Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga sudah tentu mengharapkan kelahiran cahaya mata yang akan menambah erat kasih sayang antara mereka. Setiap anak yang dilahirkan juga membawa makna rezeki yang baik untuk manusia.
Oleh itu, pemberian cahaya mata adalah sebuah penantian yang didambakan. Sejak awal disahkan mengandung lagi, pelbagai persiapan dan persediaan kita lakukan. Semua itu dilakukan atas nama kasih dan sayangnya kita kepada anak yang bakal dilahirkan.
Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah, kedua-dua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR Bukhari)
Berdasarkan hadis ini, peranan ibu bapa adalah sangat besar dan penting bukan sahaja tentang persediaan untuk menyambut kelahiran, bahkan perlu lebih bersedia juga untuk memastikan anak yang dilahirkan nanti diberikan kefahaman Islam yang sebenar, dididik dan ditarbiah mengikut acuan al-Quran dan Sunnah.
Setiap pasangan yang mendambakan anak harus sedar bahawa betapa penting dan besarnya amanah yang akan dipikul kelak dan hal ini akan dipersoalkan oleh Allah pada hari akhirat kelak.
Oleh kerana anak merupakan amanah yang begitu besar, maka ibu bapa perlu bersedia dari sudut mental dan fizikal, juga perlu bersiap sedia menghadapi ujian daripada Allah.
Hal ini kerana, anak-anak merupakan salah satu ujian dalam kehidupan, sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah at-Taghabun: 15)
Anak yang merupakan amanah terbesar ini akan menguji setiap mereka yang bergelar ibu dan bapa dalam usaha mendidik dan mentarbiah anak-anak ini menjadi manusia yang berguna.
Menantikan kelahiran seorang anak, bukan lagi sekadar menentukan baju apa yang hendak dibeli, tetapi lebih besar daripada itu ialah bagaimana anak ini akan dididik, ke mana hala tuju ibu bapa untuk mencorakkan anak ini agar menjadi saham pahala di negeri akhirat kelak.
Dalam usaha untuk mendidik dan mentarbiah, ada beberapa perkara penting yang harus diberikan penekanan dan ini juga adalah tanggungjawab dan peranan yang ibu bapa perlu lunaskan.
Antara perkara terpenting dalam mendidik dan mentarbiah anak, terlebih dahulu kita sebagai ibu bapa wajib mengajar anak-anak supaya mengenal Allah SWT dan Rasulullah SAW. Ajarilah mereka dengan ilmu tauhid, mengenali siapa itu Tuhan dan laranglah mereka daripada melakukan syirik.
Dalam al-Quran, Allah SWT telah merakamkan sebuah nasihat seorang bapa kepada anaknya, yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman: 15)
Mengenal Tuhan adalah asas dan merupakan akar kehidupan sebagai seorang Muslim. Tidak mengenali Tuhan adalah bencana yang paling besar dan hal ini satu kerugian yang tiada tolok bandingnya.
Selain itu, sebagai ibu bapa juga, kita perlu sedar akan betapa pentingnya mendidik anak-anak dengan menanam sifat sentiasa diri diawasi oleh Allah dalam segala hal yang dilakukan, baik secara terangan mahupun secara bersembunyi.
Hal ini penting untuk menjelaskan kepada mereka walau kemana sahaja kita berada, Allah sentiasa melihat dan mengawasi kita. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalas-Nya), kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuan-Nya, lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi.” (Surah Luqman: 16)
Setelah kita mengajar mereka untuk mengenali Allah SWT, para ibu bapa juga seharusnya berpesan kepada anak-anak, mengajar dan membimbing anak-anak supaya mendirikan solat.
Hal ini sangat penting bagi kita untuk mengajar anak-anak tentang solat serta mengajak dan menyuruh mereka menunaikan solat.
Amat sedih dan malangnya pada hari ini, sebahagian ibu bapa sanggup menggerakkan anak-anak mereka pada awal pagi untuk tujuan bersiap ke sekolah, tetapi tidak untuk menyuruh anak-anak menunaikan solat.
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Suruhlah anak-anak kamu solat ketika berumur tujuh tahun dan maka pukullah mereka jika mereka berusia sepuluh tahun (jika mereka sengaja meninggalkan solat), dan pisahkanlah tempat tidur mereka (antara anak lelaki dan perempuan ketika mereka berusia sepuluh tahun).” (HR Abu Daud | Hadis Hasan Sahih)
Para ibu bapa juga seharusnya terlebih dahulu menjadi contoh teladan kepada anak-anak dengan mengajak mereka menunaikan solat, bukan sekadar menyuruh sedangkan kita sendiri pun gagal untuk hal itu.
Solat merupakan tiang agama. Maka jika sesebuah keluarga itu tidak mendirikan solat, maka bererti sudah runtuhlah agama dalam keluarga tersebut.
Selain menerapkan ilmu tauhid, mengajar mereka mendirikan solat, para ibu bapa juga seharusnya menekankan tentang soal pembinaan akhlak sahsiah yang unggul, menerapkan dan menyemai sifat-sifat terpuji seperti jujur, amanah dan menjauhi sifat tercela seperti sombong dan bangga diri.
Sentiasalah berpesan dan mengingatkan anak-anak agar tidak bersikap sombong dan angkuh, sepertimana Luqman berpesan kepada anaknya yang dirakamkan oleh Allah SWT, yang bermaksud:
“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong ; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri”. (Surah Luqman: 18)
Demikian beberapa tanggungjawab dan peranan yang harus dimainkan oleh para ibu bapa. Kita yang bergelar ibu dan bapa seharusnya bermuhasabah dengan apa yang telah kita lakukan untuk mendidik dan mentarbiah anak-anak.
Kita perlu sedar bahawa anak yang menjadi impian dan penantian bagi setiap yang berkeluarga merupakan sebuah amanah yang besar, tidak sekadar anugerah tetapi diberi dengan amanah. Semoga Allah menjadikan kita hamba-Nya yang bertakwa.
Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir JAIPs