Seni dan Kemahiran Berfikir dalam Fiqh Implikasi

Seni dan Kemahiran Berfikir Dalam Fiqh Implikasi | IKRAM

Manusia merupakan makhluk yang mulia dan sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT. Salah satu daripada kemuliaan itu ialah dikurniakan akal untuk berfikir.

Dalam al-Quran banyak sekali anjuran supaya manusia menggunakan akal untuk berfikir – berfikir sebelum bertindak, berfikir untuk mengenal Tuhan, berfikir untuk mengenal diri.

Berfikir perlu dalam segala hal bersangkutan kehidupan di dunia mahupun akhirat. Meskipun dunia hari ini sudah maju dengan pelbagai pencapaian kemajuan teknologi, berfikir masih perlu. 

Berfikir ialah sebuah proses 

Berfikir yang paling utama ialah berfikir yang membawa kepada mengenali Tuhan dan diri sendiri. Hal ini ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. dalam perjalanan baginda mencari Tuhan.

Ia bermula ketika Nabi Ibrahim a.s. melihat bintang yang bercahayaf dan menyangka bahawa itu adalah Tuhan. Namun ketika bintang itu hilang di langit daripada pandangan mata, Ibrahim a.s. pun tidak percaya bahawa bintang adalah Tuhan. 

Kemudian Nabi Ibrahim a.s. melihat bulan dan berfikir bahawa itu adalah Tuhan. Setelah bulan menghilang pada pagi hari, baginda sedar bahawa bulan juga bukan Tuhan. 

Menjelang pagi apabila baginda melihat matahari, baginda berfikir bahawa matahari ialah Tuhan kerana saiznya yang lebih besar daripada bintang dan bulan. Bagaimanapun, ketika matahari terbenam dan waktu malam tiba, baginda sedar bahawa matahari juga bukanlah Tuhan.

Proses berfikir yang dijalani oleh Nabi Ibrahim a.s. sampai kepada satu kesimpulan bahawa sesuatu yang nampak dengan mata bukanlah Tuhan kerana Tuhan tidak akan pernah hilang. 

Perjalanan fikiran Nabi Ibrahim dirakamkan dalam surah al-An’am ayat 76-78 sebagai pedoman kepada kita bahawa berfikir ialah sebuah proses, bukan tujuan.

“Ketika malam telah menjadi gelap, dia (Ibrahim) melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata, ‘Inilah Tuhanku.’ Maka, ketika bintang itu terbenam dia berkata, ‘Aku tidak suka kepada yang terbenam.’ Kemudian, ketika dia melihat bulan terbit dia berkata (kepada kaumnya), ‘Inilah Tuhanku.’ Akan tetapi, ketika bulan itu terbenam dia berkata, ‘Sungguh, jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk kaum yang sesat.’ Kemudian, ketika dia melihat matahari terbit dia berkata (lagi kepada kaumnya), ‘Inilah Tuhanku. Ini lebih besar.’ Akan tetapi, ketika matahari terbenam dia berkata, ‘Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri daripada yang kamu persekutukan.'” 

Kemahiran yang mesti ada

Pada masa kini, berfikir merupakan satu kemahiran yang perlu dipelajari. Selaras dengan peri pentingnya proses berfikir itu, berfikir menjadi satu proses yang lebih kompleks. 

Proses yang kompleks ini berlaku dalam minda apabila seseorang itu memikirkan tentang sesuatu. Ia melibatkan pengendalian operasi mental tertentu atas pengetahuan dan pengalaman dalam minda manusia. Operasi-operasi mental itu terdiri daripada operasi kognitif dan operasi metakognitif. 

Operasi kognitif ialah kemahiran berfikir yang biasa kita lakukan seperti membanding dan membezakan, menaakul, merumus, mereka cipta dan mengeluarkan idea. Operasi metakognitif pula ialah apabila kita membuat refleksi terhadap sesuatu. 

Oleh itu, kita perhatikan elemen kemahiran berfikir merupakan perhatian besar yang diberikan oleh para pendidik dalam pendidikan, terutamanya pada peringkat sekolah. Bukan sahaja kemahiran berfikir perlu diajar, malah kemahiran berfikir aras tinggi juga sering diperkatakan.

Kemahiran berfikir aras tinggi bermaksud keupayaan untuk mengaplikasikan dan menggunakan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu. 

Kemahiran berfikir ini penting bukan sahaja dalam kelas-kelas pembelajaran, malah dalam kehidupan manusia secara amnya. 

Sunah yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. yang disebutkan sebelum ini merupakan satu proses berfikir aras tinggi yang kompleks untuk mengenal Tuhan.

Kisah ini perlulah diberikan perhatian oleh semua umat Islam kerana ia boleh menjadi inspirasi bagaimana menggunakan kemahiran berfikir dalam kehidupan.

Berfikir aras tinggi perlulah disandarkan kepada nilai-nilai murni demi menghasilkan natijah yang baik demi kesejahteraan manusiawi sejagat. Dalam hal ini, prinsip-prinsip syarak telah menyediakan nilai-nilai sejagat yang sesuai demi meneruskan kesejahteraan kehidupan manusia dalam sebuah peradaban yang tinggi.

Fiqh implikasi: Fikir sebelum bertindak 

Salah satu prinsip yang disediakan oleh syariah ialah fiqh implikasi. Istilah ini mungkin baharu bagi sesetengah orang, tetapi isi kandungannya telah wujud ketika zaman Rasulullah SAW lagi.

Jika disorot zaman penurunan wahyu dan pembinaan hukum-hukum Islam, Rasulullah SAW telah menunjukkan teladan kepada kita tentang cara yang berhikmah ini.

Fiqh implikasi bermaksud melihat kepada kesudahan dan natijah sesuatu perbuatan sama ada baik atau buruk, dan sama ada diniatkan oleh orang yang melakukan perbuatan itu atau tidak. Dalam konteks dakwah, sepanjang usaha mengajak orang kepada Islam, Rasulullah SAW sentiasa memikirkan kesan atau implikasi yang bakal terhasil daripada sesuatu pendekatan dakwah yang digunakan.

Sebagai contoh, diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a. bahawa terdapat seorang lelaki pada zaman Nabi Muhammad SAW yang bernama Abdullah yang diberi gelaran himar (keldai). Beliau pernah membuat Rasulullah SAW tertawa.

Pada suatu hari, beliau dibawa kepada Nabi Muhammad SAW kerana meminum arak lalu baginda memerintahkan agar disebat. Semasa beliau disebat, seorang lelaki berkata, “Ya Allah, laknatilah dia. Sudah sering dia dibawa kepada Nabi Muhammad SAW untuk disebat.” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah melaknatinya. Demi Allah, tidaklah saya mengetahui (mengenainya) melainkan beliau mencintai Allah dan Rasul-Nya.” (kerana beliau pernah membuatkan baginda tertawa). (HR Bukhari, No. 6780)

Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW melarang daripada mengucapkan kata-kata laknat meskipun kepada seseorang yang bersalah melakukan dosa besar kerana meminum arak. 

Bahkan tindakan Rasulullah SAW menyebut kebaikan lelaki tersebut bertujuan membantu dan memberikan harapan kepada Abdullah untuk meninggalkan dosa meminum arak tersebut.

Situasi ini menjelaskan kepada kita tentang peri pentingnya untuk memikirkan tentang kesan dan implikasi kepada sesebuah tindakan yang diambil dalam kehidupan kita.

Hidup penuh dengan plot berfikir

Proses berfikir berkait rapat dengan cara manusia membuat pilihan yang betul, cepat dan akhirnya mencapai matlamat yang diinginkan. Menurut ahli psikologi, dalam tempoh 24 jam manusia akan membuat sekurang-kurangnya 200 pilihan.

Hal ini bererti setiap hari kita membuat banyak pilihan, sama ada kecil atau besar pilihan tersebut, semuanya adalah penting untuk penerusan kehidupan.

Membuat pilihan yang betul, cepat dan tepat bergantung kepada proses berfikir yang disebutkan sebelum ini. Dalam konteks ini, Islam telah menggariskan satu konsep yang adil iaitu setiap apa yang dipilih mempunyai implikasinya.

Manusia yang mukallaf pula bertanggungjawab penuh atas pilihan yang dibuat sama ada untuk taat atau maksiat, sama ada untuk berbuat baik atau sebaliknya. Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya.”

Isi kandungan ayat tersebut ialah kemuncak keadilan dalam kehidupan seorang manusia. Panduan yang diberikan dapat melahirkan manusia yang bertanggungjawab atas setiap pilihan yang dibuat. Bertanggungjawab atas tindakan dan pilihan yang dibuat merupakan nilai kemanusiaan yang tinggi.

Lihat sahaja, apabila elemen ini dikesampingkan, orang-orang yang tidak bertanggungjawab pada kata-kata, tindakan dan pilihannya akan merosakkan setiap struktur yang ada, sama ada keluarga, masyarakat, negara, malah diri sendiri. Kesemua ini bermula dengan proses berfikir yang ditekankan sebelum ini.

Iman nakhoda fikir

Seorang mukmin harus sedar bahawa mengawal kehidupan perlu berteraskan keimanan, syariat dan kehendak Allah SWT. Nakhoda kepada kehidupan mukmin berada dalam tangan mereka sendiri.

Berserah kepada Allah dalam segala urusan tidaklah bermakna seratus peratus menjadikan takdir sebagai ‘kambing hitam’ dalam setiap kesalahan yang dilakukan.

Permasalahan kehidupan seharian yang dihadapi dengan kemahiran berfikir aras tinggi yang diteraskan kepada keimanan yang sahih akan menatijahkan kesejahteraan pada pilihan dan tindakan yang dilakukan. 

Itulah seni kehidupan yang tidak boleh dikesampingkan.

Dr Hamidah Mat
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia