Adakah Bangsa Tonggak Kekuatan Dakwah Nabi SAW?

Adakah Bangsa Tonggak Kekuatan Dakwah Nabi SAW? | IKRAM

Adakah perjuangan Islam yang dipelopori oleh Nabi SAW menjadikan kaum, bangsa dan kabilahnya sebagai tonggak kekuatan dakwah?

Secara prinsipnya, semangat cintakan bangsa, kaum serta kabilah perlu dipandu oleh nilai-nilai akhlak dalam hubungan antara bangsa, kaum dan kabilah.

Contohnya dalam peperangan, Nabi SAW menyusun tentera baginda mengikut kabilah masing-masing. Susunan mengikut kabilah itu juga memiliki panji-panji tersendiri.

Hal ini menunjukkan bahawa Nabi SAW meraikan semangat kaum dan kabilah pada kadarnya, dengan syarat ia konstruktif dan bukan mengatasi nilai akhlak serta prinsip keadilan.

Walau bagaimanapun, kekuatan serta tonggak dakwah tidak hanya terletak pada sesuatu kaum dan kabilah tertentu sahaja.

Sirah telah membuktikan bahawa kabilah Aus dan Khazraj sanggup berjanji setia (Baiah Aqabah kedua) untuk mempertahankan Nabi SAW dengan nyawa serta harta benda mereka, bahkan menjadikan negeri mereka iaitu Yathrib sebagai tempah penghijrahan Nabi SAW dan orang-orang Quraisy Mekah, sepertimana firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr ayat 8-9.

Sudah menjadi sunnah perjuangan para anbia dalam al-Quran, dakwah mereka ditentang oleh suku kaum dan keluarga sendiri.

Bahkan nabi kita, Nabi Muhammad SAW sendiri pun ditolak dengan keras pada awalnya oleh kaum Quraisy di Mekah dan kaum Bani Thaqif di Taif, sungguhpun kedua-dua suku bangsa ini ialah daripada susur galur keturunan yang sama dengan Nabi Muhammad SAW iaitu susur galur keturunan Adnan.

Namun, Allah SWT yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui mentakdirkan dakwah Nabi kita SAW diterima dan disokong dengan kuat oleh susur galur bangsa yang jauh berbeza dengan Nabi Muhammad SAW di Madinah, iaitu suku Aus dan Khazraj, yang merupakan keturunan Qahtan.

Begitulah hikmah Allah SWT yang Maha Tinggi dalam memberi pengajaran kepada kita.

Malah sebelum itu, Nabi SAW telah menghantar para sahabat ke negeri Habsyah yang jauh lebih asing, yang merupakan negeri Kristian yang didiami oleh bangsa berkulit hitam dan tidak bertutur dalam bahasa Arab.

Tambahan pula, Najasyi atau Raja Habsyah yang juga beragama Kristian memilih untuk terus mempertahankan orang-orang Islam di negerinya sungguhpun telah dipujuk oleh wakil musyrikin Quraisy untuk menyerahkan semula orang-orang Islam tersebut kembali kepada Quraisy.

Di samping itu, Nabi SAW juga tidak membawa naratif bangsa dalam dakwah baginda di Madinah kerana ia akan menjadi tembok penghalang kepada Yahudi, yang merupakan kaum kedua terbesar yang mendiami bumi Madinah untuk mendekati Islam.

Jika tidak, bagaimanakah tokoh Yahudi seperti Abdullah bin Salam r.a. boleh memeluk Islam pada saat awal penghijrahan Nabi SAW ke Madinah?

Di samping itu juga, Allah SWT memerintahkan agar Nabi Musa a.s. memulakan dakwah Baginda dengan Firaun, padahal Firaun bukan bangsa Nabi Musa a.s. Kenapa Allah SWT tidak berkata, “Pergilah kepada Bani Israil”? Adakah Firaun yang lebih besar pengaruhnya dan perlu menjadi tonggak dakwah Nabi Musa a.s.?

Menariknya, kisah Nabi Musa a.s. adalah nabi paling banyak disebut serta diulang-ulang namanya dalam al-Quran. Besar iktibar dan pengajaran yang perlu direnungi bersama.

Tuntasnya, semangat kebangsaan dan perkauman mesti berdasarkan pendidikan yang berasaskan akhlak dan pemikiran, bukannya pembodohan, ketaasuban, kebencian, persengketaan dan seumpamanya. 

Bangsa hanya wasilah sahaja, ia fitrah manusiawi. Mana-mana pihak pun tidak seharusnya menjadikan topik dan naratif bangsa untuk menutup jenayah rasuah, membolot kekayaan, salah guna kuasa sehingga menafikan hak serta keadilan bagi bangsa dan kaum lain.

Islam juga tidak wajar dimanipulasikan untuk dijadikan alat menyebar kebencian, permusuhan dan pecah belah. Ajaran Islam yang dipelopori oleh baginda Nabi Muhammad SAW menyeru agar berlaku adil, ihsan dan berkebajikan terhadap seluruh umat manusia.

Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib
Pengerusi Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia