Setelah sekian lama, Universiti Teknologi MARA (UiTM) sentiasa bersedia menerima sejumlah besar pelajar Melayu dan Bumiputera menjadi mahasiswa mereka.
Institusi yang mempunyai kaitan dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) ini dilihat setia membela nasib pelajar kumpulan Bumiputera berkenaan yang selalunya berada dalam kumpulan yang kurang bernasib baik dalam ekonomi.
Maka wajarlah beberapa tindakan dan polisi universiti berkenaan dilaksanakan terhadap mahasiswa mereka. Antaranya yuran pengajian yang jauh lebih murah berbanding Universiti Awam (UA) lain, apatah lagi berbanding institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Selain itu, UiTM juga terkenal dengan polisinya yang sentiasa membantu pelajar yang kurang bernasib baik.
Maka, kalau sekadar tiada komputer riba untuk menjalankan pembelajaran dalam talian, sebenarnya itu bukanlah hal yang luar biasa dan hal yang diabaikan oleh pihak UiTM.
UA biasa pun, kalau kita kemukakan ada isu mahasiswa terlalu miskin hingga tidak mampu beli komputer untuk pembelajaran, pasti akan tolong. Apatah lagi universiti pembela hak Bumiputera seperti UiTM.
Apabila tular satu video rakaman kuliah seorang pensyarah UiTM memaki seorang pelajar hanya kerana tiada komputer riba, hal ini bukan sekadar mengecewakan rakyat malah sudah tentu memalukan UiTM.
Bukan tugas seorang pensyarah untuk menghukum sama ada orang miskin itu malas belajar atau tidak mementingkan pelajaran.
Sebagai seorang pensyarah kontrak bertaraf profesor, beliau sepatutnya mempunyai tahap pemikiran yang lebih kritis untuk memikirkan krisis kemiskinan.
Dia sendiri sudah bertanya tentang pekerjaan bapanya, sudah dijawab bapanya tidak bekerja. Manakala apabila ditanya tentang ibunya pula, sudah dijawab dia sudah tiada ibu, malah dipaksa pula agar kakaknya jual gelang emas untuk beli komputer riba.
Dalam dialog tidak sampai dua minit ini, kita boleh telusuri banyak masalah dalam pemikiran seorang profesor ini.
Pertama, sudah sedia maklum bahawa ayahnya tidak bekerja, kemungkinan besar sudah hilang pekerjaan ketika pandemik, malah ibunya juga sudah tiada. Hal itu sepatutnya sudah cukup untuk menggambarkan betapa miskinnya anak itu. Mana belas kasihan seorang yang bergelar murabbi itu?
Kemudiannya, disuruh pula agar kakaknya menjual gelang emas agar dapat membeli komputer. Mana dia tahu kakaknya ada gelang emas? Pandai-pandai sahaja dia buat sangkaan. Malah kenapa dia perlu menyibuk harta apa yang orang ada atau tidak ada?
Tambahan lagi, dia sebagai seorang profesor yang sudah tentunya sepatutnya tahu tentang spesifikasi minimum komputer berkualiti untuk menjalankan pembelajaran berkualiti dalam talian, bagaimana dia boleh mencadangkan untuk membeli komputer berharga RM800 pada zaman 2020-an?
Jika kita rajin buat penelitian sedikit sebanyak, aplikasi mesyuarat dalam talian yang sering digunakan dalam pembelajaran dalam talian seperti Google Meet, Microsoft Teams, Zoom, dan Webex adalah aplikasi yang menggunakan pemproses komputer (CPU) dalam kapasiti atau peratusan yang tinggi.
Mahu tidak mahu, untuk pembelajaran dalam talian yang cekap, komputer yang digunakan mesti mempunyai pemproses sekurang-kurangnya Intel Core i3 atau AMD Ryzen 3.
Tinjauan kasar mendapati komputer riba yang menggunakan salah satu daripada pemproses ini tidak kurang daripada RM1,500 harganya.
Kita baru bercakap tentang pemproses sahaja. Apa pula ceritanya tentang Internet? Adakah ‘hotspot’ daripada telefon bimbit sudah mencukupi?
Kebanyakan pelajar luar bandar, keluarganya tidak semestinya mampu melanggan Internet fiber rumah berkelajuan tinggi. Jika mampu sekalipun, tidak semestinya semua kampung ada liputan tersebut. Sudahkan kita lupa akan kisah Veveonah?
Selain itu, dalam perbualannya yang mengherdik pelajar itu, dia langsung tidak menawarkan untuk kesnya yang amat menyedihkan untuk dirujuk kepada badan kebajikan universiti.
Dia sendiri sebagai pensyarah bimbang jika nanti dia mahu mengajar pelajarnya perisian Microsoft Excel, pelajar itu tidak mampu melakukannya kerana tiada komputer.
Dia bukan sahaja tidak menawarkan untuk memudah cara masalah pelajar tersebut, malah menghina lagi pelajar itu dengan mengatakan takut-takut pelajar itu jadi ‘dropout’ kerana tidak boleh belajar dengan berkesan.
Sekali lagi diulang, tugas pensyarah itu mudah sahaja. Tiada sesiapa memaksanya untuk membelanjakan pelajar itu sebuah komputer riba dengan duit poketnya sendiri.
Namun sebagai seorang yang berpengalaman luas dengan pelajar, sudah cukup untuk dia mempunyai belas ihsan untuk memudah cara kes pelajar malang tersebut agar dapat dibantu pihak universiti.
Malah, universiti itu bukan universiti biasa-biasa dalam khidmat kebajikannya. UiTM sudah cukup terkenal dengan khidmat kebajikannya kepada mahasiswanya.
Begitulah ironinya apabila pensyarah UiTM sendiri tidak memahami denyut nadi mahasiswa B40 yang menjadi teras perjuangan UiTM.
Mana silapnya dalam hal ini?
Hakikatnya hal ini mudah sahaja. Tidak dinafikan UiTM sentiasa mempunyai mekanismenya sendiri bagi membantu pelajar menjadi kurang bernasib baik.
Malah di mana-mana UA pun, sebenarnya ramai sahaja pensyarah dan staf-staf kebajikan universiti yang sentiasa peka dengan masalah pelajar yang sangat kritikal ini.
Biarlah kes ini menjadi pengecualian kerana ramai lagi pensyarah yang sebenarnya lebih memahami masalah pelajar dan mahu menolongnya.
Wan Salman Wan Sallam ialah aktivis IKRAM Bandar Tun Razak