Perkembangan teknologi semasa memudahkan sesiapa pun untuk mendapatkan ilmu agama pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja hanya di hujung jari.
Namun, dalam kehebatan dan kecanggihan teknologi yang melingkari, masyarakat perlulah peka serta memastikan guru yang mengajar atau menyampaikan ilmu tersebut adalah individu yang benar ilmunya bersumberkan al-Quran dan Sunnah Rasul SAW serta berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Imam Muslim meriwayatkan dalam mukaddimah kitab sahihnya daripada Muhammad ibn Sirin beliau berkata:
“Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka kamu lihatlah daripada siapakah kamu mengambil agama kamu.”
Ini bersesuaian dengan titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj pada 18 Februari 2022, di Istana Alam Shah Klang, yang memberi peringatan dan menitahkan hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama Islam sahaja yang boleh diberikan tauliah untuk mengajar atau ceramah di masjid-masjid atau surau-surau di seluruh negeri Selangor.
“Kita semua kan pendakwah?”
Dalam kalangan kita juga ada kelayakan agama, belajar agama hingga ke peringkat tertinggi, apatah lagi telah masuk dalam program-program realiti. Jadi kenapa perlu lagi tauliah mengajar?
Bukankah Nabi Muhammad SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru r.a:
“Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat.” (HR Bukhari, No. 3461)
Begitulah antara persoalan-persoalan yang sering dicetuskan oleh segelintir masyarakat apabila mengatakan tentang keperluan tauliah mengajar.
Sebagai contoh, Undang-undang Negeri Selangor telah menetapkan seseorang yang ingin mengajar agama, hendaklah mempunyai tauliah mengajar yang dikeluarkan berdasarkan seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 pindaan 2016.
Dalam konteks ini, mengajar bermaksud menyampaikan sebarang maklumat berkaitan dengan agama Islam melalui ceramah, forum, pengisahan, motivasi, tazkirah, pembentangan kertas kerja, kuliah, audio visual atau cara lain sebagaimana yang ditentukan oleh Jawatankuasa Tauliah.
Justeru, sesiapa yang ingin mengajar agama atau diundang untuk mengajar di masjid atau surau di seluruh Selangor, perlulah memiliki Tauliah Mengajar.
Terdahulu, pemohon akan melalui beberapa proses tapisan iaitu ujian penilaian fardu ain dan ujian nilai. Sekiranya lulus, pemohon akan dipanggil temu duga, seterusnya diputuskan oleh Jawatankuasa Tauliah MAIS. Begitulah langkah-langkah yang perlu dilalui oleh mereka yang memohon.
Proses yang menyusahkan?
Tidak dapat tidak, setiap negeri memerlukan Tauliah Mengajar yang berlainan, memerlukan setiap pemohon mendapatkannya jika ingin memberikan atau menyampaikan tentang agama Islam di negeri tersebut.
Sepertinya pernah kedengaran suara-suara yang mengatakan betapa sukarnya proses permohonan Tauliah Mengajar dan ia sesuatu yang menyusahkan. Mari kita telusuri suatu kisah yang sangat sesuai dijadikan panduan.
Hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi (No. 1327) bahawa ketika Rasulullah SAW menghantar Muaz bin Jabal r.a. ke Yaman, baginda terlebih dahulu bertanyakan beberapa soalan kepada Muaz untuk menguji kelayakan beliau dalam menyampaikan dakwah.
Setelah berpuas hati dengan manhaj Muaz dalam berhukum iaitu mendahulukan al-Quran, al-Sunnah dan seterusnya ijtihad, maka baginda pun mengucapkan rasa syukurnya kepada Allah SWT.
Oleh yang demikian, permohonan Tauliah Mengajar perlu melalui beberapa proses tapisan untuk melihat kelayakan, kemahiran, kemampuan dan penguasaan ilmu seseorang sebelum diberikan tauliah.
Melalui proses yang ditetapkan, ia bukan bermakna untuk menyusahkan, tetapi sebagai satu usaha mendidik para pemohon agar sabar seterusnya mengikuti prosedur yang ditetapkan.
Menghalang kerja-kerja dakwah?
Keperluan Tauliah Mengajar bukanlah untuk menghalang atau menyusahkan seseorang yang ingin mengajar agama. Tentunya, ia adalah sebagai langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek hifz ad-din iaitu memelihara agama Islam.
Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 19:
“Sesungguhnya agama (yang diredai) di sisi Allah hanyalah Islam.”
Justeru, bagi memastikan agama Islam terus terpelihara daripada sebarang anasir penyebaran ajaran salah, fitnah-memfitnah dan bersangka buruk yang boleh menimbulkan kesan negatif terhadap agama, masyarakat dan negara, maka tauliah diperlukan.
Saidina Ali r.a. pernah berkata, “Kata-kata yang benar tetapi bertujuan batil.” (HR Muslim)
Hakikatnya, di sinilah keperluan Tauliah Mengajar yang mana, ia bagi memastikan bahawa seseorang itu benar-benar layak dan sesuai untuk mengajar agama.
Kelayakan ini bukanlah kerana belajar tinggi atau mengikuti program realiti yang digelar itu ini, mahupun sudah ramai pengikut di media sosial atau ‘selebriti agama’ yang sebebasnya memberikan pengisian tentang agama tanpa Tauliah Mengajar.
Antara faktor yang memerlukan seseorang itu mempunyai Tauliah Mengajar adalah mengekang penyebaran ajaran atau fahaman yang menyeleweng daripada pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mengelak sesuatu perkara yang boleh menimbulkan kontroversi dan sensitiviti dalam kalangan masyarakat.
Ia juga bertujuan mencegah mana-mana pihak yang menggunakan platform ceramah untuk menghina atau mengaibkan orang atau kumpulan tertentu dan memastikan pemegang tauliah mematuhi setiap peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Justeru, sesiapa yang mengajar, cuba mengajar atau menyebabkan pengajaran agama Islam tanpa tauliah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.
Begitu juga, setiap negeri menguatkuasakan tindakan kepada mereka yang tidak mempunyai Tauliah Mengajar.
Dikenakan tindakan
Baru-baru ini, timbul isu mereka yang biasa memberikan ceramah agama tetapi tidak mempunyai Tauliah Mengajar, lantas pihak berkuasa mengenakan tindakan terhadapnya.
Maka ramailah netizen mengecam tindakan pihak terbabit yang menjalankan tugasnya setelah menerima aduan bahawa masih terdapat masjid atau surau yang mengundang penceramah tanpa tauliah tersebut.
Realitinya, penceramah yang tidak mempunyai tauliah pun tahu tentang keperluan mendapatkan tauliah di negeri-negeri tertentu, namun masih terus mencuba untuk memberi ceramah di masjid dan surau tanpa tauliah.
Maka, apabila kebenaran ceramah di masjid dan surau tidak diberikan atas alasan tiada mempunyai tauliah, pihak berkuasa agama dipersalahkan dan diperlekehkan kononnya menghalang usaha-usaha dakwah dilakukan di masjid dan surau. Kenapa ini boleh berlaku?
Hakikatnya, ramai pendakwah bertauliah di setiap negeri direkodkan. Justeru, jumlah penceramah bertauliah yang ramai tersebut, seharusnya tidak menyukarkan pihak masjid atau surau untuk memilih mana-mana penceramah bertauliah yang boleh diperoleh maklumat mereka, melalui laman sesawang Jabatan Agama Islam setiap negeri.
Dalam pada itu, semua pemegang Tauliah Mengajar hendaklah pada setiap masa mematuhi undang-undang atau apa-apa arahan, larangan atau perintah yang diberikan oleh pihak berkuasa agama.
Seharusnya pemegang tauliah menggunakan Tauliah Mengajar pada situasi yang betul, bukannya untuk kepentingan dan keuntungan peribadi, serta tidak menyelitkan lawak jenaka yang melampau sehingga masyarakat hanya mengingati lawaknya berbanding ilmu yang disampaikan.
Pemegang tauliah juga diingatkan supaya tidak mencampuradukkan isu agama dengan politik kepartian dan permusuhan sesama Islam, atau menyelitkan apa-apa perkara yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan benci atau penghinaan terhadap mana-mana agama.
Mereka juga dilarang membangkitkan perasaan tidak suka terhadap mana-mana kerajaan, atau mengembangkan perasaan buruk sangka serta permusuhan antara kaum atau golongan penduduk di negara ini.
Sebagai Pemegang Tauliah, mereka hendaklah pada setiap masa mempamerkan akhlak yang baik bertepatan dengan apa yang diperkatakan dalam kuliahnya mahupun ceramah, tidak berkelakuan dengan cara yang boleh mencemarkan agama Islam atau apa-apa perkara yang boleh menyebabkan tauliahnya ditarik balik.
Tetap ada kontranya
Memetik kata-kata Ustaz Wan Ji Wan Hussin dalam artikelnya yang bertajuk ‘Tauliah dan progresif dakwah’:
“Kalau tauliah berorientasi kemampuan ilmu, sudah pasti Mufti Perlis telah diberikan tauliah khas untuk menyampaikan kuliah agama di Selangor pada tahun 2009 yang lalu. Namun yang berlaku adalah beliau pernah dihadapkan ke mahkamah syariah atas kesalahan tauliah. Bagaimana seseorang yang sudah diiktiraf keilmuannya oleh pihak istana Perlis boleh dianggap tidak layak diberikan tauliah khas?”
Beberapa bulan ini, isu tauliah mengajar agama menjadi perbicaraan umum. Justeru, beliau berpandangan, apa perlunya tauliah untuk berdakwah?
“Kalau mahu melawan ajaran sesat, negara ini sudah ada undang-undang untuk mengatasi ajaran sesat, seperti Seksyen 3 Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 berkenaan pemujaan salah; dan akta doktrin palsu iaitu seksyen 4; dan akta dalam mengatasi daripada dikembangkan doktrin agama iaitu seksyen 5; dan dakwaan palsu iaitu seksyen 6; pendapat yang bertentangan dengan fatwa iaitu sesyen 12.”
Maka, baginya konsep tauliah ini perlu diberikan penjelasan tuntas terhadap fungsinya, jika tidak, sudah pasti tauliah akan dianggap sebagai mekanisme menghalang kebebasan berdakwah sedangkan dakwah adalah tuntutan agama.
Implikasi dan keperluan
Umat Islam hendaklah menuntut ilmu yang benar daripada guru yang dipercayai dan diyakini keilmuannya bersumberkan al-Quran dan Sunnah yang diberi tauliah.
Umat Islam juga hendaklah yakin bahawa ilmu fardu ain dan fardu kifayah adalah ilmu Allah yang wajib diajar dengan amanah, benar dan ikhlas bertujuan mewujudkan individu yang bertakwa, masyarakat yang damai dan negara yang makmur.
Masyarakat perlulah sedar bahawa segala keputusan dan pengurusan pemerintah terhadap rakyat dibina atas kemaslahatan sebagaimana disebutkan berdasarkan kaedah fiqh:
تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة
“Tindakan yang dijalankan oleh pemerintah terhadap rakyat bergantung kepada maslahah.”
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Fussilat : 33)
Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.