“Kita Bersama, Susah Senang”
DUNGUN – Hilang pekerjaan di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan seorang ayah buntu untuk mencari punca pendapatan lain demi menyara 4 orang anak yang masih kecil serta seorang bayi yang baru lahir. Dek kerana prihatin dengan masalah yang dihadapi segelintir rakyat di Dungun, Pertubuhan IKRAM Cawangan Dungun (IKRAM Dungun) dengan kerjasama Sekolah Rendah Islam Al Amin Dungun (SRIAAD) telah mengadakan program “Food Bag Drive Thru” dengan tema “Kita Bersama, Susah Senang”.
Program pada fasa 1 ini menjangkau 3 sesi iaitu pada setiap Isnin dan Rabu; bermula 12.7.2021 dan akan berakhir pada 19.7.2021. Sesi pertama telah berjaya diadakan di Pintu Utama SRIAAD dengan menyantuni 40 orang penerima yang terdiri dari ibu tunggal, bapa yang kehilangan sumber pendapatan serta golongan B40 yang terjejas. Sumbangan telah di sampaikan oleh Yang Di Pertua Pertubuhan IKRAM Cawangan Dungun; Haji Ahmad Ibrahim bin Mohamad dan Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Cawangan Dungun; Ustazah Kelsom Ali serta Guru Besar SRIAAD; Cikgu Mazlan bin Mustaffa.
Program kali ini telah mendapat sumbangan wang ringgit daripada ahli IKRAM Dungun dan kenalan warga Dungun; juga dari dalam mahupun luar negara.
Terima kasih kepada semua penyumbang yang prihatin dan pemurah. Semoga dengan bantuan keperluan asas beserta wang tunai dapat meringankan sedikit beban tanggungan semua penerima IKRAM Dungun-SRIAAD Food Bag di musim PKP ini.