“Kita tidak mahu ada kluster sekolah. Jadi semua pihak perlu memainkan peranan bagi mengelakkan wujud kluster sekolah,” kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata, kepatuhan kepada apa yang digariskan dalam kebiasaan baharu ini amat perlu.
“Pihak yang berkenaan juga harus melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan pelajar, guru dan mereka yang berkenaan terjamin,” tegasnya.
Seperti yang diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin, murid Tahun 5 dan 6, Tingkatan 1 hingga 4, kelas peralihan dan Tingkatan 6 Semester 1 akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai 2020 dan pelajar sekolah rendah Tahun 1 hingga 4 bermula 22 Julai 2020.
Pembukaan ini juga melibatkan semua institusi pendidikan swasta di bawah kategori pusat berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk pusat tuisyen, pusat bahasa dan pusat perkembangan.
Namun begitu, hanya pelajar Tingkatan 4 dan 6 semester satu yang bersekolah di sekolah berasrama bawah KPM akan kembali bersekolah pada 15 Julai ini.
Pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 yang bersekolah di sekolah berasrama akan memulakan persekolahan pada 3 Ogos dan akan meneruskan pembelajaran berasaskan home-based learning sehingga mereka kembali semula ke sekolah.
Selain itu, KPM bakal mengaplikasikan tiga jenis model operasi persekolahan iaitu Model Satu Sesi, Model Dua Sesi dan Model Penggiliran yang terhad kepada pengajaran dan pembelajaran dan sebarang aktiviti ko-kurikulum adalah tidak dibenarkan.
Model Satu Sesi dilaksanakan untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi setelah mengambil kira penjarakan sosial.
Model Dua Sesi pula ialah untuk sekolah sedia ada yang telah beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi mengambil kira penjarakan sosial.
Sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi untuk dua sesi, akan mengaplikasikan Model Penggiliran.
Model ini menggunakan kaedah pembelajaran murid secara hibrid, iaitu secara bersemuka di sekolah semasa hari persekolahan dan secara home-based learning di rumah untuk hari-hari yang mereka tidak dijadualkan berada di sekolah.
Bagi mengekang penularan COVID-19, KPM turut menyediakan ‘Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah’ sebagai rujukan kepada pegawai bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbir serta guru di sekolah.
Muat turun garis panduan: https://www.moe.gov.my/muat-turun/pekeliling-dan-garis-panduan/3449-garis-panduan-pengurusan-pembukaan-semula-sekolah-4-6-2020/file