Bebas Mengkritik Kerajaan: Bersediakah Mahasiswa?

Bebas Mengkritik Kerajaan: Bersediakah Mahasiswa? | IKRAM

Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah memberi ‘lampu hijau’ kepada para mahasiswa bagi memberikan kebebasan kritikan serta menyuarakan pandangan mereka bagi menegur kerajaan perpaduan tanpa mencerca, ucapan bersifat perkauman atau fahaman agama yang melampau.

Menurut beliau lagi, situasi ini amat penting bagi melahirkan golongan mahasiswa yang mempunyai daya fikir yang kritis dan kritikal.

Keadaan ini juga dilihat mampu menjadikan institusi pendidikan sebagai satu platform terbaik bagi percambahan idea dan pertukaran pendapat demi kesejahteraan masyarakat. 

Sebagaimana yang diketahui, mahasiswa merupakan aset negara yang amat bernilai. Mereka merupakan golongan pelapis kepimpinan negara yang bakal menerajui negara pada masa hadapan.

Sewajarnya mereka diberikan peluang bagi menyuarakan pendapat dan pandangan sejak berada di institusi pengajian tinggi lagi terutamanya berkenaan soal kepimpinan dan pentadbiran masyarakat. 

Bersediakan Mahasiswa Mengkritik?

Peranan mahasiswa sebagai rakan pimpinan kerajaan tidak dapat dinafikan lagi apabila golongan muda yang berumur 18 tahun telah diberikan kelayakan untuk mengundi dan menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu. 

Mereka telah diberikan tanggungjawab yang cukup besar dalam memilih pemimpin Malaysia.

Namun, persoalannya kini adakah para mahasiswa telah bersedia untuk menjadi sebahagian daripada mata dan telinga kerajaan yang jujur, amanah dan bertanggungjawab dalam melontarkan idea ataupun hanya sekadar melontarkan emosi ketidakpuasan hati apabila keinginannya tidak dipenuhi dengan baik?

Adakah mereka mampu menguasai emosi dengan baik sehingga dapat memberi kritikan yang membina berdasarkan hujah dan fakta yang tepat dan jelas?

Pembangunan tamadun sesebuah bangsa adalah bergantung pada kualiti generasi muda yang menerajui kepimpinan bangsa tersebut.

Jika kepimpinan diterajui oleh golongan yang berpegang teguh pada prinsip kepimpinan berintegriti, maka akan wujud masyarakat yang jujur, amanah, bertanggungjawab serta mempunyai nilai-nilai murni yang lain.

Namun jika sebaliknya, maka pincanglah identiti bangsa tersebut. Benarlah kata pepatah Melayu, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang agama.

Kita semua jelas bahawa usaha menggilap kualiti kepimpinan generasi muda sebagai pewaris tampuk kepimpinan bangsa dan negara adalah tanggungjawab semua pihak.

Generasi muda ini merupakan aset yang bakal mengisi keperluan kepimpinan negara bagi tujuan kelangsungan pembangunan pada masa hadapan.

Masyarakat hari ni juga semakin sedar bahawa keperluan mempunyai pemimpin yang bersedia untuk mengambil tangungjawab sebagai pemimpin adalah sesuatu yang amat penting dan signifikan.

Sekolah dan institusi pengajian dilihat berperanan besar sebagai wadah dalam membangunkan sifat kepimpinan dalam diri individu.

Walakin, perkara pokok yang harus diketengahkan kini adalah kesedaran mahasiswa itu sendiri untuk mengasah kemahiran kepimpinan agar mereka mampu memahami konsep kepimpinan yang sebenarnya. 

8 Jenis Kecerdasan

Menurut Kamus Dewan Bahasa, kepimpinan dapat didefinisikan sebagai keupayaan memimpin. Sifat kepimpinan juga dapat disimpulkan sebagai proses pengarahan tingkah laku orang lain ke arah penyempurnaan sesuatu objektif.

Proses pengarahan pula dapat diertikan sebagai seseorang individu bertindak mengikut cara tertentu atau mengikut sesuatu seperti polisi atau dasar, organisasi, tatacara dan deskripsi kerja.

Ternyata, kepimpinan merupakan satu keupayaan atau kebolehan untuk mengarahkan individu dalam satu kumpulan untuk melaksanakan sesuatu perkara atau mencapai sesuatu objektif yang telah ditetapkan. 

Maka, apabila kita menyebut tentang keupayaan, maka pastinya ia akan terkait kepada kecerdasan yang telah dikurniakan kepada manusia oleh Tuhan.

