Semenjak pandemik Covid-19 melanda, kita sedar bahawa banyak golongan yang terkesan, bermula daripada kanak-kanak hinggalah golongan dewasa termasuk juga golongan belia dan warga emas. Banyak sektor terjejas teruk termasuklah sektor ekonomi.
Lantaran itu, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah menganjurkan Bicara Bina Negara yang ke-13 (BBN 13) yang bertajuk ‘Menangani Ekonomi Rakyat Dalam Pandemik Covid 19’ untuk membincangkan kesan covid 19 terhadap ekonomi dengan lebih terperinci seterusnya mencari solusi.Â
Forum ini melibatkan dua orang ahli panel iaitu pakar ekonomi, Dr Mohamed Abdul Khalid dan Naib Presiden IKRAM, Ustaz Burhanuddin Lukman merangkap Ketua Pasukan Kemakmuran Ekonomi IKRAM, manakala perunding polisi awam, Mohammad Abdul Hamid bertindak sebagai moderator.
Semakin hari ekonomi rakyat semakin merosot. Ramai yang hilang punca pendapatan secara tiba-tiba. Duit simpanan pula mula berkurang. Kos sara hidup yang tinggi sudah pasti memberikan tekanan yang luar biasa kepada rakyat.
Tahun 2020 telah mencatatkan nilai tertinggi terhadap mereka yang hilang pekerjaan iaitu lebih 800,000. Hal ini disebabkan kebanyakan sektor tidak dapat beroperasi seperti biasa. Hampir 70 peratus mereka yang hilang pekerjaan adalah yang tinggal di bandar.
Malah golongan yang bekerja sendiri seperti peniaga-peniaga kecil atau lebih dikenali golongan ‘makcik Kiah’ merupakan golongan yang paling terkesan. Hal ini kerana, kebanyakan golongan ini tidak membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Oleh hal demikian, apabila mereka hilang punca pendapatan, tiada lagi safety net (jaring keselamatan) yang dapat membantu mereka melainkan simpanan sendiri jika ada. Namun, jika perkara itu tidak berlaku, tekanan pasti menghantui mereka sehari-hari.
Jika ditinjau dari segi purata gaji pula, belum pernah lagi terjadi purata gaji nasional jatuh sebanyak 15 peratus, satu penurunan yang cukup membimbangkan.
Selain itu, gaji untuk golongan orang muda pula jatuh sebanyak 18 peratus manakala gaji untuk para siswazah yang baru menamatkan pengajian pula jatuh sebanyak 25 peratus.
Hakikatnya adalah majoriti rakyat Malaysia terkesan dek pandemik yang melanda. Fakta-fakta di atas adalah bukti betapa terkesannya rakyat Malaysia kerana pandemik ini.
Cukupkah bantuan yang diberikan?
Cukupkah bantuan yang kerajaan beri? Sudah pasti jawapan kepada soalan ini adalah tidak. Menurut Dr Mohamed, jumlah bantuan yang diberikan adalah 83 bilion sahaja.
Menurut beliau lagi, purata bantuan yang diterima oleh golongan makcik Kiah contohnya semenjak Mac 2020 hingga kini adalah sebanyak RM133 sebulan.
RM133 sebulan dalam keadaan sekarang sudah pasti sukar untuk meneruskan kehidupan. Jumlah ini bukan sahaja terlalu sedikit bagi golongan bandar malah golongan luar bandar juga tidak mampu bertahan dengan jumlah yang sebegini.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di Malaysia adalah antara yang paling lama jika dibandingkan dengan negara lain. Namun bantuan kewangan yang diberikan amat menyedihkan.Â
Selain itu, bantuan yang diberikan juga lambat. Rakyat sudah dalam keadaan tertekan yang teramat, kerajaan boleh umumkan bantuan akan sampai dua bulan lagi? Suatu pengumuman yang menyedihkan dan menzalimi rakyat jelata.
Persoalannya, adakah kerajaan hari ini tidak punya wang yang cukup untuk diberikan kepada rakyat yang semakin terhimpit ini? Atau adakah ahli politik kita terlalu ghairah berpolitik sehinggakan tidak dapat fokus terhadap agenda membantu meringankan bebanan rakyat?
Hakikatnya sumber-sumber pendapatan negara masih banyak. Adakah kerajaan seolah-olah tidak tahu untuk mengurus sumber kewangan yang ada, atau telah menggunakan sumber yang ada untuk sesuatu yang tidak penting?Â
Menurut Ustaz Burhanuddin, duit dalam negara masih banyak, namun tidak disalurkan kepada mereka yang memerlukan pada masa ini.
Berhentilah membazir
Menurut Dr Mohamed lagi, kerajaan pada hari ini tidak bijak menguruskan duit yang ada. Pada saat negara dalam keadaan kritikal, duit digunakan untuk kegunaan yang tidak penting sedangkan semua itu boleh diurus dengan baik jika ada koordinasi yang baik dengan semua pihak.
Sebagai contoh, kerajaan membelanjakan duit yang banyak untuk Pusat Pemberian Vaksinasi Negara (PPV) sedangkan duit itu boleh dijimatkan jika hanya menggunakan dewan sekolah yang tidak beroperasi pada waktu sekarang.
Di samping dapat menjimatkan wang yang ada, rakyat juga lebih mudah untuk bergerak ke PPV kerana kebanyakan sekolah adalah berhampiran dengan kawasan perumahan.
Duit yang digunakan untuk PPV itu pula dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan jika kerajaan berhati-hati dalam setiap percaturan.
Sistem cukai yang adil dan cekap
Kerajaan perlu merombak sistem cukai yang ada. Seperti yang kita sedia maklum, terdapat beberapa industri yang tidak terkesan kerana pandemik ini malah dapat membuat keuntungan lebih pula.Â
Ramai pakar ekonomi telah memberi cadangan untuk mengenakan windfall tax kepada syarikat-syarikat besar yang kaya raya. Namun, sehingga ke hari ini kerajaan tidak pernah memberi respons terhadap cadangan ini.
Pada tahun lepas, syarikat Top Glove telah mencatatkan keuntungan luar biasa, namun semua keuntungan itu hanya ‘dinikmati’ oleh Top Glove semata-mata. Masihkah kita mahu kekal dengan mind set pentingkan diri sendiri, biar kenyang perut sendiri sedangkan orang lain menderita?
Pakar-pakar ekonomi percaya, dengan pengenalan windfall tax ini, secara tidak langsung dapat menambahkan pendapatan kerajaan sekali gus kerajaan mampu membantu rakyat dengan lebih banyak lagi.
Cukai yang ada sekarang terlalu mencengkam rakyat. Harga barang menjadi terlalu mahal kerana cukai barang yang dikenakan. Itu belum lagi kita bincang tentang cukai perkhidmatan dan sebagainya.
Kerajaan, berperananlah!
Ustaz Burhanuddin ada menyebut, masyarakat yang terkesan ini perlu dibantu oleh mereka yang tidak terkesan. Menjadi tanggungjawab kita sesama insan untuk terus membantu golongan yang memerlukan.
Inisiatif bendera putih merupakan suatu inisiatif dari rakyat untuk rakyat. Kehadiran inisiatif ini membuktikan bahawa rakyat sentiasa bersedia membantu rakyat dan pertolongan diberikan merentasi kaum dan agama juga fahaman politik.
Apa yang penting pada masa ini adalah semua pihak dapat meneruskan kehidupan walaupun berada dalam situasi yang tertekan.
Namun, sebagai rakyat sudah pasti ternanti-nanti bentuk bantuan yang akan diperuntukkan kerajaan. Malah tugas sebuah kerajaan itu tidak lain tidak bukan adalah untuk membantu meringankan beban rakyat.
Dalam situasi gawat ini, kerajaan harus bijak mencari solusi demi kemaslahatan rakyat. Hentikanlah perebutan jawatan, agenda politik yang tidak memberi sebarang faedah kepada rakyat masa kini.
Pemimpin politik khususnya perlu berusaha keras lagi membantu rakyat, dapatkan data yang komprehensif supaya bantuan bersasar dapat diberikan. Selesaikan isu-isu yang semakin meruncing dan menghimpit rakyat contohnya isu kesihatan dan pendidikan.
Kerajaan juga perlu berani membuat keputusan baru yang lebih menguntungkan rakyat. Usah lagi pentingkan periuk nasi orang lain yang mungkin hanya memberikan keuntungan kepada sebelah pihak sahaja.
Wahai ahli politik, jadilah kalian pemimpin yang amanah dan kompeten, mampu memahami dan menyelesaikan masalah rakyat dengan baik. Rakyat kini memerlukan anda untuk meneruskan kehidupan mereka.
Nur Zahanim Muhammad Zahir
Pegawai Pertubuhan IKRAM Malaysia