Sesiapa pun tidak mengiktiraf dikotomi tua-muda, apatah lagi menafikan salah satu daripada kedua-duanya itu. Naratif dalam beberapa isu sering dikontroversikan semata-mata untuk menarik perhatian masyarakat akan hal tersebut.
Setiap hari, sejak kebelakangan ini rakyat dihidangkan dengan topik orang muda. Dari satu sisi, ia sesuatu yang positif, apalagi generasi muda itulah yang perlu dinaikkan sedari kini untuk memimpin negara.
Namun, apa yang dilihat seakan mereka yang berusia tidak senang dengan kebangkitan anak muda dalam segala arena, khususnya arena politik tanah air.
Mereka seakan rasa tergugat dek kerana kelantangan dan kewibawaan yang menyerlah dipamerkan golongan ini.
Memang dengan dua pakej itu sahaja sebenarnya belum memadai untuk berkuasa atau memimpin, banyak lagi yang perlu dipelajari dan digali mereka untuk terus ke hadapan.
Namun tidak dinafikan, golongan yang berpengalaman perlulah memberi ruang dan peluang di samping memberikan tunjuk ajar agar mereka lebih berilmu.
Generasi muda ini perlu terus disokong dan didokong agar mereka bersedia dengan penuh ilmu dan semangat untuk memimpin negara ke arah yang lebih baik.
Sejarah telah membuktikan
Ingatkah kita dengan Khalifah Bani Umayyah di Andalusia yang namanya Abdurrahman an-Nasir?
Walaupun masih muda ketika memimpin Andalusia, namun hatinya sudah penuh dengan semangat jihad, kepalanya berisi dengan ilmu-ilmu dan sikapnya dewasa serta meyakinkan.
Beliau lahir semasa kaum Muslimin Andalusia terpecah menjadi tujuh negeri kecil. Api pemberontakan ada di mana-mana, bukan kerana kemiskinan, tetapi kerana ramai yang ingin berebut kekayaan Andalusia yang begitu melimpah.
Namun, begitulah sejarah mencetakkan manusia besar. Ringkasnya, pada usia 22 tahun, tidak ada keluarga Bani Umayyah yang mahu menjadi pemimpin kerana waktu itu kekuasaan Bani Umayyah hanyalah di kota Cordova sahaja dan beberapa desa di sekelilingnya.
Keadaan ketika itu sangat kritikal. Musuh ada di mana-mana dan Cordova ada di tengah-tengah mereka. Di sekitar Cordova, ada negeri-negeri Muslim saling berperang antara satu sama lain.
Di utara pula, ada kerajaan-kerajaan Katolik Navarre, Castilla dan Aragon bersiap sedia menyerang umat Islam dan di selatan, ada api perang yang dinyalakan oleh kerajaan Syiah Fatimiyyah.
Takhta kepimpinan akhirnya diberikan kepada anak muda berusia 22 tahun ini, Abdurrahman an-Nasir. Beliau melihat krisis besar di seluruh mata angin; utara, selatan, timur juga barat.
Berikutan itu, beliau tidak mahu duduk diam dan mengikuti jejak pendahulunya yang salah langkah hingga negerinya kucar-kacir.
Ringkasnya, selama 48 tahun kepimpinan beliau, Andalusia menjadi negeri paling kuat di Eropah. Berbondong-bondong rakyat Perancis, Jerman, Inggeris dan Eropah Utara melanjutkan pengajian di Cordova, Toledo, Sevilla dan Granada.
Apa yang menariknya, Abdurrahman an-Nasir juga membangunkan pusat-pusat kajian dan pendidikan. Semasa kepimpinannya juga, Cordova memiliki 3,000 masjid dan 100,000 bangunan kedai di sekelilingnya.
Kerana apa sampai begitu? Kerana negeri tersebut dipimpin oleh seorang pemuda yang berwibawa, yang sentiasa dalam keadaan aman dan sejahtera.
Tidak perlu takut
Barangkali pemimpin-pemimpin lama di negara ini masih takut dengan kesungguhan anak muda untuk mencorakkan negara, takut mereka naik meneraju kepimpinan negara.
Atau boleh jadi, mereka takut hilangnya kuasa dan tiadalah harta untuk ahli keluarga mahupun kaum kerabatnya?
Dalam pandangan yang luas, seharusnya mereka yang telah lama dalam tampuk kekuasaan ini memberi laluan seluasnya agar negara dipimpin dengan acuan yang lain.
Sedari kecil lagi, muka yang sama saja dilihat pada barisan kepimpinan negara. Cukup-cukuplah untuk terus berkuasa. Sama ada di peringkat negeri dan kerajaan pusat, muka-muka baharu perlu diketengahkan.
Perlu ada perubahan ketara
Apa tidaknya, setelah dua tahun pandemik melanda, apa solusi menyerlah kerajaan kini yang dapat dibanggakan dan dinikmati rakyat jelata?
Siapa tahu, dengan pentadbiran yang lebih berintegriti dan kompetensi daripada muka-muka baharu nanti, ia akan lebih menyerlahkan Malaysia di mata dunia.
Sejarah telah mencatatkan pelbagai kisah orang muda yang memimpin negara hingga ternama seantero dunia.
Generasi yang telah berusia, teruslah mendidik dengan hikmah agar anak-anak muda ini berani bangkit dan meneruskan kepemimpinan negara dengan lebih baik.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah satu lapangan yang bakal mencetuskan perubahan melalui undi-undi anak-anak muda. Adakah implikasi yang ketara ke arah yang lebih baik itu dapat dikecapi, bukan sahaja rakyat Johor tetapi Malaysia?
Tidak terkecuali, kepada rakyat Johor yang layak mengundi, tunaikanlah hak anda untuk memilih dan membuat perubahan. Inilah masanya, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan datang.
Teruslah mendidik masyarakat melaksanakan kewajipan bagi memilih wakil rakyat di kawasan mereka. Bersama bawa Malaysia ke arah yang lebih baik dengan memilih calon yang terbaik, insya-Allah.
Realisasikan kepemimpinan negara yang kompeten dan berintegriti.