Bagi mengasah karakter kepimpinan dalam diri, maka kecerdasan-kecerdasan ini perlu dibangunkan. Dan setiap mahasiswa perlu sedar akan kewujudan kecerdasan ini yang telah sedia ada dalam diri masing-masing.

Teori Kecerdasan Pelbagai yang diperkenalkan oleh Dr. Howard Gardner pada tahun 1983, telah mengemukakan lapan kecerdasan yang berbeza sebagai satu cara untuk mengukur potensi kecerdasan individu, tidak kira sama ada masih kanak-kanak atau telah dewasa. Kecerdasan-kecerdasan yang telah dikenal pasti adalah seperti berikut:

  1. Linguistic Intelligence (Word Smart)
  2. Logical-mathematical Intelligence (Numbering/Reasoning Smart)
  3. Spatial Intelligence (Picture Smart)
  4. Bodily-Kinesthetic Intelligence (Body Smart)
  5. Musical Intelligence (Music Smart)
  6. Interpersonal Intelligence (People Smart)
  7. Intrapersonal Intelligence (Self Smart)
  8. Naturalist Intelligence (Nature Smart)

Berdasarkan teori ini, ternyata setiap manusia yang dilahirkan mempunyai kecerdasan yang berbeza-beza bagi membolehkan mereka membangunkan potensi diri untuk menjadi insan yang cemerlang di samping menempuhi cabaran demi kelangsungan hidup masa hadapan sebagai seorang pemimpin yang terbaik.

Para mahasiswa perlu sedar akan hal ini dan berusaha sekuatnya  membangunkan kecerdasan ini dalam diri masing-masing kerana ia amat membantu dalam membentuk sifat kepimpinan yang cemerlang.

Penyertaan mereka dalam aktiviti kelab dan persatuan amat membantu untuk mengaktifkan kecerdasan ini.

Mahasiswa yang aktif sebagai sukarelawan universiti bukan sahaja dapat melatih kemahiran diri, bahkan dapat menyumbang tenaga dan kepakaran mereka dalam program-program yang dijalankan. 

Perlu Kecerdasan Emosi

Selain lapan kecerdasan yang dapat membantu mahasiswa menjadi pemimpin terbaik, terdapat satu lagi kecerdasan yang perlu diperteguhkan dalam diri mahasiswa terutamanya pada zaman kini iaitu kecerdasan emosi (Emotional Intelligence).

Teori kecerdasan emosi ini diperkenalkan oleh Daniel Goleman yang merujuk pada kemampuan seseorang yang mengetahui dan mengendalikan gejala-gejala dan informasi yang bersifat emosi. 

Sebagai seorang pemimpin, kecerdasan emosi yang tinggi amat penting agar mereka dapat membuat sesuatu keputusan dalam keadaan fikiran yang rasional dan waras. 

Mereka tidak boleh terbawa-bawa dengan perasaan sendiri dan perlu sentiasa memikirkan kepentingan organisasi dan masyarakat sekitar.

Kecerdasan emosi yang tinggi ini juga mampu melahirkan banyak sifat kepimpinan yang positif seperti percaya diri, memiliki kekuatan dan ketahanan mental dan fizikal, antusias, rasa tanggungjawab dan paling penting memiliki empati dan hubungan baik dengan sesama manusia lain. 

Dan apabila peluang dibuka kepada mahasiswa untuk menjadi pengkritik kepada kerajaan, adakah mereka telah mempunyai indikator semua kecerdasan ini sebagai persediaan untuk memberikan kritikan yang membina demi masa hadapan negara yang cemerlang? Tepuk dada, tanyalah hati sendiri.

Walaupun ada pendapat yang menyatakan bahawa kepimpinan adalah sifat yang perlu diasah, namun hakikatnya ia merupakan kecerdasan yang telah dititipkan dalam diri setiap insan.

Jelaslah amat penting bagi seseorang individu untuk sedar bahawa mereka semua adalah khalifah yang telah diciptakan oleh Allah bagi menguruskan pentadbiran di atas muka bumi demi kebaikan semua makhluk. 

Oleh itu, setiap mahasiswa perlu sedar akan prinsip-prinsip kepimpinan yang baik dan efektif. Sifat -sifat seorang pemimpin perlu dipupuk agar tumbuh segar dalam diri kerana kepimpinan bukanlah satu pertaruhan mahupun kandungan di media sosial.

– Nurul Nisha Mohd Shah, Ketua Unit Kepimpinan Pelajar, UiTM Cawangan Negeri Sembilan

– Muhammad Iman Zulkifli, Setiausaha Eksekutif, Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2022/2023, UiTM Cawangan Negeri Sembilan

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia