SERI KEMBANGAN – Satu sesi ramah mesra secara maya antara pimpinan Pertubuhan Kebajikan Al Qayyim Malaysia (IQ Malaysia) dan pimpinan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) telah berlangsung pada Sabtu, 24 Julai lalu.
“Peluang tersebut digunakan oleh kedua-dua belah pihak untuk memaklumkan tentang status kerjasama yang telah terjalin ini, berbincang dan bertukar-tukar pandangan,” ujar wakil IQ Malaysia.
Dalam pada itu, IQ Malaysia dan cawangan-cawangannya di peringkat negeri telah bekerjasama dengan Aqsa Syarif (agensi di bawah MyCARE) melancarkan Tabung Bantuan Palestin dalam tempoh 10 hari pada 19 Mei hingga 28 Mei lalu.
Sumbangan terkumpul yang dilaporkan bagi tujuan kempen dan tabung tersebut adalah berjumlah RM25,425.
“Semua dana terkumpul juga telah pun diserahkan (dipindahkan) ke akaun bank rasmi MyCARE kesemuanya (100%). Terima kasih pada semua para penyumbang,” jelasnya.
IQ Malaysia juga berharap dengan bantuan kemanusiaan tersebut, pihak MyCARE yang mempunyai pejabat di Gaza dapat menyalurkannya untuk manfaat bumi Palestin.
“Moga kerjasama yang terjalin ini dan akan datang diredai oleh Allah.”
Antara yang turut hadir dalam majlis ringkas ini ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis merangkap Penasihat 1 IQ Malaysia, Sahibus Samahah Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Presiden IQ Malaysia, Prof Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle.
Turut bersama pada sesi tersebut ialah Pengerusi MyCARE, Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dan Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah iaitu Pn Norsham Abu Bakar, Dr Ir Selamat Aliman, Dr Tahir Abd Rahman dan Dr Fauziah Mohd Hasan serta Ketua Pegawai Eksekutif, Kamarul Zaman Shaharul Anwar.
Dalam perkembangan lain, MyCARE turut prihatin untuk membantu ‘frontliners’ dan rakyat Malaysia yang terkesan melalui Tabung Bangkit COVID-19. Bantuan ini merangkumi aspek peralatan, keperluan, makanan dan lain-lain.
Rakyat Malaysia yang prihatin boleh menyalurkan sumbangan bagi tabung tersebut dengan melayari pautan https://mycare.qrd.by/covid.