Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menggesa pindaan Perlembagaan Persekutuan terhadap Item 1(b) dan 1(c) dalam Bahagian II, Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan perkataan ‘bapa’ kepada ‘ibu atau bapa’ dapat dipercepatkan.
Hal ini bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara tetapi bapa warga asing dapat diiktiraf secara automatik sebagai warganegara.
IKRAM berpendapat bahawa pindaan tersebut adalah mustahak dan perlu dibuat segera selepas keputusan oleh Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos 2022 yang memutuskan bahawa Item 1(b) dan 1(c) dalam Bahagian II, Jadual Kedua, Perlembagaan Persekutuan hanya mengehadkan kewarganegaraan automatik kepada anak yang dilahirkan dalam negara sahaja bagi kes ibu warganegara tetapi bapa warga asing.
Hal ini menyebabkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara tetapi bapa warga asing tidak akan menerima kerakyatan Malaysia secara automatik.
IKRAM memandang bahawa pindaan ini adalah lebih adil, saksama dan rahmah bukan sahaja kepada ibu-ibu yang menghadapi situasi yang serupa, malah turut memberi impak kepada kesejahteraan anak-anak.
Hal ini memandangkan ibu-ibu memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan dan pembesaran anak-anak yang mana akan berlaku banyak kesukaran kepada si ibu untuk membesarkan anak-anak tersebut sekiranya anak-anak tersebut tidak mendapat kerakyatan secara automatik, lebih-lebih lagi jika mereka menetap dan bermastautin di Malaysia.
IKRAM juga melihat bahawa penafian hak warganegara hanya kerana anak tersebut dilahirkan di luar negara dan bapanya adalah merupakan warga asing adalah merupakan satu diskriminasi dan tidak relevan lagi untuk diamalkan dalam dunia globalisasi tanpa sempadan pada masa kini.
IKRAM menyeru kerajaan dan semua ahli Parlimen untuk bersatu hati serta bertindak secara progresif dan proaktif dalam merealisasikan pindaan ini demi membolehkan anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara tetapi bapa warga asing diberi kewarganegaraan secara automatik demi keadilan kepada semua.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia