Program ini adalah anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Selangor dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor, Wanita Berdaya Selangor, Wanita IKRAM Selangor, Pantai Hospital Ampang, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS).
Sepanjang program ini, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan termasuklah Ujian Subsidi Mamogram, Ujian Saringan Kanser Serviks HPV-DNA dan Saringan Kesihatan secara percuma.
Kira-kira 60 ahli Wanita IKRAM Selangor telah hadir memanfaatkan perkhidmatan yang diberikan. Selain itu, turut diadakan Terapi KASIH Ibu: Mindfullness De-Stress, Urutan Seri Wajah Ibu, Forum Terima KASIH ibu dan Urutan Kesejahteraan Wanita (MamaCare). Ini adalah salah satu inisiatif untuk menghargai pengorbanan ibu di samping memberi perhatian sewajarnya bagi memenuhi keperluan psikologi dan kesejahteraan emosi para ibu.
Forum Terima KASIH Ibu telah dikendalikan oleh Penolong Pengarah Kanan LPPKN, Encik Fairul Desa, selaku moderator dan 2 ahli panel yang berpengalaman iaitu Kaunselor Berdaftar, Puan Dzilal Abdul Aziz dan Pakar Obstetik dan Ginekologi, Pantai Hospital Ampang, Dr. Suhaimi Isa.
Sambutan Hari Ibu yang bertemakan Terima KASIH Ibu ini telah dirasmikan oleh EXCO Pembangunan Wanita Dan Kebajikan Masyarakat Kerajaan Negeri Selangor, YB Puan Anfaal Saari.
Dalam ucapannya beliau berkata, “Ibu yang sejahtera dari segi pengurusan emosi dan tingkah laku akan membentuk keluarga yang bahagia dan berdaya tahan seterusnya mencapai kemuncak mawaddah wa rahmah.”
Turut hadir meraikan ibu-ibu dari seluruh Selangor pada sambutan kali ini ialah Pengarah LPPKN Negeri Selangor, Puan Shafareeza Ismayatim, Pengurus Kanan Operasi Wanita Berdaya Selangor, Puan Nurul Imma Mansor, Yang Dipertua IKRAM Negeri Selangor, Prof. Madya Dr. Muhammad Azhar Zailani, Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Ampang, Puan Chong Soon Mei, Penolong Pengarah Unit Pemberdayaan Wanita & Keluarga, Puan Norazilawati Md Azizi, Pengarah Pembangunan Wanita Negeri Selangor, Puan Nazma Marlizan dan Ketua Wanita IKRAM Selangor, Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman.
Puan Rahamah Mohtar, aktivis Wanita IKRAM Kuala Selangor yang telah dipilih sebagai penerima Anugerah Inspirasi Ibu peringkat kebangsaan juga turut dijemput memeriahkan sambutan kali ini.