RAWANG, 10 Mei 2023 – Seramai 61 orang perwakilan dan 5 orang pemerhati dari seluruh negeri Selangor hadir dalam Sidang Ke-3 Majlis Perwakilan IKRAM Negeri Selangor (MPN) 2023 yang telah berlangsung di sini pagi semalam.Sesi pagi dimulakan dengan alunan ayat suci al-Quran oleh Saudara Abdullah Omar dan Ucaptama oleh Yang Dipertua IKRAM Negeri Selangor, Prof Madya Dr. Azhar. Dalam ucapannya beliau menghuraikan apakah cabaran bagi gerakan Islam pada masa ini kepada para perwakilan selain menekankan tentang peri pentingnya keikhlasan dan daya juang yang tinggi untuk membangunkan negeri Selangor sebagai Negeri Rahmah.
Acara diteruskan dengan amanat dan ucapan perasmian oleh Naib Presiden IKRAM Malaysia, Ustaz Burhanuddin Lukman. Majlis pada sesi pagi diakhiri dengan penyampaian cenderahati buat Ustaz Burhanuddin Lukman selaku wakil Ahli Jawatankuasa IKRAM Pusat yang hadir dan penyampian hadiah kepada 4 kawasan IRIS terbaik, tahniah buat para pemenang!
Pada sesi petang, laporan tahunan IKRAM Negeri Selangor telah dibentangkan oleh Setiausaha IKRAM Negeri Selangor, Dr Ramlan Zailani setakat Mei 2023 sebelum disusuli dengan pembentangan laporan kewangan bagi tahun 2022 oleh Bendahari, Tuan Haji Rosli Samid.
Di samping itu, MPN kali ini juga melantik 4 anggota baharu melalui sesi pencalonan dan pengundian suara. Sesi MPN diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Noorsyazly Rameli.
Terima kasih buat seluruh perwakilan daripada seluruh Selangor. Semoga sesi perbincangan ini mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT.