SERI KEMBANGAN – Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Kajian Dasar IKRAM (KADRI) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menganjurkan Bengkel Kajian Tinjauan Keberkesanan Program KPN.
Bengkel yang bermula sejak pagi tadi merupakan satu kerjasama strategik yang diharapkan dapat memberikan kesan yang positif terhadap pelaksanaan program-program KPN.
Ketua Kluster Perpaduan Nasional, Dr Sabariah Baharun dalam ucapan aluannya berkata, IKRAM amat berbesar hati diberi kepercayaan oleh KPN dalam usaha kerjasama ini.
“Sememangnya IKRAM ingin bersama dengan semua pihak sebagai rakan kongsi dalam pembinaan negara. Ia selaras dengan visi IKRAM bagi mencapai Malaysia Negara Rahmah,” jelasnya.
Matlamat menjadikan Malaysia Negara Rahmah ini telah digerakkan dalam usaha Agenda Nasional IKRAM melalui empat klusternya iaitu Kepimpinan Berwibawa dan Institusi Kenegaraan, Masyarakat Progresif, Kemakmuran Ekonomi dan Perpaduan Nasional.
Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa (BDHA) KPN, Nur Hidayah Fadzil menjelaskan, bermula tahun 2020, Kementerian Perpaduan Negara telah membangunkan dasar baharu berkaitan perpaduan bagi merangka usaha penerusan untuk memelihara dan memupuk perpaduan berterusan dalam rakyat.
“Sokongan dan penglibatan dari semua pihak diperlukan untuk menjayakan perancangan kerajaan kerana tidak cukup sekiranya hanya menyandarkan tindakan pihak kementerian atau kerajaan sahaja,” tambah beliau.
Bengkel yang berlangsung sehingga esok (Khamis) akan mengenal pasti hasil (outcome) yang perlu dicapai oleh KPN berdasarkan dapatan Kajian Tinjauan Keberkesanan Program Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2023 yang telah dilaksanakan pada penghujung bulan Mei yang lepas.
Ia juga akan mengemukakan saranan berhubung pendekatan dan kaedah yang bersesuaian, sekali gus menilai keberkesanan program-program KPN pada masa hadapan.
Dihadiri kira-kira 35 orang peserta, bengkel ini turut dihadiri oleh peserta daripada KPN, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan agensi-agensi di bawah KPN, JPNIN, Institut Kajian Dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN), Jabatan Muzium, Arkib Negara, Perpustakaan Negara, Yayasan Sukarelawan Siswa, wakil Kluster Perpaduan Nasional IKRAM, KADRI dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).