SERI KEMBANGAN – Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh mengingatkan orang ramai terutamanya penduduk yang berada di kawasan rendah dan berhampiran sungai supaya bersiap siaga menghadapi banjir susulan fasa peralihan monsun yang dijangka bermula pada Isnin sehingga pertengahan Mei ini.
Beliau berkata, kejadian ribut petir dijangka berlaku dan lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
“Risiko kejadian banjir kilat akan meningkat dan sangat bergantung kepada keupayaan sungai, sistem saliran, kolam takungan, pintu air, rumah pam, pam mudah alih dan lain-lain infrastruktur banjir sedia ada,” ujarnya pada satu kenyataan pada Ahad.
Sebagai persiapan, JPS sentiasa melaksanakan operasi dan kerja-kerja penyelenggaraan semua infrastruktur berkenaan secara berkala supaya ia berfungsi dengan baik.
“Ban dan tebing sungai juga sentiasa dipantau rapi untuk memastikan tindakan serta-merta dilaksanakan apabila berlaku kejadian ban pecah atau tebing runtuh.”
Dalam pada itu, JPS turut melaksanakan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang kini telah beroperasi penuh di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Sistem ini meramal dan mengeluarkan amaran banjir untuk membantu pasukan penyelamat banjir serta masyarakat bersiap menghadapi banjir.”
Justeru, orang ramai juga diingatkan untuk tidak membuang sampah merata-rata dan menjaga persekitaran supaya aliran sungai tidak terhalang.
Maklumat hebahan amaran banjir dan status aras air sungai serta kelebatan hujan di seluruh Malaysia boleh diperoleh daripada laman sesawang Public Infobanjir iaitu https://publicinfobanjir.water.gov.my serta aplikasi MyPublicinfoBanjir yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store.