Dilaporkan baru-baru ini seorang pemilik akaun TikTok popular meninggal dunia (dipercayai mangsa bunuh diri) dalam perjalan ke hospital dari rumahnya selepas dilaporkan menerima komen kebencian (hate comment) bertubi-tubi di media sosial.
Ini adalah suatu yang menyedihkan. Mungkin masih ramai rakyat Malaysia yang meremehkan kekerapan buli siber berlaku di Malaysia dan mungkin juga meremehkan kesan buruknya terhadap individu dan masyarakat.
Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan kedua di Asia dan keenam di dunia pada 2020 bagi perbuatan buli siber dalam kalangan belia.
Rencana ini akan menjawab beberapa isu psikologi berkaitan dengan buli siber.
Buli secara umum menggunakan paksaan, ejekan yang menyakitkan dan ancaman dengan tujuan untuk mendera, menunjukkan dominasi secara agresif, atau untuk menakut-nakutkan.
Ada buli yang berbentuk fizikal iaitu perbuatan menyakiti fizikal mangsa atau merosakkan harta mereka. Ada buli yang berbentuk psikologikal iaitu perbuatan yang disengajakan untuk mendera mental mangsa.
Buli siber pula merujuk kepada penggunaan teknologi digital untuk memudaratkan orang lain dan biasanya melibatkan media sosial di Internet (seperti YouTube, Facebook, Instagram, Twitter, Snapchat dan Tiktok), tapi boleh juga melibatkan telefon bimbit melalui aplikasi chat (seperti SMS, Whatsapp dan Telegram).
Semua jenis buli ada kesan psikologi kepada mangsa, tidak kiralah sama ada buli berbentuk fizikal atau buli berbentuk psikologikal. Tetapi perbuatan buli siber memberi kesan psikologi yang sangat memudaratkan.
Buli Siber Lebih Teruk
Persoalannya, kenapa buli siber memberi kesan psikologi yang lebih teruk?
Sebenarnya, buli tradisional terhad di sekolah atau pejabat sahaja tapi buli siber boleh berlaku bila-bila sahaja; siang atau malam.
Selain itu, buli tradisional diketahui pembulinya, tapi buli siber boleh dilakukan oleh mereka yang tidak dikenali; atau kalau pun pembuli mungkin dikenali di dunia nyata, mereka guna nama samaran hingga tidak dikenali di dunia siber.
Bahkan, buli siber lebih kejam dan tidak terkawal kerana kita sukar untuk mengenal pasti pembuli, ramai yang dunia siber (ratusan atau ribuan) yang menyaksikan mangsa dibuli, dan kata-kata bulian tersebut kekal hingga bertahun, malah berdekad untuk dibaca oleh generasi akan datang.
Buli siber juga ada pelbagai cara untuk dilakukan seperti buli dengan foto yang lebih memudaratkan berbanding buli dengan teks atau panggilan telefon.
Di samping itu, buli siber juga boleh berlaku di media sama ada di media sosial publik, media sosial tertutup ataupun secara ‘PM/DM tepi’ yang menyebabkan mangsa menderita terpaksa mengurus ‘rahsia’ ini seorang diri.
Kesan Psikologi Buli Siber
Ada empat jenis kesan psikologi buli siber kepada mangsa iaitu kesan psiko-emosi, kesan psiko-mental, kesan psiko-tingkah laku dan kesan psiko-fizikal.
Kesan Psiko-emosi
Kesan psiko-emosi 1: Memalukan
Buli siber terasa kekal oleh mangsa buli. Apabila mesej buli dihantar secara dalam talian, ia akan kekal di dunia maya. Ini menyebabkan mangsa merasakan maruah diri terdedah dan dimalukan. Dan emosi ini dirasai oleh mengsa setiap hari.
Ini disebabkan hantaran buli siber tersebar kepada ramai netizen dan berganda jumlahnya dengan pantas. Ini melahirkan rasa malu yang sangat teruk dalam diri mangsa buli siber.
Kesan psiko-emosi 2: Isolasi atau Bersendirian
Buli siber menyebabkan mangsa diasingkan, dikecualikan dan diejek sama ada di sekolah atau pejabat sebab rakan sekolah dan rakan sepejabat turut boleh membacanya.
