Kenapa Penting Berada Dalam Persekitaran Yang Soleh?

Kenapa Penting Berada Dalam Persekitaran Yang Soleh? | IKRAM

Penulisan sebelum ini mengetengahkan pembentukan akhlak menurut Imam al-Ghazali iaitu  melalui kaedah menjernihkan batin. Kali ini ia diteruskan lagi dengan kaedah yang seterusnya iaitu meletakkan diri dalam lingkungan persekitaran yang soleh. Mengapa persekitaran sedemikian sangat penting kepada kita?

Hal ini disebabkan persekitaran mampu memberi pengaruh kepada pembentukan akhlak seseorang kerana ia mempengaruhi cara seseorang itu berinteraksi, berkelakuan dan menampilkan diri dalam dunia di sekelilingnya.

Melalui persekitaran, seseorang terdedah kepada norma, nilai dan tingkah laku masyarakat yang berada di sekelilingnya. Sebagai contoh, jika seseorang itu dikelilingi persekitaran yang positif, dia akan cenderung mengamalkan nilai-nilai positif dalam kehidupan sehariannya.

Selain mampu membentuk akhlak, persekitaran juga berupaya membentuk pandangan dan sikap seseorang terhadap isu-isu semasa dan sosial. 

Apabila seseorang itu berada dalam persekitaran yang memberi tumpuan kepada kesopanan, keadilan, kebaikan, penghargaan dan perlakuan saling menghormati, dia akan cenderung memperlihatkan sikap yang sejajar dengan nilai-nilai tersebut.

Begitulah sebaliknya jika seseorang itu berada dalam lingkungan yang tidak sihat, penuh dengan kekerasan, kekejaman, individualistik dan sebagainya, kesan daripada lingkungan tersebut sedikit sebanyak akan mempengaruhi sikapnya.

Persekitaran positif

Oleh itu, penting bagi seseorang berada atau memilih persekitaran yang positif bagi memberi kesan serta pengaruh yang baik terhadap pembentukan akhlaknya. 

Di samping itu, setiap individu perlu menyedari pengaruh dan kesan persekitaran terhadap pembentukan akhlak serta sentiasa berusaha memperbaiki persekitaran yang negatif agar dapat meningkatkan mutu kehidupan dan akhlak dalam masyarakat.

Timbul pula persoalan di sini, apakah yang dimaksudkan dengan persekitaran dan apakah contohnya? Persekitaran merupakan kawasan di sekeliling seseorang yang boleh merupakan sesuatu tempat atau manusia contohnya ibu bapa, jiran taulan, rakan-rakan, tempat kerja dan kawasan tempat tinggal.

Ia juga merangkumi persekitaran sosial, adat dan budaya yang mampu mempengaruhi manusia termasuk tradisi, model tingkah laku, saranan serta rangsangan yang  bersifat akhlak.

Manusia secara umumnya sering terpengaruh kepada persekitarannya, dengan cara meniru serta mencontohi figure yang disanjungi oleh mereka.

Kewujudan seseorang dalam lingkungan masyarakat yang baik serta soleh sudah tentu berupaya menyebabkan dia beriltizam dengan amalan dan etika yang dihayati oleh kumpulan masyarakat tersebut, malah akan berusaha melaksanakan sesuatu yang disanjungi oleh masyarakatnya.

Sebaliknya, jika terdapat perbuatan yang dianggap keji oleh persekitarannya, dia akan berusaha sedaya upaya untuk menghindarinya. Dalam konteks ini, Allah menjelaskan melalui firman-Nya dalam Surah al-‘Araaf (7) ayat 58 (maksudnya):

“Negara yang baik akan menampilkan hasil mahsulnya yang baik dan sihat dengan izin Tuhan-Nya, manakala negara yang buruk tidak akan dapat menghasilkan kecuali  pengeluaran yang buruk. Demikianlah kami ajukan tanda-tanda kebesaran kami kepada kaum yang bersyukur.”

Lingkungan persekitaran yang baik digambarkan pula oleh Rasulullah SAW melalui maksud hadis berikut: 

“Setiap anak yang dilahirkan itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua-dua ibu bapanyalah yang menentukan ia sebagai Yahudi, Nasrani dan Majusi.” (Sahih al-Bukhari, no. 1296).

“Seseorang berada dalam tuntutan temannya, maka hendaklah setiap seorang daripada kamu melihat siapa yang menjadi temannya.” (Musnad Ahmad, no. 8065)

“Bandingan seorang kawan yang baik dan kawan yang tidak baik laksana penjual minyak wangi dan dapur pembakar tukang besi, tidak sia-sia engkau berkawan dengan penjual minyak wangi (kerana) sama ada kamu dapat membelinya atau kamu memperoleh baunya, sementara dapur tukang besi pula (mungkin) akan membakar badan kamu atau pakaian kamu, atau kamu peroleh baunya yang busuk.” (Sahih al-Bukhari, no. 1959)

 

Pemahaman hadis pertama menunjukkan  bahawa jika anak mempunyai kedua orang tua yang baik, mengajarkan kepada mereka prinsip-prinsip iman dan Islam, maka anak itu akan membesar dalam akidah iman dan Islam.

Pembentukan akhlak

Kenyataan tadi merupakan pengertian faktor pembentukan akhlak daripada persekitaran keluarga dan rumah. Begitulah juga halnya dengan pengaruh persekitaran yang terdiri daripada rakan-rakan seperti yang dijelaskan melalui hadis yang kedua dan ketiga.

Bagaimana pula pengaruh daripada suasana persekitaran tempat tinggal? Mari kita renungi maksud hadis berikut tentang bagaimana persekitaran mampu memberi kesan akhlak kepada seseorang. 

Adalah pada zaman sebelum kamu ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 jiwa. Maka dia bertanya mengenai penduduk bumi yang paling alim, lalu ditunjukkan kepadanya seorang rahib (pendeta). Dia pun pergi menemui pendeta itu lalu berkata: “Saya telah membunuh 99 jiwa, adakah saya boleh bertaubat?” Pendeta itu menjawab: “Tidak!” Lalu pendeta itu dibunuhnya dan dengan pembunuhan pendeta itu, cukuplah 100 jiwa yang dibunuhnya. 

Kemudian dia bertanya mengenai penduduk bumi yang paling alim lalu ditunjukkan kepadanya seorang alim. Dia pun pergi menemui orang alim itu lalu berkata: “Bahawasanya saya telah membunuh 100 jiwa, adakah saya boleh bertaubat?” Orang alim itu menjawab: “Ya, tiada siapa yang boleh menghalang kamu bertaubat. Pergilah ke bumi (kampung) sekian, sekian… kerana di sana ada orang beribadah kepada Allah Taala dan hendaklah engkau beribadah bersama-sama mereka, dan janganlah engkau kembali ke bumi ini (kampung ini) kerana ini adalah bumi yang jahat.”

Lalu pembunuh itu pun pergi sehingga separuh jalan, lalu dia mati. Malaikat rahmat dan malaikat azab berbantah-bantahan. Kata malaikat rahmat: “Dia datang dalam keadaan bertaubat dan menghadapkan hatinya kepada Allah Taala.” Kata malaikat azab: “Dia sama sekali tidak membuat kebajikan.”

Maka datanglah kepada mereka malaikat yang berupa manusia lalu menjadi hakim (pendamai) antara mereka seraya berkata: “Hendaklah kamu ukur di antara dua bumi (dua kampung yang baik dan yang jahat), mana satu yang lebih dekat, maka dia adalah untuknya.” Mereka pun mengukur lalu mendapati dia lebih dekat ke kampung yang hendak dituju. Lantas dia diambil oleh malaikat rahmat.” (Sahih Muslim, no.  2766)

Pengajaran yang diambil daripada hadis di atas ialah persekitaran memberi kesan kepada tingkah laku manusia.  Ini dibuktikan melalui kata-kata orang alim yang mengarahkan pemuda itu keluar dari tempat yang kotor (penuh dengan maksiat) ke tempat yang baik (persekitaran yang soleh dan baik). Mengapa? Ia adalah untuk membentuk akhlak yang baik dan supaya pemuda itu bergaul bersama-sama dengan mereka yang beriman.

Hindari maksiat 

Jika dilihat senario hari ini, untuk mendapatkan masyarakat berakhlak baik dan bersih, keadaan persekitaran atau suasana negara mestilah berunsurkan perkara-perkara yang membawa kebaikan, bukannya ke arah kemaksiatan seperti budaya konsert, budaya hedonisme dan sebagainya.

Jika diperhatikan secara seimbas lalu, dewasa ini bukan sahaja wujud iklan yang berunsur lucah, bahkan tular bahan kandungan yang disampaikan oleh beberapa pempengaruh yang bagaikan sengaja menimbulkan kontroversi. Kecaman yang diterima seolah-olah tidak meninggalkan kesan kepada mereka. Yang penting mereka ingin mendapatkan seberapa banyak tanda ‘suka’ atau jumlah tontonan tertinggi untuk melariskan produk mereka.

Mereka tidak pernah memikirkan apa kesan sampingan tindakan tersebut kepada masyarakat luar.

Isu persekitaran sosial ini juga telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW yang memberi peringatan kepada lelaki dan wanita agar tidak bersunyi-sunyian kerana yang ketiganya, yang wujud antara mereka ialah syaitan. (Sunan al-Tirmidzi, no. 1091)

Pengajaran yang dibangkitkan daripada larangan tersebut ialah duduk berdua-duaan dalam suasana yang sunyi akan mengundang fitnah.

Apa yang ditekankan dalam hadis itu ialah wujudnya seorang lelaki dan seorang perempuan tidak kira status (warak atau tidak), jawatan (pemimpin, hamba atau rakyat biasa) dan keturunan, sekiranya duduk berdua-duaan akan membawa kepada suasana yang tidak baik kerana syaitan merupakan makhluk ketiga yang akan sentiasa mengajak lelaki dan wanita itu melakukan maksiat.

Justeru, bagi menghindari maksiat itu berlaku, maka disarankan agar lelaki dan wanita tidak bersunyi-sunyian tanpa mahram.

Hal demikian kerana mahram akan sentiasa mengawasi, memerhati, mengingatkan dan menegur perbuatan mereka berdua sekiranya tersasar daripada landasannya. Hadis ini dengan jelas melarang manusia membawa diri mereka terjebak ke arah maksiat, walaupun pada asalnya mereka tidak berniat melakukan maksiat tersebut.

Hal ini kerana suasana atau persekitaran berdua-duaan itulah pemangkin kepada masalah akhlak yang akan berlaku.

Oleh yang demikian, suasana persekitaran itu menjadi antara faktor yang mampu memberi kesan kepada pembentukan akhlak seseorang, sama ada dia akan berkelakuan baik ataupun tidak.

Berdasarkan kisah-kisah daripada hadis yang dinyatakan, jelas bahawa lingkungan persekitaran memainkan peranan yang sangat penting untuk membentuk individu yang berakhlak mulia.

Prof. Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Pendidikan, Open University Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia