“Hari ini, enam lagi kematian Covid-19 di Hospital Sungai Buloh dan Jabatan Perubatan Forensik terpaksa menyediakan kontena khas bagi tujuan tersebut,” menurut hantaran KKM pada lewat malam Ahad di laman Facebook.
Justeru, satu kontena khas disediakan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh sebagai tempat penyimpanan tambahan individu yang meninggal dunia akibat Covid-19.
“Lebih 80 peratus kes kematian Covid-19 adalah daripada golongan berusia dan menghidap lebih satu penyakit kronik atau komorbiditi, yang mana kebanyakan mereka mendapat jangkitan daripada ahli keluarga terdekat.”
Tambah kementerian itu lagi, masyarakat dinasihati agar terus melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19 untuk melindungi golongan berisiko sekiranya tinggal bersama.
Dalam pada itu, data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan jumlah kumulatif positif Covid-19 di seluruh dunia telah melebihi 162.6 juta kes berikutan lebih 600,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.
Amerika Syarikat masih kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 32.93 juta kes dan diikuti India dengan 24.68 juta kes dan Brazil dengan lebih 15.58 juta kes.
Seterusnya, negara yang melebihi angka 5 juta kes adalah Perancis dan Turki, sementara Rusia, United Kingdom dan Itali melebihi 4 juta kes.
Peru, Indonesia, Afrika Selatan, Belanda, Kanada, Chile dan Romania antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif, manakala negara dalam lingkungan 300,000 hingga 500,000 kes termasuk Malaysia, Slovakia dan Panama.