Rasuah Busters Desak Laksana 6 Tuntutan Politik

Rasuah Busters Desak Laksana 6 Tuntutan Politik | IKRAM

Rasuah adalah fenomena sosial, politik dan ekonomi yang kompleks yang menjejaskan semua negara, juga menghalang kedaulatan undang-undangnya. Ia melemahkan institusi demokrasi, melemahkan ekonomi dan menyumbang kepada ketidakstabilan politik.

Walaupun tiada definisi rasuah yang dipersetujui di peringkat antarabangsa, banyak akta diiktiraf sebagai rasuah. Ia termasuk penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dana awam, campur tangan terhadap sistem keadilan dan penyembunyian keuntungan kewangan daripada dana yang didapatkan.

Menangani rasuah dalam masyarakat dikaitkan dengan promosi integriti individu dan sosial. Banyak situasi seharian mencabar integriti dan pertimbangan moral seperti menggunakan kedudukan untuk memberi seseorang kelebihan yang tidak wajar berbanding orang lain.

Realiti yang seharusnya ada pada diri masyarakat hari ini ialah menzahirkan rasa marah dengan situasi yang makin berleluasa ini.

Aktiviti kesedaran dan program memerangi rasuah perlu diadakan dengan lebih kerap serta terbuka dalam usaha membendung jenayah tersebut yang kini sudah berada di tahap kritikal.

Jenayah Virus Perosak

Rasuah mewakili salah satu bentuk jenayah awam terhadap kekayaan negara dan menyebabkan kebocoran dana awam dengan cara yang menyalahi undang-undang ke dalam poket pelaku rasuah yang membina kekayaan mereka. 

Rasuah itu diibaratkan seperti virus perosak yang memangsakan tadbir urus yang baik dan kehilangan legitimasi politik. Negara musnah dan rakyat dirompak dengan rakusnya.

Realitinya, jika tiada langkah yang diambil untuk menanganinya bagi sektor ekonomi, kesihatan, pekerjaan, pendidikan dan banyak lagi, maka akan ranaplah ketamadunan negara.

Apalagi, frasa ‘cash is king’ tidak mustahil akan menjadi realiti jika ia tidak segera dibendung dengan serius.

Secara mudahnya, setiap kita warganegara Malaysia mempunyai tanggungjawab menjaga nama baik Malaysia dari sudut integriti dan moral tanpa kompromi serta bermaruah, yang mana tradisi ini akan menjadi teladan yang baik kepada generasi seterusnya.

Maka, kita sebagai rakyat perlulah membangunkan sistem nilai dalam legasi Malaysia yang sifar toleransi rasuah dan bebas daripada penyalahgunaan kuasa.

Semakin Membarah

Sebagaimana memetik kata Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub:

“Saya kira rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia semakin berleluasa. Ini adalah ‘open secret.’ Kita tak boleh deny (nafi), ini sedang berlaku secara berleluasa dan impaknya kepada rakyat seperti kita.”

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media ‘Enam Tuntutan Politik’ yang diadakan di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada 20 Julai lalu.

Pasukan #RasuahBusters dan rakan gabungannya sekali lagi tampil mendesak kerajaan dan 220 ahli Parlimen supaya meminda segera undang-undang membabitkan enam tuntutan politik #MalaysiaTanpaRasuah yang dikemukakan mereka pada September 2021.

Pada sidang media yang sama, Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption & Cronyism (C4), Cynthia Gabriel berkata, ia perlu diberi keutamaan dalam usaha memperkasakan dan membebaskan institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya daripada pengaruh politik.

“Kami nak jawapan sebelum pilihan raya macam mana institusi boleh diperkukuhkan lagi. Selain SPRM, institusi yang lain untuk memerangi rasuah ialah Jabatan Pendakwa Raya dan Peguam Negara. Sekarang kita tahu Peguam Negara dan Pendakwa Raya terdiri daripada satu jabatan.

Menurutnya lagi, bagi menjamin keadilan dan meningkatkan kewibawaan, ketiga-tiga institusi ini harus diasingkan dan dibebaskan supaya tidak dipengaruhi badan eksekutif mahupun tekanan politik.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Hj Badlishah Sham Baharin menyeru kepada semua ahli politik dan penggubal undang-undang di parlimen agar mengambil tuntutan akta pembiayaan dana politik ini secara serius.

“Akta pembiayaan dana politik ini, bukanlah untuk menyekat parti politik atau pun ahli politik daripada untuk mendapatkan derma mahupun dana untuk membiayai aktiviti politik mereka. Tetapi ia adalah untuk menuntut ketelusan dan juga pertanggungjawaban, di atas wang atau dana yang telah diperolehi daripada pelbagai pihak.”

Sebagaimana Ketua Pegawai Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) Puan Tricia Yeoh sebutkan, rasuah ini suatu barah.

“Jikalau tidak dibendung, ia boleh meresap melalui dana politik itu, iaitu suatu pihak boleh memberi dana politik, dengan harapan supaya mereka diberikan suatu kelebihan atau suatu kebenaran untuk mengejar impian mereka secara haram.”

Sokong Tuntutan 

Justeru, tegas Badlishah lagi, untuk mengelakkan daripada rasuah ini terus berlaku, dan untuk mengelakkan penderitaan rakyat berlaku lebih dahsyat lagi, maka beliau menyeru rakyat untuk menyokong tuntutan yang dibawakan ini dengan menyegerakan akta pembiayaan dana politik.

“Kita perlukan sokongan daripada pelbagai pihak, terutama rakyat. Jika terjadinya ini, bukan sahaja rakyat terjejas tetapi negara turut terkena tempias.”

“Banyak wang diperlukan untuk membaiki kerosakan yang berlaku daripada kegiatan haram tadi sebagaimana banjir yang berlaku itu, terpaksa menelan belanja berbilion ringgit untuk membaiki kerosakan tersebut.”

Hakikatnya, #RasuahBusters bersama lebih 500 gabungan meneruskan misi membawa transformasi nilai melalui inisiatif politik #MalaysiaTanpaRasuah dengan enam tuntutan yang telah dibentang oleh BERSIH 2.0, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), C4, Transparency International Malaysia (TI-M), IDEAS dan Undi18.

Apatah lagi isu kenaikan harga barang, kemusnahan alam sekitar, ketirisan maklumat, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya terus berleluasa sekali gus memberi impak ketara terhadap ekonomi dan keselamatan negara.

Terdapat enam tuntutan yang dikemukakan, antaranya pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), Akta Dana Politik, Kebebasan Institusi, Akta Anti Lompat Parti, Undi18 dan reformasi parlimen.

Oleh yang demikian, #RasuahBusters memandang berat isu ini dan menegaskan serta mengulangi bahawa pemulihan negara harus bertunjangkan integriti, prinsip ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang melalui kestabilan politik sebagai batu asasnya.

Ayuh, selamatkan Malaysia!

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia