Rasulullah SAW Pembangun Jiwa, Rindu Saudaranya

Rasulullah SAW Pembangun Jiwa, Rindu Saudaranya | IKRAM

Saban tahun kita menyambut Maulidur Rasul, mengingati baginda Rasulullah SAW, bahkan tarikhnya dijadikan cuti umum di seluruh negara.

Sambutan ini menggambarkan betapa umat Islam amat menghargai perjuangan Baginda SAW menyebarkan risalah Islam ke seluruh dunia hingga tersebarnya risalah Islam kepada kita.

Amat besar jasa Baginda SAW membangunkan jiwa manusia dengan cahaya Islam dengan membacakan kepada kita ayat-ayat-Nya, membersihkan amalan jahiliah, syirik dan maksiat, serta mengajarkan isi kandungan al-Quran dan Sunnah.

“(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (daripada amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.” (Al-Baqarah: 151)

Persoalannya, sebagai umat Islam, sejauh mana kita bangunkan jiwa kita agar selari dengan ajaran Rasulullah SAW? Lebih daripada itu, adakah kita telah menyebarkan mesej pembangun jiwa kepada orang lain?

Oleh itu, Maulidur Rasul sewajarnya bukan sekadar berupa sambutan untuk mengingati Baginda SAW semata-mata, bahkan ia perlu menjadi titik tolak kepada umat Islam untuk meneladaninya dalam membangunkan jiwa melalui penampilan akhlak yang terpuji, yang diiktiraf Allah SWT dalam al-Quran.

“Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Al-Qalam: 4)

Umat Islam perlu memperbaiki diri dengan akhlak yang mulia, juga mendidik keluarga dengan akhlak terpuji, seterusnya menjadi teladan kepada masyarakat ke arah akhlak yang lebih baik dalam segala aspek kehidupan.

Akhlak adalah cerminan nilai yang tersemat dalam hati. Nilai yang murni akan diterjemahkan melalui akhlak yang mulia lagi baik. Oleh yang demikian, contohilah bagaimana Baginda SAW membangunkan jiwa para sahabat serta menanamkan nilai murni dalam jiwa mereka. 

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat…” (Al-Ahzaab: 21)

Dengan meneladani Baginda SAW, umat Islam mampu membina sebuah negara yang aman, makmur, maju dan sejahtera dengan rakyat hidup bahagia, saling mengasihi, menghormati dan bekerjasama untuk membangunkan negara tercinta.

Dalam pada itu, Rasulullah SAW amat rindu untuk bertemu dengan saudaranya. Siapakah saudaranya? Baginda menjelaskannya dalam hadis yang panjang.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW pergi ke kawasan perkuburan, lalu baginda SAW menyebut: 

“Assalamualaikum wahai penghuni perkampungan manusia beriman. Sesungguhnya aku insya-Allah, akan bersama-sama kamu selepas ini. Aku sangat suka agar kita dapat melihat saudara-saudaraku (ikhwanku) nanti.”

Para sahabat bertanya, “Apakah kami bukan saudaramu wahai Rasulullah?” Jawab baginda, “Kamu adalah sahabat-sahabatku. Ikhwanku adalah mereka yang belum muncul lagi.”

Para sahabat bertanya, “Bagaimana engkau boleh mengenali umatmu yang belum muncul lagi wahai Rasulullah?”

Jawab Rasulullah SAW, “Apakah kamu dapat melihat, jika seorang lelaki mempunyai kuda berbulu putih di dahi dan kakinya, dan ia berada dalam kelompok kuda-kuda hitam, apakah tuannya dapat mengenali kudanya?”

Jawab para sahabat: “Sudah pasti (tuannya dapat mengenali kudanya) wahai Rasulullah.”

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya mereka akan datang (pada hari kiamat) dengan bercahaya kerana berwuduk. Aku akan mengetuai mereka ke telaga al-Haudh.”

“Ketahuilah! Terdapat manusia yang akan dihalau daripada telagaku sepertimana terhalaunya unta-unta yang sesat. Aku pun memanggil mereka, ‘Datanglah kamu semua.'”

Setelah itu dikatakan kepada baginda SAW, “Sesungguhnya mereka telah menukarkan ajaranmu setelahmu (kewafatanmu).” Maka aku pun bersabda, ‘Jauhilah! Jauhilah!'” (HR Muslim, No. 249)

Daripada hadis ini, jelas dinyatakan bahawa saudara atau ikhwan kepada Rasulullah SAW yang dapat dikenali pada hari akhirat nanti ialah mereka yang bercahaya hasil daripada amalan wuduk.

Umum kita ketahui bahawa ibadah utama daripada wuduk adalah untuk menunaikan solat, dan dan manifestasi solat adalah ia dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.

“..sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.” (Al-Ankabuut: 45)

Ini bermakna, mereka yang melazimi wuduk dan solat adalah mereka yang berusaha untuk membangunkan jiwanya, mengislahkan diri untuk menjadi Muslim yang lebih baik, dan pada masa yang sama, mereka turut menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar, menunaikan zakat serta tunduk patuh dan taat kepada Allah SWT.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 71)

Kita berharap agar kita menjadi Muslim yang lebih baik, yang membangunkan jiwa, mengislah diri, keluarga, masyarakat dan negara, sekali gus menjadi saudara atau ikhwan kepada Rasulullah SAW.

Ayuh, bangunkan jiwa!

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia