melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah serta mematuhi syariat dan sunnah.

Antara pendorong kepada niat yang ikhlas ialah perasaan takut kepada azab Allah, taat kerana syurga yang dijanjikan dan cinta kepada Allah juga Rasul melebihi yang lain. Ketiga-tiga pendorong ini perlu disuburkan dari semasa ke semasa dengan ilmu serta kefahaman yang jelas tentang syariah sebagai panduan hidup.

Hakikatnya, fungsi niat ialah melahirkan seorang individu yang sentiasa sedar akan setiap perbuatannya. Niat juga menjadikan seorang Muslim jelas dan fokus dalam perbuatannya. Fokus ini akan menatijahkan kesungguhan dan perbuatan yang dilakukan akan berjaya seterusnya berkualiti tinggi.

Oleh yang demikian, niat perlu seiring sepanjang perbuatan dilakukan, bukan pada permulaannya sahaja. Hal ini bermakna, niat perlu hidup dan segar pada setiap perbuatan, bermula dari awal hingga akhirnya. Sebarang perubahan pada niat akan merubah perjalanan sebuah perbuatan dan sasarannya.

Begitulah penghayatan kepada sebuah kisah Hijrah. Kisah ini dan pengajarannya akan sentiasa subur, malar dan segar dalam diri seorang mukmin yang kenal akan Penciptanya, cinta akan Rasulnya dan hormat akan syariah yang menjadi panduan hidupnya.

Dr Hamidah Mat
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia