RUU Anti Lompat Parti Diluluskan: Jaminan Undi Rakyat

RUU Anti Lompat Parti Diluluskan: Jaminan Undi Rakyat | IKRAM

Tahukah kita, Akta Anti Lompat Parti pernah menjadi tajuk perbincangan dunia politik negara seawal 1978 lagi?

Perbahasan tersebut timbul semula pada 1992 berikutan tuntutan mahkamah dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang terhadap DUN Kelantan yang meluluskan peruntukan menghalang ADUN bertukar parti.

Namun pada 3 April 1992, Mahkamah Agung memutuskan bahawa keputusan DUN Kelantan diterajui PAS meluluskan enakmen mengharamkan lompat parti adalah tidak berperlembagaan, hinggakan mahkamah memutuskan undang-undang sedemikian melanggar Artikel 10 (1)(c) Perlembagaan kerana ia menjejaskan hak untuk kebebasan berpersatuan.

Tentunya siapa yang makan cili, dia yang terasa pedasnya. Barangkali peribahasa ini sangat sesuai dikaitkan dengan mereka yang pernah lompat parti.

Jika dilihat, para wakil rakyat mula berbahas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti telah mencetuskan perdebatan hangat sidang parlimen.

Kerajaan Keluarga Malaysia telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) antilompat parti semalam, 27 Julai 2022 sepertimana dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pihak pembangkang.

Masa yang diperuntukkan untuk dibahaskan selama 600 minit yang bersamaan 10 jam itu diharapkan dapat diputuskan dengan sokongan yang baik daripada para ahli parlimen.

Jatuhnya Kerajaan Yang Berkuasa

Jika disoroti sejarah, paling tragis ialah apabila berlakunya wakil rakyat yang melompat parti hingga menyebabkan kerajaan negeri jatuh. Sampai bila perkara demikian akan terus berulang?

Antara negeri yang pernah jatuh disebabkan tindakan tidak bijak oleh wakil rakyat tersebut ialah Terengganu (1962), Sarawak (1966), Kelantan (1977), Sabah (1994, 2018 dan 2020), Perak (2009, 2020), Kedah (2020) dan Melaka (2021).

Penat-penat kita sebagai rakyat memilih dan keluar mengundi pada pilihan raya, tetapi hasilnya dikhianati oleh segelintir wakil rakyat yang rakus demi memuaskan kehendak sendiri. Tentunya isu ini sangat menyakitkan bagi rakyat.

Arena politik negara mengalami perubahan besar pada 2018 selepas pemerintahan negara beralih daripada kerajaan 60 tahun Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).

Kemenangan di luar jangka PH dan kejatuhan yang sangat mengejutkan kerajaan yang telah 60 tahun memerintah.

Namun dari satu sisi menariknya, ia menyerlahkan kesuburan demokrasi. Selain itu, ia menampakkan sikap dan tingkah laku sebahagian ahli politik yang kemaruk jawatan seterusnya cuak dan cemas apabila kehilangan kuasa serta kedudukan.

Dan lagi yang tidak disangka, tragedi ‘Langkah Sheraton’ mencetuskan percikan buruk kepada ahli-ahli parlimen yang ‘gila kuasa’ untuk kekal berkuasa seterusnya merampas kerajaan yang dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang diragut pada Februari 2020 oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan bertukar sekali lagi pada Ogos 2021.

Apa yang lucunya, dua kerajaan yang ‘merampas’ kuasa daripada PH, dibentuk bukan melalui PRU, tetapi daripada percaturan politik ‘jelek’ sehingga memaksa Yang di-Pertuan Agong memberikan penyelesaian di luar norma kebiasaan dalam proses pembentukan kerajaan pusat.

Rakyat Hilang Kepercayaan

Sejak 2019 hingga 2021, seramai 36 Ahli Parlimen yang menjadi ‘katak lompat.’ Adakah kita ingin lagi melihat situasi tersebut berterusan terjadi?

Berikutan semua itu, maka hilangnya rasa kepercayaan juga keyakinan rakyat terhadap ahli parlimen yang mengkhianati amanah yang telah diberikan kepada mereka, apatah lagi ahli parlimen yang menjadi barisan kabinet terlibat dalam ‘etika tidak bermoral’ itu.

Apa tidaknya, implikasi jejak langkah kotor itu menjejaskan pentadbiran negara dan negeri di Malaysia.

Di mana kewibawaan dan integriti wakil rakyat yang bertindak demikian tanpa memikirkan dirinya adalah amanah dan pilihan rakyat?

Seantero dapat saksikan bagaimana rakyat seakan dingin dan tidak berminat mengikuti pesta demokrasi yang dibuat dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dilaksanakan di Negeri Sabah, Kedah, Perak dan Melaka?

Apa yang pastinya, apabila kepercayaan dicarik-carik dan dikhianati, ia memberikan impak besar kepada dasar yang dibuat oleh kerajaan, sukar diterima dan menjadi bahan sarkastik.

Hinggakan, apa yang dilaksanakan pihak kerajaan menjadi lelucon, disabotaj, penyebaran berita palsu berleluasa, isu perpaduan kaum yang tidak berkesudahan dan bermacam-macam isu yang terjadi tidak dipeduli.

Kosongkan Kerusi

Setiap ahli parlimen yang dipilih seharusnya bertanggungjawab kepada Parlimen, parti politik yang diwakili ketika dipilih dan juga pengundi yang memilih.

Jika ahli-ahli parlimen tersebut tergerak ingin bertukar parti, memang wajarnya mereka mengosongkan kerusi yang ditandingi. Jika tidak, mereka seharusnya kekal dalam parti yang ditandingi sehingga tamat penggal perkhidmatannya.

Apa pun alasan atau hujah yang mendorong ‘Yang Berhormat-Yang Berhormat’ itu melompat parti, sesungguhnya ia memberikan implikasi yang tidak baik dan merencatkan kestabilan pentadbiran mahupun ekonomi kepada negara dan negeri.

Justeru, dalam sistem pemerintahan berdasarkan kepada pembentukan kerajaan berteraskan bilangan kerusi Parlimen, undang-undang menghalang pertukaran parti penting kerana keputusan pilihan raya boleh digagalkan akibat tindakan melompat parti.

RUU Sebagai Solusi

Ia perlu ditangani dan dikawal oleh undang-undang melalui RUU Anti Lompat Parti ini kerana dengan itu sahaja mampu mengelakkan ‘tragedi’ sebagaimana yang terjadi pada 2020 tidak berulang lagi.

Apa yang menarik lagi rasional, akta ini tentunya mampu menghentikan ‘amalan’ rasuah dalam kalangan wakil rakyat. 

Berikutan itu, undang-undang perlu dikuatkuasakan bagi menghentikan najis rasuah terus berleluasa, menjaga kredibiliti ahli-ahli parlimen serta kepercayaan rakyat. 

Selain itu secara tidak langsung, ia menjadikan Malaysia sebuah negara yang harmoni dan sejahtera tanpa ada pengkhianatan.

Sebelum ini, pihak kerajaan Keluarga Malaysia gagal membentangkan RUU Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat pada mesyuarat penggal kelima sidang parlimen ke-14 yang sedang berlangsung pada Mac lalu.

Pada hari ini, 28 Julai 2022 menjadi sejarah, tahniah kepada 209 orang ahli parlimen yang menyokong RUU Anti Lompat Parti diluluskan di parlimen.

Hidup rakyat!

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia