Tidak perlu tunggu 100 hari

Pengumuman Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia kesembilan mengenai barisan kabinet kerajaan yang baharu ini tidak menampakkan perubahan yang terlalu ketara. Saiznya masih sama besarnya.

 

Lebih mengecewakan apabila Menteri yang langsung tidak berprestasi tinggi sewaktu kerajan di bawah pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebelum ini, masih terus dikekalkan – ada yang di jawatan yang sama, juga yang bertukar ke jawatan yang lain.

 

Maka, tidak pelik apabila masyarakat memberikan respons bahawa pengumuman kabinet yang baharu ini adalah kerajaan kitar semula. 

 

Melihat kepada barisan kabinet yang diumumkan ini, kita dapat menjangkakan tiada apa-apa perubahan yang cukup signifikan, ketara dan berbeza berbanding dengan apa yang dibuat pada kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini.

 

Namun demikian, pengumuman Perdana Menteri untuk memberikan tempoh 100 hari menilai prestasi ahli kabinet ini sesuatu yang menarik perhatian saya, khususnya bagi sebuah kerajaan yang naik tanpa melalui proses Pilihan Raya Umum.

 

Persoalannya, apakah yang akan dinilai oleh Perdana Menteri pada setiap ahli kabinet yang dilantik oleh beliau? Jika orang itu adalah Menteri Kesihatan, adakah yang akan dinilai itu adalah pada rekod kes yang semakin menurun atau pada rekod vaksinasi yang semakin meningkat?

 

Jika orang itu adalah Menteri Ekonomi, adakah yang diukur itu adalah pada keberhasilan agihan yang dilaksanakan atau peningkatan pendapatan negara? Jika orang itu adalah Menteri Pendidikan, adakah yang dinilai itu prestasi akademik para pelajar atau keberhasilan proses membuka semula sekolah?

 

Pertanyaan yang sama wajar kita tanyakan bagi jawatan yang sangat kritikal seperti Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat serta beberapa kementerian lain.

 

Lanjutan daripada itu, bagaimanakah pula penilaian itu dibuat? Adakah semuanya di tangan Dato’ Seri Ismail Sabri sendiri atau ada jawatankuasa penilaian khusus yang dilantik? Atau, adakah ia bergantung kepada sentimen yang berlegar di media sosial seperti tanda pagar #MuhyiddinOut dan #KerajaanGagal yang pernah tular sebelum ini? 

 

Jika prestasi Menteri itu buruk, adakah Perdana Menteri cukup berani untuk menggantikan atau menurunkan jawatan mereka? Atau, adakah beliau cukup berani menghapuskan jawatan yang tidak berkeperluan khususnya jawatan-jawatan Timbalan Menteri II? Atau adakah akhirnya, ia hanyalah teguran ‘manja’ dalam kenyataan media menyeru para Menteri bersungguh-sungguh buat kerja? 

 

Ini sebahagian pertanyaan-pertanyaan yang wajar untuk kita sampaikan kepada Perdana Menteri apabila beliau sendiri memberikan komitmen untuk menilai prestasi ahli kabinetnya dalam tempoh 100 hari. 

 

Ahli jemaah kabinet yang baharu ini wajib sedar bahawa mereka sedang mengemudi bahtera yang sedang berdepan dengan krisis multidimensi. Maka, gerak kerja perlu cepat dan segera. Mesti ada usaha ‘quick-win’ memberikan respons isu-isu yang sudah timbul sebelum ini namun gagal diselesaikan dengan baik.

 

Mereka juga mesti membentangkan pelan perancangan jangka sederhana dan jangka panjang bagaimana ingin mengeluarkan negara daripada krisis yang sedang menghimpit rakyat. Atau sekurang-kurangnya, mereka memberikan keyakinan dan harapan kepada rakyat bahawa kepimpinan di bawah Perdana Menteri kesembilan ini sedang membawa negara keluar daripada krisis semasa. 

 

Meskipun komitmen yang dinyatakan oleh Perdana Menteri untuk memberikan tempoh 100 hari, saya melihat tidak perlu selama lebih tiga bulan untuk melaksanakan penilaian. Kenapa? Kerana sebahagian besar ahli kabinet yang dilantik adalah mereka yang pernah menjawat jawatan sebagai Menteri sebelum ini.

 

Ketika mereka sanggup untuk menerima jawatan berkenaan, ia menunjukkan kesediaan mereka untuk melakukan kerja berkaitan jawatan berkenaan, bukan saja-saja. Jawatan adalah amanah, bukan anugerah apatah lagi sebagai ‘scheme of things’.

 

Jika tunggu 100 hari untuk dinilai, maka apa yang berlaku selepas Langkah Sheraton hingga meributkan kestabilan negara adalah seperti ‘free ride’ sahaja – yang cukup sia-sia. 

 

Maka, nilailah terus apa yang dilaksanakan oleh Menteri bermula dari hari pertama mereka bekerja. Menipulah jika mereka tidak tahu ingin buat apa dan perlukan masa untuk mendapatkan idea ketika sudah ribuan idea dan saranan telah disampaikan oleh organisasi di luar sana.

 

Tinggal lagi, mereka perlu belajar merendah diri untuk menerima saranan-saranan berkenaan serta melakukan sesi libat urus yang bermakna dan berkesan, juga mereka tidak membuang masa dengan mewujudkan jawatankuasa tertentu untuk memulakan kajian ketika kajian berkenaan sudah dilakukan oleh orang lain. 

 

Pertanyaan terakhir sebagai penutup, adakah Perdana Menteri kita juga sanggup untuk dinilai prestasinya dan berani bertanggungjawab dengan apa-apa hasilnya? 

 

Mohd Hafiz Abd Hamid
Ketua IKRAM Muda
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia