Telah tular di grup-grup WhatsApp satu tuduhan yang menyatakan bahawa Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bersekongkol dengan kumpulan yang menentang usaha memperkasakan Islam yang disertakan dengan gambar Nik Elin dan individu yang didakwa sebagai ADUN Kota Lama (Kelantan), YB Dr Hafidzah Mustakim.
IKRAM ingin menegaskan bahawa tuduhan ini adalah fitnah semata-mata, tidak berasas dan berniat jahat.
Pertama, individu yang ditunjukkan dalam foto tersebut bukan ADUN Kota Lama. Kedua, IKRAM tidak terlibat dalam mana-mana dasar atau pemahaman yang dibawa oleh individu yang bernama Nik Elin atau mana-mana kumpulan yang sealiran pemikiran dengannya sepertimana yang dikaitkan dalam tuduhan tersebut.
Oleh itu, IKRAM meminta tuduhan ini ditarik balik dan sebaran fitnah tersebut segera dihentikan.
IKRAM tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang atas tuduhan liar dan tanpa asas ini yang telah mencemarkan nama baik IKRAM dan ahli-ahlinya.
IKRAM sentiasa komited dalam sebarang usaha untuk memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan serta menganjurkan pendekatan Islam wasatiy yang menekankan keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan, serta menolak segala bentuk amalan fitnah, mengkafirkan sesama orang Islam, menggunakan kata-kata kesat, dan sebarang bentuk ekstremisme dan radikalisme yang merosakkan keharmonian dan mengeruhkan perpaduan rakyat Malaysia.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia