Lebih 150,000 kes positif baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam di seluruh dunia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif global menghampiri angka 23.3 juta.
Manakala jumlah kematian pula, lebih 3,000 kes dicatatkan dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan 806,294.
AS merekodkan jumlah tertinggi iaitu 176,645 kematian, diikuti Brazil dan Mexico, masing-masing dengan 114,250 dan 60,254 kematian.
Dua negara merekodkan jumlah kematian melebihi 40,000 iaitu India (56,706) dan United Kingdom (41,515) manakala Itali dan Perancis mencatat angka melebihi 30,000.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berharap agar dunia bebas daripada wabak ini kurang dari 2 tahun atau lebih cepat daripada wabak Selesema Sepanyol yang berlaku pada tahun 1918.
“Kami berharap wabak ini dapat berakhir dalam waktu kurang dari dua tahun,” kata, Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom, ketika sidang media yang didakannya.
Beliau berkata, dunia kini berada dalam situasi genting kerana globalisasi, jarak dan perhubungan yang memungkinkan virus ini menyebar ke seluruh dunia dengan sepantas kilat.
Dalam perkembangan berkaitan, mantan Ketua Penasihat Saintifik United Kingdom (UK), Prof Mark Walport berkata, pandemik COVID-19 akan ada selama-lamanya di dunia ini sekali gus mendorong keperluan mengambil vaksin secara berkala.
“COVID-19 hampir sama dengan virus influenza menyebabkan ia memerlukan inokulasi berulang pada skala global.”
Beliau yang juga anggota Kumpulan Penasihat Ilmiah untuk Kecemasan (Sage) memberitahu, COVID-19 juga tidak akan menjadi penyakit seperti cacar yang dapat dihapuskan dengan menggunakan vaksin.
“Ini adalah virus yang akan selalu ada bersama kita dalam beberapa bentuk atau yang lain dan hampir pasti memerlukan vaksin secara berkala seperti selesema, orang akan memerlukan vaksin secara berkala,” ujarnya.
Menurutnya, kemungkinan virus itu berada dalam keadaan luar kawalan dengan melihat peratusan kes positif terus meningkat.
“Tindakan bersasar akan digunakan sebagai usaha untuk membendung penularan wabak berkenaan,” tegasnya sambil menzahirkan kebimbangan penularan wabak berkenaan.