Hidup kita tidak akan pernah sunyi daripada ujian, sama ada ujian kesenangan mahupun ujian kesusahan.
Dalam kalangan rakyat pelbagai latar, ada golongan yang taraf sosioekonominya rendah. Ada pula yang diuji dengan masalah kesihatan.
Tentunya golongan seperti ini perlu dibantu bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup.
Selain cabaran kemiskinan, ada juga golongan yang asalnya berkemampuan tetapi diragut hartanya akibat bencana tertentu.
Banjir, gempa bumi, tsunami, tanah runtuh, kebakaran dan pelbagai lagi bencana boleh menyapa kita pada bila-bila masa yang Allah kehendaki. Golongan ini juga perlu dibantu untuk bangkit semula meneruskan kehidupan.
Siapa sangka, tahun 2020 yang telah lama rakyat Malaysia nantikan merupakan tahun yang amat mencabar. Kehadiran virus COVID-19 bukan sahaja mengancam kesihatan serta nyawa manusia, malah turut merubah lanskap ekonomi seluruh dunia.
Akibatnya, ramai insan yang melangkah ke alam asnaf setelah sumber pendapatan mereka terjejas. Dan kesukaran itu tidak berlalu pergi dengan berakhirnya tahun 2020, malah terus melarat ke tahun 2021.
Namun negara kita amat beruntung kerana warganya amat pemurah. Golongan B40 sentiasa mendapat perhatian untuk dibantu.
Setiap kali berlakunya bencana pula, ramai individu mahupun organisasi turun padang menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat. Bukan sahaja di Malaysia, malah saudara seagama kita di luar negara juga tidak dilupakan.
Kewujudan media sosial dan teknologi penyiaran memudahkan perkongsian aktiviti kemanusiaan. Gambar-gambar dikongsi memperlihatkan penerima tersenyum girang mendapat makanan, pakaian, alatan atau wang ringgit yang diinfakkan.
Akan tetapi, ketika berkongsi kegembiraan membantu insan lain, jangan pula lupa untuk menjaga harga diri mereka.
Kebenaran Bergambar dan Berkongsi Gambar
Perkongsian gambar misi bantuan berkemungkinan telah menjadi satu keperluan untuk melaporkan pengagihan bantuan yang menggunakan dana yang disumbangkan oleh orang ramai.
Ada juga yang berkongsi gambar dan cerita untuk menginspirasi insan lain untuk sama membantu, di samping berkongsi ibrah daripada ujian yang menimpa insan lain.
Akan tetapi, gambar atau video tersebut merakam imej subjek-subjek yang merupakan manusia. Maka wajarlah kita meminta kebenaran terlebih dahulu daripada empunya diri (atau penjaga) sebelum merakamnya.
Lebih baik jika mereka juga diberitahu bahawa mereka berhak menolaknya, tanpa menjejaskan penyampaian bantuan kepada mereka.
Selain itu, wajar juga mendapatkan kebenaran mereka untuk berkongsi gambar, video atau kisah hidup mereka.
Sebagai subjek yang bakal dilihat oleh orang ramai, mereka berhak mengetahui di mana gambar, video dan kisah mereka bakal ditayangkan. Kita tidak tahu sama ada mereka mahu atau tidak, dan selesa atau tidak untuk dipertontonkan.
Penampilan Diri
Andai mereka memberi kebenaran, wajar juga gambar dan video tersebut dirakam secara bermaruah.
Contohnya, dengan memastikan pakaiannya menutup aurat dan postur badan yang sopan (bukan ketika menundukkan badan atau mencangkung contohnya) terutamanya bagi kaum wanita, tidak kira apa jua agama mereka.
Begitu juga dengan kanak-kanak. Walaupun mereka yang belum baligh, belum ditaklifkan dengan dosa mendedahkan aurat, tidak bermakna kita patut merakam mereka tanpa berpakaian yang sesuai. Apatah lagi pada zaman yang mana imej tersebut boleh disalahgunakan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.
Ada antara organisasi kemanusiaan yang mengambil langkah mengaburkan atau menutup imej wajah penerima serta aurat yang terbuka dalam gambar atau video yang dikongsi.
Langkah ini wajar dicontohi. Ia bukan sahaja mengelak aurat mereka dipertontonkan dan disebarluaskan kepada khalayak ramai, malah dapat membantu menjaga air muka mereka.
Sembunyikan Kisah Aib
Akibat kesempitan hidup, sebahagian insan yang teruji ini terjerumus ke kancah jenayah seperti kecurian atau pekerjaan haram.
Kadangkala golongan yang berada di bawah ini juga terdedah kepada ekploitasi, begitu juga dengan keganasan mahupun ketagihan dadah akibat tekanan perasaan yang sukar dibendung.
Bertanya tentang kisah mereka boleh mengundang duka. Biasa sahaja kita lihat mereka menitiskan air mata ketika bercerita.
Jika mereka sendiri yang mula bercerita untuk melepaskan kesengsaraan, tidak mengapa. Sekiranya tidak, mungkin juga kita tidak wajar menyelidik kisah-kisah yang mengaibkan mereka, kerana ia mungkin menambah keparahan luka.
Manusia tidak pernah lari daripada kesilapan. Andai mahu berkongsi iktibar daripada kisah yang mereka ceritakan dengan rela hati, maka sembunyikanlah identiti mereka.
Sekiranya mereka adalah mangsa yang tidak bersalah sekalipun, apa yang mereka lalui mungkin dikaitkan dengan persepsi yang negatif di mata masyarakat.
Peliharalah Harga Diri Mereka
Dalam menyampaikan bantuan, kita tidak mahu mendatangkan kemudaratan, sama ada pada hari ini atau masa hadapan.
Walaupun niat kita menyebarkannya untuk tujuan kebaikan, boleh saja gambar, video atau kisah yang kita kongsikan itu disalahgunakan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.
Pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Anak-anak mereka mungkin diejek kerana miskin. Gambar dan video kanak-kanak boleh disalahgunakan oleh golongan pedofilia.
Mungkin juga mereka dikecam atas kesalahan lalu. Malah maklumat diri mereka boleh membantu orang lain memburu mereka, seperti peminta hutang contohnya. Pintu-pintu ini wajar ditutup serapatnya.
Sungguhpun miskin, sakit ataupun mangsa bencana, mereka tetap seorang manusia yang ada harga diri. Maka hormatilah mereka dan jagalah harga diri mereka.
Hadirkan empati dan lihatlah mereka sebagai diri kita sendiri, yang pasti kita tidak mahu harga diri kita terjejas, terutamanya ketika sedang diuji dengan kesusahan.
Sesungguhnya dunia ini ibarat roda: hari ini kita di atas, akan datang mungkin takdirnya kita pula di bawah. Mudah-mudahan, dengan menjaga harga diri orang lain, harga diri kita juga akan dijaga.