Kesan isolasi ini lebih teruk dirasakan oleh kanak-kanak dan remaja yang mana persahabatan adalah faktor penting perkembangan yang sihat pada usia ini.
Apabila mangsa buli tiada lagi kawan, ini menambahkan lagi risiko untuk mereka dibuli secara fizikal dan psikologikal.
Tambahan pula, apabila ibu bapa mendapat anak mereka menjadi mangsa buli, ibu bapa dengan secara simplistik meminta anak mereka untuk menyahaktifkan aplikasi berkaitan atau tidak boleh guna gajet langsung.
Tapi, apabila satu-satunya komunikasi anak mangsa buli siber dengan dunia luar telah ‘dirampas’ oleh ibu bapa, kesan isolasi dan bersendirian akan menjadi lebih teruk akibat kesunyian.
Kesan psiko-emosi 3: Marah
Marah adalah kesan emosi paling utama mangsa buli siber diikuti oleh terganggu dan kerisauan, malah ada mangsa yang merancang untuk balas dendam.
Jika emosi marah ini tidak diurus dengan sihat, ia mewujudkan risiko mangsa buli dihukum dan juga risiko mewujudkan pembuli siber baru.
Kesan psiko-emosi 4: Rasa Tiada Daya Kawalan
Mangsa siber buli sukar untuk rasa selamat dan rasa tiada kuasa untuk mengawal puncanya. Ini kerana buli siber boleh menceroboh ke dalam rumah melalui komputer, komputer riba, tablet, dan telefon bimbit.
Oleh itu, mangsa buli siber tiada tempat untuk melarikan diri. Jika sekiranya pembuli siber itu tidak dikenali oleh mangsa, ia akan berisiko melahirkan rasa takut yang bersangatan.
Kesan Psiko-mental
Kesan psiko-mental 1: Depresi (Depression) dan Anziati (Anxiety)
Mangsa buli siber, apabila terlalu lama menghadap kesan emosi buli siber, boleh menjadi lebih teruk dan mengidap penyakit mental seperti kecelaruan depresi major atau kecelaruan kemurungan utama; dan juga kecelaruan anzieti atau kecelaruan keresahan.
Kesan psiko-mental 2: Harga Kendiri (Self-Esteem) Rendah
Apabila dibuli secara siber bertubi-tubi dan berpanjangan, mangsa boleh berasa sangsi terhadap harga kendiri dan rasa diri sebagai manusia yang tidak berguna, lebih-lebih lagi kanak-kanak dan remaja yang sangat memerlukan sahabat pada ketika usia tersebut.
Kesan psiko-mental 3: Masalah Akademik
Mangsa buli siber boleh hilang minat untuk belajar di sekolah, kolej atau universiti. Malah, mungkin ada juga mangsa buli yang sudah dewasa tapi belajar secara sambilan supaya mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik, dan mereka juga boleh hilang minat untuk belajar.
Mereka mungkin mula tidak hadir kelas kerana untuk elak pembuli siber yang berada di tempat belajar; ataupun malu dengan rakan-rakan di tempat belajar yang dapat maklumat tentang mereka sebagai mangsa buli siber secara dalam talian.
Ini menyebabkan risiko gred mangsa menurun dan juga risiko berhenti sekolah, kolej atau universiti, malah tidak mahu lagi meneruskan pengajian.
Kesan psiko-mental 4: Mencederakan diri dan pemikiran bunuh diri
Jika beban emosi dan mental mangsa buli siber sangat berat, boleh juga berlaku mereka akan mencederakan diri sendiri, walaupun tidak berniat untuk membunuh diri.
Di samping itu, boleh juga berlaku mangsa buli siber mempunyai pemikiran bunuh diri yang bertalu-talu dan berisiko untuk benar-benar membunuh diri walaupun sebenarnya mereka tidak mahu membunuh diri.
Percubaan bunuh diri sebenarnya adalah jeritan batin meminta pertolongan daripada orang sekeliling bahawa mangsa sukar untuk melarikan diri daripada pemikiran bunuh diri. Ini adalah kemuncak kekejaman buli siber atau mana-mana bentuk buli sekalipun.
Kesan Psiko-tingkahlaku
Kesan psiko-tingkahlaku yang berasal daripada punca psikologi, walaupun tidak sekompleks kesan psiko-emosi, ia tetap memudaratkan kehidupan mangsa buli siber dan orang yang di sekeliling mereka.
Antaranya, mangsa buli siber berisiko menyalahgunakan rokok, arak dan dadah. Mangsa buli juga berisiko tidak hadir ke sekolah atau sengaja membuat kesalahan disiplin supaya mereka diberhentikan sekolah, serta berisiko membawa senjata ke sekolah.
Kesan Psiko-fizikal
Kesan psiko-fizikal juga yang berasal daripada punca psikologi, walaupun tidak sekompleks kesan psiko-emosi, ia juga memudaratkan kerana ia tidak nampak secara jelas kesan langsung daripada buli siber tapi akan mengganggu kehidupan mangsa buli siber.
Kesannya, mangsa buli siber berisiko menghadapi masalah gastrik seperti sakit perut, muntah-muntah, ulser perut, dan lain-lain simptom fizikal.
Selain itu, mangsa buli siber berisiko untuk hilang selera makan atau makan lebih banyak daripada biasa dan seterusnya berisiko untuk mengidap penyakit mental berkaitan pemakanan seperti anoreksia dan bulimia.
Mangsa buli siber juga berisiko mengalami gangguan tidur, sama ada sukar tidur atau terlalu banyak tidur ataupun mengalami mimpi ngeri berpanjangan.
Kesimpulannya, mangsa buli siber mengalami kesan negatif kekejaman tampak dan tidak tampak dan perlukan program pencegahan, pengawalan dan rawatan yang menyeluruh.
Sebagai bukan penguat kuasa undang-undang, apakah bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada mangsa buli siber?
Peranan Ibu Bapa
Sebagai ibu bapa kepada kanak-kanak atau remaja mangsa buli, mereka perlu mendidik anak untuk tidak memberi apa-apa respons kepada pembuli siber.
Ibu bapa perlu mendidik anak untuk dokumentasi setiap insiden buli siber. Simpan (save) atau tangkap layer (screenshot) mesej, e-mel dan gambar berkaitan dan majukan (forward) kepada ibu bapa untuk direkod.
Ibu bapa perlu melaporkan insiden tersebut kepada pihak sekolah, pihak pejabat pendidikan daerah, dan kalau sangat melampau, laporkan kepada polis.
Di samping itu, ibu bapa perlu menenangkan anak dengan memaklumkan bahawa ibu bapa tidak menyalahkan mereka atas apa yang berlaku. Ibu bapa perlu mencegah anak daripada rasa bencikan diri sendiri hingga dewasa.
Ajaklah anak bersama-sama beribadah, berzikir dan berdoa secara autentik untuk menghadirkan rasa harapan dan kebergantungan yang tinggi kepada Tuhan dalam menghadapi ujian buli siber.
Peranan Mangsa Buli Dewasa
Sebagai orang dewasa yang menjadi mangsa buli, mereka perlu menyimpan rekod semua insiden buli siber sebagai bukti.
Jika siapa pembuli siber diketahui identitinya, mangsa buli siber perlu mencari sumber bantuan yang boleh mengambil tindakan seperti rakan sekerja, pengurus, bahagian sumber manusia, ataupun ahli keluarga yang dihormati dan dipercayai. Ini sekiranya mangsa buli siber berasa sukar untuk membuat tindakan seorang diri.
Jika pembuli siber itu dikenali hanya secara maya, gunakan fungsi ‘hide’, ‘delete’, ‘unfriend’, atau ‘block.’
Cara terbaik menghadapi pembuli siber ialah tidak mengendahkan mereka, tapi jika sekiranya buli siber itu melibatkan ugutan, ia boleh dijadikan kes polis.
Beribadah, berzikir dan berdoa secara autentik untuk menghadirkan rasa harapan dan kebergantungan yang tinggi kepada Tuhan dalam menghadapi ujian buli siber.
Peranan Kita, Masyarakat
Kadang-kadang mangsa buli siber tiada tempat untuk meminta tolong. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita sebagai ahli komuniti, masyarakat (termasuk netizen), dan dan institusi untuk mewujudkan sistem yang boleh menghalang dan menghukum perbuatan buli siber.
Oleh itu, institusi kerajaan, institusi swasta dan badan bukan kerajaan perlu mempermudahkan akses kepada kaunselor, ahli psikologi kaunseling, pekerja sosial dan doktor psikiatri.
Pastikan mangsa merujuk pakar yang betul yang dilatih secara saintifik, beretika dan profesional, bukannya pakar yang palsu sekadar boleh memberi kelegaan sementara tapi berisiko mengalami kemudaratan jangka panjang.
Sebenarnya pembuli siber dahagakan ‘status’ dan ‘pengiktirafan’. Justeru, masyarakat perlu membuat advokasi dan kempen seperti “Jangan layan buli siber,” “Buli siber adalah satu perbuatan jahat” dan/atau “Buli siber datang daripada mereka yang kurang diberi kasih sayang.”
Selain itu, sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu ada prosedur operasi standard (SOP) untuk segera menyiasat dan menghukum pembuli siber tanpa mengira latar belakang dan tanpa perlu menjaga nama baik institusi.
Ini kerana ia adalah kekejaman luar biasa yang tidak tampak dan berlarutan yang akan memudaratkan institusi secara jangka panjang.
Netizen pula secara beramai-ramai perlu memberikan sokongan moral kepada mangsa buli siber di media sosial dan menasihati pembuli siber dengan cara yang baik.
Dalam pada itu, golongan agamawan juga boleh memperhebatkan ceramah dan peringatan tentang dosa membuli secara siber berdasarkan kesan mudaratnya yang sangat melibatkan individu, keluarga dan juga masyarakat.
Peranan Individu Berpotensi Menjadi Pembuli Siber
Apa yang boleh dilakukan oleh mereka yang berpotensi untuk menjadi mangsa buli siber?
Jika kita ingin menulis tentang masalah yang terlalu peribadi, tulislah cerita tersebut di media sosial yang latar privasinya tertutup dan tidak terbuka kepada awam, contohnya akaun Facebook peribadi.
Malah, jika kita ingin menulis di media sosial yang terbuka kepada orang yang tidak dikenali seperti laman Facebook, Instagram, Twitter, TikTok, tulislah tentang sesuatu yang ada telah buat kajian (homework) terlebih dahulu dan elakkan tulisan bernada sindiran yang berisiko mengundang kecaman netizen yang berpotensi menjadi pembuli siber.
Gunakan fungsi ‘hide’, ‘delete’, ‘unfriend’, ‘block’, ‘mute’, ‘report’ dan sebagainya untuk menjaga kesihatan mental kita. Tapi jika wujud unsur ugutan daripada pembuli siber, kita berhak untuk membuat laporan polis.
Penutup
Diharap kita tidak mengambil ringan isu buli siber ini. Pembuli siber wajar dihukum berat walaupun kita menganggap isu yang menjadi punca buli itu adalah remeh.
Mangsa buli siber wajar dipertahankan, disokong dan diberi bantuan walaupun kita menganggap mangsa ada juga sedikit sebanyak kesilapan atau kelemahan.
Kesilapan atau kelemahan itu mungkin bersifat sementara, boleh diperbaiki dengan cara lain, dan tidak wajar dibalas dengan buli siber. Tetapi kesilapan dan kezaliman buli siber adalah berbentuk sikap, yang sukar diubah dan wajar dihukum dengan berat.
Moga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan untuk mencegah, mengurus dan merawat masalah buli siber ini.
Dr Alizi Alias
Pengerusi Psikospiritual IKRAM (P.S.I)
Profesional, Saintifik dan Islamik
Bibliografi:
1. The Psychology of Cyberbullying oleh Arlin Cuncic
2. The Real-Life Effects of Cyberbullying on Children oleh Sherri Gordon
3. Cyber bullying: Causes, Psychological Impact and Remedies oleh Veto Datta