Lesen Kereta Manual atau Auto? Timbang 3 Aspek Ini

Lesen Kereta Manual atau Auto? Timbang 3 Aspek Ini | IKRAM

Seseorang telah menghantar mesej peribadi kepada seorang pengguna Twitter, sama ada beliau patut mengambil lesen memandu kereta manual atau automatik.

Jawapan untuk soalan ini mungkin mudah sahaja untuk sesetengah pihak, namun mungkin menimbulkan keraguan untuk sesetengah yang lainnya.

Jika adanya keraguan, ada baiknya anda menimbang tara kelebihan dan kekurangan mengambil kedua-dua jenis lesen berkenaan.

Apa-apa sahaja keputusan yang anda lakukan, saya secara peribadinya mencadangkan anda untuk mempertimbangkan tiga aspek utama ini; kemampuan kemahiran fizikal, keperluan jenis transmisi pemanduan dan kos untuk memperoleh lesen

Untuk penulisan saya kali ini, saya tidak mahu berbasa-basi lagi dan ingin terus sahaja kepada perbincangan penting kita.

1. Kemampuan kemahiran fizikal

Kita mulakan dahulu dengan aspek pertama iaitu kemampuan kemahiran fizikal yang diperlukan untuk memperoleh kedua-dua jenis lesen memandu ini. 

Bagi memudahkan cerita kita, saya ingin mulakan dengan menerangkan mana yang lebih mudah dahulu iaitu kereta transmisi automatik.

i. Kereta Automatik

Secara umumnya, memandu kereta automatik jauh lebih mudah kerana anda tidak perlu fikir cara dan bila untuk menukar gear ketika kenderaan anda sedang bergerak. 

Masuk sahaja dalam kereta, pasang tali pinggang keledar, masukkan kunci, hidupkan enjin, tekan brek sambil menarik batang gear daripada mod parkir (P) atau neutral (N) kepada mod pemanduan (D), lepaskan brek tangan, kemudian tekan sahaja pedal minyak menggunakan kaki anda.

Ketika kenderaan anda mula-mula bergerak, gear kereta anda akan bermula pada gear satu. Gear akan meningkat naik sebaik sahaja sistem kenderaan anda mengesan peningkatan kelajuan bagi menyesuaikan gear tersebut dengan kelajuan kereta anda.

Gear itu juga akan menurun apabila sistem itu mengesan kenderaan anda bergerak lebih perlahan. 

Oleh sebab itu, kenderaan transmisi automatik digelar ‘automatik’ kerana sistem kendalian gear tersebut adalah bersifat automatik dan tidak memerlukan kendalian manual pemandu itu sendiri. 

Bagi kenderaan transmisi manual pula, cara kendalian gearnya boleh jadi agak ‘menakutkan’ bagi seseorang yang lemah kemahiran koordinasi fizikal. 

Berbeza dengan kereta automatik yang hanya mempunyai pedal brek dan minyak sahaja yang boleh dikendalikan dengan satu kaki sahaja (lazimnya kaki kanan), kereta manual pula mempunyai tambahan satu lagi pedal iaitu pedal klac yang perlu dikendalikan dengan kaki kiri. 

Jika dengan kereta automatik, cukup sekadar menukar mod pemanduan kepada D sahaja kereta anda boleh bergerak, kereta manual memerlukan lebih lagi usaha daripada itu. 

ii. Kereta Manual

Bagi kereta manual, setelah menghidupkan enjin, anda perlu menekan pedal klac sepenuhnya dengan kaki kiri anda. Setelah itu, barulah anda boleh mengalihkan batang gear kereta anda kepada gear satu. 

Setelah gear satu masuk, anda perlu secara perlahan-lahan melepaskan klac anda, namun anda tidak boleh melepaskan sepenuhnya secara tiba-tiba kerana tindakan tersebut akan mematikan kenderaan anda!

Selepas melepaskan sedikit tekanan kaki kiri daripada pedal klac, kaki kanan anda harus menekan pedal minyak secukupnya, sehingga anda nampak kenderaan anda mahu ‘terangkat sedikit.’ 

Kemudian, barulah anda boleh lepaskan brek tangan. Jika tekanan pada pedal minyak menggunakan kaki kanan seimbang dengan pelepasan tekanan kaki kiri pada pedal klac, kenderaan anda seharusnya mampu bergerak ke hadapan dan enjin tidak seharusnya mati.

Kemudian, apabila kelajuan kenderaan mula stabil, anda bolehlah mula melepaskan tekanan kaki kiri daripada pedal klac dan anda boleh terus memandu. 

Namun, bagaimana pula jika anda mahu memandu lebih laju tetapi gear satu tidak memadai untuk kelajuan yang ingin dicapai?

Maka, anda perlu menaikkan gear satu kepada gear dua sendiri secara manual.

Sambil-sambil anda menekan pedal minyak dengan kaki kanan anda, anda perlu menekan pedal klac sepenuhnya dengan kaki kiri, kemudian anda perlu menukar gear kepada gear dua pada batang gear anda menggunakan tangan kiri anda sambil tangan kanan mengawal stereng.

Setelah itu, anda perlu perlahan-lahan melepaskan klac menggunakan kaki kiri anda. Apabila kelajuan kereta anda telah pun meningkat dengan sesuai, barulah anda boleh melepaskan klac sepenuhnya. 

Bagaimana pula jika ingin ke gear tiga, empat, dan lima? Ulanglah proses tersebut. 

iii. Manual lebih sukar

Di sini, kita dapat lihat bahawa pemanduan kereta manual jauh lebih sukar kerana seseorang pemandu itu perlu untuk memahirkan diri dengan koordinasi kedua-dua belah kaki dan tangan. 

Kaki kanan dan kiri perlu mengawal pedal minyak dan klac. Tangan kanan dan kiri perlu digunakan secara serentak untuk mengawal stereng dan menukar gear. 

Ketika menukar gear pula, anda perlu memandang ke hadapan dan tidak boleh memandang batang gear untuk tahu bagaimana untuk menukar gear seterusnya; bimbang nanti anda mungkin tidak nampak jika ada apa-apa bahaya yang ada di hadapan mata anda.

Tambahan lagi, penukaran gear kereta manual ini tidak mudah bagi seseorang pemandu pemula. Koordinasi antara kedua-dua kaki dan tangan sahaja tidak cukup.

Anda perlu tahu sendiri pada kelajuan yang bagaimana gear kereta anda perlu dinaikkan atau diturunkan.

Malah lebih sukar lagi, anda perlu tahu sendiri berdasarkan ‘getaran’ dan bunyi kenderaan anda bila masa yang sesuai untuk melepaskan klac. 

Jurulatih memandu anda mungkin boleh mengajar anda, namun akhirnya anda sendiri perlu bina kemahiran untuk ‘merasa’ sendiri bila masa yang sesuai untuk anda menukar gear dan melepaskan klac dengan baik. 

Jika tersalah lepas klac secara tiba-tiba, kenderaan anda boleh mati. Atau jika anda tidak mengimbangkan pelepasan klac dengan tekanan minyak dengan baik, kenderaan anda mungkin boleh berundur di jalan yang berbukit; kenderaan anda boleh melanggar kenderaan di belakang jika ini berlaku. 

Berbeza dengan kereta manual, pengunduran ini sangat jarang berlaku dan anda tidak perlu mengendalikan pedal klac. Gear akan bertukar secara automatik, sesuai dengan kelajuan kenderaan anda. Kenderaan anda juga tidak akan mati secara tiba-tiba. 

Oleh itu, jika anda mahu memilih untuk mengambil lesen manual, anda harus berfikir semasak-masaknya, jika anda belum mahir memandu kereta manual, adakah anda mampu untuk belajar kemahiran koordinasi fizikal ini?

2. Keperluan Jenis Transmisi Pemanduan

Seterusnya, kita bincangkan pula keperluan anda sebagai pemandu. Adakah pekerjaan atau perjalanan hidup anda cukup sahaja dengan pemanduan kereta automatik atau adakah anda akan kerap juga memerlukan pemanduan kereta manual?

Jika cukup sekadar memandu kereta automatik sahaja, ada baiknya anda mudahkan hidup anda dan ambil lesen automatik sahaja. Tidak perlu serabutkan fikiran anda.

Namun, jika pada masa akan datang, pekerjaan atau kerja seharian anda memerlukan anda memandu kereta manual dengan kerap, mahu tidak mahu, anda perlu juga mengambil lesen manual.

Anda tidak perlu bimbang jika anda mengambil lesen manual kerana akhirnya, anda juga akan dibenarkan memandu kereta automatik jika anda mempunyai lesen manual.

3. Kos Peroleh Lesen

Seterusnya, kita bincangkan pula aspek yang mungkin paling penting untuk kebanyakan bakal pemandu ialah, kos untuk memperoleh lesen itu sendiri. 

Secara umumnya, lesen kereta automatik adalah lebih mahal sedikit berbanding kereta manual kerana kos penyelenggaraan kereta automatik adalah lebih tinggi berbanding kereta manual. 

Menurut laman web Carsome, kos untuk memperoleh lesen kereta manual adalah antara RM1,150 hingga RM1,300, manakala untuk kereta manual pula ialah antara RM1,250 hingga RM1,500. 

Jika melihat pada anggaran kos ini, sudah pasti ramai yang beranggapan lebih baik ambil lesen kereta manual. Bukan sahaja lebih murah, malah dengan lesen manual, kenderaan automatik juga boleh dipandu, tidak seperti pemegang lesen kereta automatik yang tidak dibenarkan memandu kereta manual.

Namun, anda juga harus pertimbangkan aspek pertama yang dibincangkan tadi; adakah anda cukup mampu untuk menguasai kemahiran koordinasi fizikal kaki dan tangan untuk memandu kereta manual?

Jika anda rasa tidak mampu, maka ada kebarangkalian yang tinggi anda tidak mampu untuk lulus ujian jalan raya JPJ untuk kali pertama dan anda perlu mengulang ujian tersebut di samping dikenakan bayaran tambahan.

Jika gagal lagi, anda perlu ulang lagi dan bayar lagi. Begitulah ‘ratibannya’ sehinggalah anda lulus, itu pun tidak tahu entah bila. 

Namun, bagi kemahiran memandu kereta automatik, walaupun awalnya mungkin anda terpaksa membayar lebih mahal sedikit, kebarangkalian untuk anda mengulang ujian JPJ adalah lebih rendah kerana memandu kereta automatik itu secara umumnya jauh lebih mudah.

Maka, kebarangkalian untuk anda mengulang ujian JPJ adalah lebih rendah dan anda sudah jimat kos di situ. 

Kesimpulan

Kesimpulannya, apa-apa sahaja lesen memandu yang anda ingin ambil, anda perlu kenal diri anda, baik daripada segi kemampuan fizikal, keperluan anda dan kemampuan kewangan anda. 

Tidak kiralah apa-apa jenis lesen sekalipun, hakikatnya jika anda seorang yang berjiwa kental dan bersemangat untuk belajar, segala-galanya mampu berlaku. 

Namun anda juga haruslah berlaku adil pada diri sendiri dan tidak terlalu menyeksa diri. Jangan terleka pada kemampuan, keperluan dan kos jangka masa pendek sahaja.

Rancanglah kesemuanya untuk jangka masa panjang, agar anda tidak sesali apa-apa sahaja keputusan yang anda lakukan.

Wan Salman Wan Sallam, aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia