PRN: Tindakan Tegas Henti Budaya Fitnah

PRN: Tindakan Tegas Henti Budaya Fitnah | IKRAM

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri yang akan berlangsung pada Ogos depan, pelbagai sentimen yang dimainkan pihak tertentu untuk meraih sokongan tanpa memikirkan padah yang akan dihadapi jika tindakan itu dilakukan berterusan.

Sewajarnya semua pihak perlu peka terhadap isu-isu yang mencetuskan sentimen mahupun provokasi yang tidak baik hingga mengganggu-gugat keharmonian dan perpaduan negara.

Apa-apa kenyataan yang tidak berasas itu bukan sahaja merosakkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini, malah meniupkan sentimen perkauman yang tidak memikirkan perasaan kelompok masyarakat lain.

Seharusnya ahli politik perlu mematuhi lunas-lunas kemanusiaan yang mengambil kira sensitiviti kelompok, individu dan yang penting tidak meniupkan sentimen memecahbelahkan masyarakat di negara ini. 

Ahli-ahli politik perlu keluar daripada kepompong budaya pemikiran yang hanya mementingkan diri sendiri dan mengetepikan perasaan pihak lain semata-mata bagi meraih kepentingan peribadi mahupun partinya.

Jangan jadi perosak

Rakyat perlu sedar bahawa membina kestabilan dalam negara adalah antara komitmen utama Kerajaan Perpaduan kini.

Sebagaimana Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan perlu diberi ruang untuk memimpin dan sekiranya sentimen keterlaluan dimainkan setiap hari, ia tidak akan membawa Malaysia ke mana-mana.

“Suara Kerajaan Perpaduan terutamanya mengenai kestabilan perlu disampaikan kepada rakyat kerana akhirnya rakyat juga yang akan menilai semuanya,” tegasnya.

Menurutnya, komitmen sebegitu penting kerana Malaysia tidak lagi boleh hidup dalam budaya fitnah sehingga hilang fokus untuk membangunkan negara.

“Harapan kita dalam PRN enam negeri ini, kita dapat memberikan formula dan pendekatan yang terbaik tanpa menggunakan pendekatan keterlaluan dengan mainan sentimen emosi.”

Menurutnya, perkara itu akhirnya tidak akan membawa ke mana-mana. Perdana Menteri sudah suarakan komitmen dari segi kedudukan satu kaum terancam, agama sudah terancam.

“Komitmen itu beri keyakinan kepada rakyat bahawa perjuangan kita berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan. Kita tak akan korbankan apa yang ditetapkan dalam Perlembagaan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, perjuangan Melayu, Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan bahasa Melayu, agama Islam, termasuk kedudukan kaum-kaum lain pun.

“Sudah sampai masanya mesej itu disampaikan kepada rakyat dan seterusnya berusaha memastikan negara dapat terus maju.”

Usah sentuh 3R

Pada bulan lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah memberi amaran kepada semua pihak agar tidak menyebarkan sentimen atau bahan yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R) pada Pilihan Raya Negeri nanti.

“Tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang didapati berbuat demikan tanpa mengira daripada mana-mana kumpulan.”

Fahmi menegaskan bahawa tidak timbul persepsi bahawa hanya individu daripada kumpulan tertentu sahaja yang ditahan dan disiasat.

“Saya beri peringatan dan amaran tegas kepada semua, jangan sesekali membuat sebaran bersifat 3R. Jika kamu buat, maka bersedialah berhadapan dengan pihak berkuasa dan undang-undang Malaysia,” amarannya.

Dalam pada itu, demokrasi negara tidak seharusnya dicemarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab atas alasan ia merupakan hak dan kebebasan bersuara seperti yang berlaku semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Sewajarnya, kata demokrasi tidak boleh disalah guna atas dasar kebebasan bersuara untuk menyebar bahan yang sangat merosakkan keharmonian dan akidah rakyat apalagi mencetuskan sentimen yang membakar kesejahteraan negara.

Cegah ekstremisme ganas

Dalam perkembangan lain, Menteri Luar Negeri turut berkata, Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) memainkan peranan aktif dalam mengetengahkan pendekatan masyarakat menyeluruh (whole-of-society) dalam usaha-usaha mencegah ekstremisme ganas (PCVE).

“Pendekatan-pendekatan yang digunakan untuk menentang keganasan dan ekstremisme ganas perlu melibatkan komuniti setempat dan antarabangsa, sektor awam serta swasta,” kata Ketua Pengarah SEARCCT, Datuk Ganeson Sivagurunathan.

Malahan jelasnya, organisasi masyarakat sivil, serta kumpulan-kumpulan berkepentingan lain seperti belia, wanita, pemimpin agama dan masyarakat juga perlu dilibatkan dalam program menentang anasir-anasir negatif yang mengancam negara itu.

“Perkongsian kepakaran dan pengetahuan antara pihak-pihak tersebut akan meningkatkan lagi tahap keberkesanan program-program yang dilaksanakan. Ia juga akan mencambahkan kesedaran orang awam akan kepentingan daya tahan komuniti dan digital dalam membendung keganasan,” katanya.

Ia adalah sejajar dengan visi SEARCCT iaitu ke arah komuniti yang kukuh dalam menangani keganasan dan ekstremisme ganas.

Pada 2022, inisiatif-inisiatif P/CVE diteruskan oleh SEARCCT dengan penganjuran 28 program dalam bentuk latihan, webinar, bengkel dan program kesedaran awam yang menyentuh topik mencegah radikalisasi, keselamatan siber, kesepaduan sosial serta sebagainya.

Memfokuskan pendekatan pelbagai pihak berkepentingan atau seluruh masyarakat, SEARCCT sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi tempatan dan antarabangsa.

SEARCCT adalah sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Luar Negeri (KLN) yang berperanan untuk melaksanakan program-program bina upaya, latihan dan penyelidikan dalam bidang pencegahan keganasan serta ekstremisme ganas (P/CVE).

Lebih tegas

Terdahulu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim Ibrahim telah mengeluarkan amarannya untuk menggunakan sepenuhnya kuasa undang-undang terhadap mereka yang dituduh menghasut sentimen perkauman. 

Langkah tersebut adalah perlu bagi membendung sebarang fenomena yang boleh merosakkan keharmonian negara.

Individu yang membangkitkan sentimen perkauman sehingga menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara perlu dikenakan tindakan lebih tegas agar ia tidak terus menjadi ‘barah’ dalam negara yang masyarakatnya majmuk ini.

Realitinya, undang-undang sudah ada dan pihak berkuasa perlu menguatkuasakannya dengan lebih agresif supaya menjadi pengajaran kepada mereka yang terbabit, serta isu tersebut tidak berlarutan dan berpanjangan apatah lagi dengan tibanya musim pilihan raya.

Sesiapa pun termasuk pemimpin negara dan ahli politik yang didapati membangkitkan isu sedemikian perlu diambil tindakan tanpa mengira usia dan kedudukan mereka supaya ia dijadikan pengajaran kepada semua masyarakat.

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (Surah al-Nur: 19)

Daripada Hudzaifah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (HR Bukhari [6056] dan Muslim [105])

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia