Arau, 17 Jun 2023 – IKRAM Junior Negeri Perlis dengan kerjasama Harmoni UiTM Perlis telah menganjurkan program “Road to Mecca”. Program yang telah disertai oleh kanak-kanak yang berusia 9 hingga 12 tahun telah dijalankan di laman Sekolah Rendah Islam Al-Azhar, Arau. Objektif program adalah untuk memberi pendedahan awal serta motivasi kepada peserta untuk menjadi tetamu Allah.
Pelbagai aktiviti telah disusun sepanjang program tersebut berlangsung. Antaranya adalah pengenalan serta kelebihan ibadah haji dan umarah. Peserta juga diperkenalkan dengan tempat-tempat penting sepanjang menunaikan ibadah haji dan umrah seperti Masjidil Haram, Arafah, Muzdalifah serta Mina. Melalui simulasi haji pula para peserta boleh membayangkan bagaimana setiap rukun dalam ibadah haji seperti tawaf, sa’i, wukuf serta jamrah disempurnakan.
Melalui program seperti “Road to Mecca” ini, diharapkan agar timbul rasa cinta dan sayang dalam kalangan para peserta terhadap amalan beragama. Diharapkan juga agar sedikit sebanyak memberi motivasi kepada para peserta untuk menyimpan azam bersungguh-sungguh untuk menjadi tetamu Allah. Lebih-lebih lagi program ini telah dijalankan kurang dua minggu sebelum musim haji.



