KUCHING – Seramai hampir 106 orang pelajar sekolah sekitar Kuching telah menerima cermin mata percuma melalui Majlis Serahan Cermin Mata Percuma, They See, They Learn di Mydin Petrajaya, Kuching, Sarawak pada 6 Oktober 2019 yang lalu. Terdapat 6 buah sekolah terlibat dalam majlis ini iaitu SK Encik Buyong, SK Gersik, SK Matu Baru, SK Astana, SK Pasir Pandak dan SK Combined.
Program ini bertujuan untuk membantu golongan pelajar yang kurang berkemampuan yang mempunyai masalah rabun mata untuk mendapatkan sepasang cermin mata tanpa mengira bangsa dan agama. Menurut Yang Dipertua IKRAM Sarawak, Ustaz Salleh Hamdan, ini merupakan kali ketiga program ini diadakan. Beliau juga berkata, objektif majlis ini ialah untuk membantu pelajar kearah keberkesanan pembelajaran kerana pentingnya penglihatan yang jelas untuk fokus dlm proses pembelajaran.
Majlis ini telah diuruskan oleh Yayasan IKRAM Malaysia Bersama i-Bantu Kuching dan Eyesight Optic. Melalui dana-dana dan hasil sumbangan orang ramai dan individu-individu yang terlibat yang telah diamanahkan kepada Yayasan IKRAM, majlis ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Beberapa jabatan kerajaan juga turut serta untuk menyokong usaha ini.
Semoga dengan penyerahan cermin mata ini memberi manfaat kepada pelajar yang mempunyai masalah rabun mata untuk lebih focus dan berusaha untuk meningkatkan prestasi akademik mereka.