Buku ‘Adab Penuntut Ilmu’ karangan asal daripada Imam al-Mawardi al-Syafi’i dan diterjemahkan oleh Ustaz Mohammad Syafiq Ismail. Buku ini diekstrak daripada kitab Adab al-Dunya wa al-Din, bahagian penuntut ilmu.
Buku yang agak ringkas dan ringan untuk dibaca namun sarat dengan hadis dan kata-kata hikmah para hukama yang perlu direnungi para penuntut ilmu.
Bahagian awal buku ini menceritakan serba sedikit biografi dan latar belakang kehidupan Imam al-Mawardi kemudian masuk kepada perbincangan utamanya iaitu perihal adab penuntut ilmu.
Antara yang menarik tentang buku ini adalah penterjemah mengekalkan teks asal bahasa Arab dan diikuti terjemahannya selepas itu. Sebagai ringkasan beberapa perbincangan utama daripada buku ini, saya sediakan tujuh poin penting.
1. Merendah dan menghinakan diri dalam menuntut ilmu.
(a) Abdullah bin Abbas RA berkata: “Daku menjadi hina sebagai penuntut ilmu.”
(b) Sebahagian ahli hikmah mengatakan:
مَن لَم يحتَمِلْ ذُلَّ التّعلُّم ساعةً بَقِيَ في الجَهلِ أبداً
“Barang siapa tidak tahan menanggung hinanya menuntut ilmu, meskipun sedetik, kekallah dia dalam hinanya kejahilan selamanya.”
2. Menghargai guru.
ثُمّ لِيَعرِفَ له فَضْل عِلمِه وليشْكر له فِعلهِ
“..kemudian hendaklah dia (penuntut ilmu) membuatnya (guru/alim) tahu akan kemuliaan ilmunya, dan hendaklah dia berterima kasih atas perbuatannya (mengajarkannya).”
3. Tidak menghina guru.
: قال بعض الشعراء
إنّ المُعلّم والطّبيب كِلاهُما…لا ينصحان إذا هما لم يُكرَما
فاصبِر لدَائِك إن أهَنْت طبيبهُ…واصبر لِجَهلِك إن جَفَوت معلّماً
Berkata sebahagian penyair:
“Sesungguhnya guru dan doktor itu kedua-duanya *** Tidak akan melaksanakan kerja dengan baik, sekiranya tidak dimuliakan.”
“Maka bersabarlah menanggung penyakitmu sekiranya dikau menghina doktor *** Dan bersabarlah menanggung kejahilanmu sekiranya dikau bersikap dingin (biadab) kepada guru.”
4. Jangan berasa serba cukup di hadapan guru.
ولاَ يُظهِرُ له الإِستِكفَاء مِنهُ والإِستِغنَاء عَنه
“Jangan sesekali dia (penuntut ilmu) itu menzahirkan sebarang rasa cukup daripadanya (guru, yakni rasa cukup pandai dan tidak perlu lagi kepada belajar daripada guru itu).”
5. Tidak bertaklid buta kepada alim dan guru.
ولا ينبغي للمُتَعلِّم أن يبعَثَه معرفة الحَقّ له على قَبول الشبهة مِنه، ولا يدعُوه تَرْكَ الإعْنَات له على التّقليد فيما أخذ عَنه
“Tidaklah boleh bagi seorang penuntut ilmu, dek kerana didorong sikap ingin tahu akan kebenaran yang ada pada dirinya, untuk menerima syubhah (kesamaran) daripadanya (gurunya). Dan tidak pula kerana (dia) meninggalkan sikap enggan (biadab) kepadanya (gurunya) menjadikannya bertaklid pada seluruh apa yang dipelajarinya.”
6. Banyakkan bertanya perkara yang tidak tahu.
(a) ولَيس كَثْرَة السُّؤال فيما البَس إعناتاً ولا قبول ما صحّ في النّفس تقليداً
“Bukanlah banyak bertanya akan perkara yang tidak jelas itu salah satu daripada bentuk kebiadaban, dan bukan pula penerimaan akan apa yang dinilai benar oleh jiwa itu sebagai taqklid.”
(b) قَد رُوِيَ عن النبيّ أنّه قال : العِلْمُ خزَائِن ومِفتاحُه السُؤال فاسأَلوا
Diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Ilmu itu merupakan peti-peti, kunci-kuncinya pula ialah bertanya, maka bertanyalah.”
(c) إذا كان السؤال في مَوضِعِه أزال الشُّكوكَ ونَفَى الشُّبْهَة
“Sekiranya soalan itu datang pada tempatnya, ia menghapuskan sebarang keraguan dan menghalang daripada seluruh syubhah (kesamaran).”
7. Jangan gopoh dalam menuntut ilmu.
: وقَد قال عليّ بن أبي طَالِب
عُقبَى الأخْرَقِ مُضَرّة والمُستَعَف لا تَدُومُ له مَسَرَّة
Berkata Ali bin Abi Talib RA: “Natijah bagi orang yang tidak mahir ialah kemudaratan. Orang yang gopoh tidak akan gembira lama.”
Muttmaein Zairulshahfuddin
Mahasiswa Universiti Mu’tah, Jordan