Ke Arah Menu Rahmah Yang Lestari

Ke Arah Menu Rahmah Yang Lestari | IKRAM

Rakyat menyambut baik inisiatif kerajaan memperkenalkan inisiatif Payung Rahmah bagi meringankan beban rakyat yang mensasarkan golongan B40, mahasiswa dan miskin tegar.

Suatu kelegaan buat mereka yang menantikan usaha sebegini kerana ternyata ia dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup. Semenjak pandemik Covid-19 berlalu, rakyat sangat terkesan dengan harga barang dan perkhidmatan yang mengalami kenaikan secara mendadak. 

Inisiatif Payung Rahmah ini merangkumi Menu Rahmah, Pakej Rahmah, Kafe Rahmah, Jualan Rahmah dan Bakul Rahmah.

Sambutan Hangat

Menu Rahmah yang telah dilancarkan baru-baru ini mendapat sambutan hangat dalam kalangan rakyat.

Dilaporkan bahawa hidangan Menu Rahmah yang dijual pada harga kurang daripada RM5 habis dalam tempoh dua jam semenjak diperkenalkan pada setiap hari di sebuah pasar raya di Johor Bahru.

Selain harga berpatutan, pelanggan berpuas hati terhadap kualiti makanan dan kepelbagaian aneka juadah yang disediakan.

Para mahasiswa yang turut menjadi pelanggan menyokong agar hidangan Menu Rahmah diperluaskan di kafeteria institusi pengajian tinggi bagi meringankan beban mahasiswa yang mengikat perut disebabkan kesempitan kewangan. 

Inisiatif para pengusaha makanan dan minuman yang memasukkan Menu Rahmah sebagai salah satu hidangan dalam menu adalah tindakan yang terpuji dan wajar diteruskan.

Ternyata langkah ini menunjukkan rakyat Malaysia adalah masyarakat yang penyayang dan mementingkan keharmonian apabila bersama memikul tanggungjawab untuk saling menguatkan antara satu sama lain. 

Namun begitu, sebahagian rakyat masih perlu menempuh perjalanan yang agak jauh untuk mendapatkan Menu Rahmah. 

Bahkan, banyak juga penempatan B40 masih tiada capaian kepada menu ini. Bilangan pengusaha yang menawarkan Menu Rahmah nampaknya masih belum cukup bagi memenuhi permintaan rakyat.

Bagi mengekalkan kelestarian projek rakyat ini dan menjadikannya konsep yang dapat menarik lagi ramai para pemegang taruh untuk terlibat sama, ia memerlukan perencanaan yang teliti, pengurusan yang berkesan dan penambahbaikan berterusan melalui pemantauan dari masa ke masa. 

Beberapa kaedah bagi mencapai kelestarian program ini wajar dipertimbangkan supaya ia menguntungkan semua pihak, terutamanya pengusaha makanan dan pelanggan.

Perancangan, Belanjawan Teliti

Salah satu faktor terpenting bagi memastikan kelestarian suatu program adalah melalui perancangan dan belanjawan yang turut mempertimbangkan sumber kewangan, tenaga dan teknikal dan segala faktor terpenting bagi pembangunan pelan rancangan yang komprehensif.

Kegagalan untuk merancang tanpa dana kewangan yang mencukupi akan menyebabkan mana-mana program yang berimpak tinggi terpaksa dihentikan.

Tawaran Menang-menang

Kenaikan harga bahan mentah asas terutamanya barang import akan memberikan kesan kepada pengusaha makanan, seterusnya ia akan menjadi faktor yang akan membebankan peniaga untuk mengekalkan harga Menu Rahmah. 

Memperkenalkan pakej skim seperti pemberian insentif, pemotongan cukai, subsidi atau akses langsung membeli kepada pemborong dapat menarik lebih ramai lagi pengusaha makanan dan minuman terlibat dalam inisiatif Menu Rahmah.

Pemantauan Berterusan

Memantau, menilai kemajuan dan mutu projek secara berkala adalah aspek penting bagi mengenal pasti sebarang isu awal.

Ini membolehkan tindakan awal diambil bagi membendung sebarang isu yang berbangkit menjadi serius. Langkah tersebut penting dalam menilai impak projek atau melakukan ‘rejuvenasi’ bagi memastikan ia kekal relevan dan berkesan.

Kerjasama Pihak Berkepentingan

Persefahaman dan penglibatan daripada pihak berkepentingan seperti pemegang taruh, komuniti tempatan, badan bukan kerajaan atau organisasi swasta ketika proses perancangan dan pelaksanaan adalah elemen signifikan bagi memastikan projek berterusan dengan lancar dalam jangka panjang.

Maklum balas dan kerjasama pihak berkepentingan menjadi suara penting mewakili rakyat terbanyak agar apa-apa inisiatif kerajaan dapat ditambah baik pada masa akan datang.

Penggunaan Teknologi

Penggunaan teknologi berpotensi untuk mengubah cara sesuatu projek dikendalikan dalam skop yang menjadikannya lebih efisien, telus dan infomatif.

Kerajaan boleh menggunakan kekuatan teknologi untuk meningkatkan pengurusan projek seperti membangunkan aplikasi yang menyenaraikan lokasi Menu Rahmah dan menu apa yang disediakan supaya pengguna boleh membuat pilihan.

Fleksibiliti

Bersikap terbuka untuk melakukan perubahan serta menyesuaikan perancangan dan pelaksanaan Menu Rahmah mengikut keperluan boleh membantu sesuatu projek kekal relevan dan mampan dari masa ke masa.

Sikap jumud dan pendekatan konservatif, sama ada di pihak kerajaan atau pengusaha makanan boleh menghalang sebarang inovasi dan penambahbaikan dalam program ini untuk bertahan lama.

Oleh itu, pelaksanaan inisiatif seperti Menu Rahmah sangat dialu-alukan dan diharapkan agar ia dapat dikekalkan dan diteruskan dalam jangka masa panjang demi tujuan yang murni untuk meringankan beban rakyat.

Mewujudkan Menu Rahmah telah memberikan ‘rahmah’ (kebaikan dan manfaat) kepada masyarakat. Mengekalkan inisiatif ini memerlukan komitmen dan iltizam yang berterusan daripada kerajaan dan semua pihak yang berkepentingan.

Ayuh lestarikan Menu Rahmah!

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Foto: Bernama

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia