Covid-19 telah memberi impak besar kepada kehidupan manusia di seluruh dunia. Bermula dengan masalah kesihatan, ia menular kepada kekangan aktiviti kemanusiaan dan kemasyarakatan, termasuk bidang pendidikan.
Penggunaan dan kemajuan teknologi komunikasi telah menjadi alternatif yang didambakan, khususnya dalam sektor pendidikan tinggi.
Covid-19 juga telah menyaksikan perubahan drastik terhadap landskap pendidikan tinggi melalui arus Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan melonjak pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara dalam talian atau maya sebagai alternatif yang praktikal dan berkesan.
Hikmahnya, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dapat memanfaatkan kehadiran teknologi IR 4.0 ini melalui kurikulum dan pedagogi pembelajaran yang sentiasa terkehadapan untuk menghasilkan graduan yang berwibawa dan berketrampilan sesuai dengan alam pekerjaan yang serba canggih.
Namun, masalah graduan yang masih ramai menganggur kesan Covid-19 juga perlu diberikan perhatian serius dan memerlukan tindakan segera supaya ilmu pengetahuan dan kebolehan mereka tidak disia-siakan.
Sewajarnya, latihan kemahiran berbentuk ‘reskilling and upskilling’ diperkenalkan supaya mereka kekal relevan dan kompetitif.
Seperkara lain yang juga perlu dikaji dan memerlukan tindakan yang konstruktif adalah bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kurang mendapat sambutan dalam kalangan generasi muda.
Lebih membimbangkan, banyak tempat di Universiti Awam tidak diisi dan calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mendapat tempat dalam program yang sesuai dengan kelulusan dan minat mereka.
Salah satu jalan penyelesaian ialah dengan membangunkan sistem data raya (big data) dengan bantuan kepintaran buatan (AI) dan analitik data untuk memberi panduan kepada calon-calon lepasan SPM mengenai program yang sesuai untuk mereka dan di universiti mana ia ditawarkan.
Melalui aplikasi yang boleh mereka muat turun, mereka diberikan maklumat tentang program dan kerjaya yang sesuai untuk mereka ceburi dan universiti atau kolej mana yang menawarkan program-program tersebut.
Ini memudahkan mereka untuk membuat pilihan terbaik untuk masa depan mereka. Sistem seperti ini sudah pun dilaksanakan di banyak negara maju.
Pembangunan sistem seumpama ini sudah tentu memerlukan kerjasama erat antara dua kementerian iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan untuk menghubungkan data mengenai pencapaian, kecenderungan dan minat pelajar dengan program dan kerjaya yang sesuai untuk mereka.
Perhatian juga wajar diberikan terhadap kurangnya penghayatan nilai dan etika dalam kalangan para graduan sehingga menimbulkan masalah seperti rasuah, pecah amanah dan jenayah kolar putih apabila mereka berada di alam pekerjaan.
Pemahaman, pemupukan dan budaya yang beretika serta berintegriti dalam kalangan graduan perlu menjadi keutamaan.
Para graduan perlu didedahkan dengan bengkel dan kursus yang bersangkutan, malahan diterapkan dalam kurikulum yang bersesuaian perihal budaya integriti dan etika dalam pengajian mereka.
Melalui pembudayaan integriti dan etika, akan terhasil nilai-nilai murni seperti amanah, rajin, ikhlas, membenci rasuah dan bermaruah ketika melaksanakan kerja dan tanggungjawab masing-masing.
Apa yang pasti, nilai-nilai murni ini adalah sifat-sifat kemanusiaan yang mulia dan semua agama, penganut terutama yang beragama Islam menekankan betapa sifat-sifat ini amat dituntut untuk melahirkan insan yang berakhlak mulia.
Adalah menjadi harapan kita agar sistem pendidikan tinggi negara yang mapan, bersistematik, bersasar dan penuh kebijaksanaan dapat dibangunkan bagi melahirkan pelajar, graduan serta profesional yang bukan sahaja cemerlang, malah warga kerja yang berakhlak, berintegriti dan beretika.
Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim
Profesor di Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia dan Ahli IKRAM Academia