Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil maklum keputusan prosiding inkues kematian oleh Hakim Koroner, Rofiah Mohamad terhadap kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) yang telah terkorban akibat insiden di Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 26 November 2018 lepas.
Hakim Koroner telah memutuskan bahawa punca kematian beliau ialah kerana perbuatan jenayah akibat dipukul oleh dua (2) hingga tiga (3) orang yang tidak dapat dikenal pasti dan bukannya kerana kemalangan.
IKRAM mendesak agar pihak polis dapat segera menyambung semula siasatan sepertimana yang pernah diklasifikasikan sebelum ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Kesalahan Membunuh), mengenal pasti suspek-suspek bagi pembunuh-pembunuh Allahyarham Muhammad Adib tersebut, menangkap mereka dan seterusnya dibawa ke muka pengadilan.
IKRAM selanjutnya merakamkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia atas kesabaran menanti prosiding inkues kematian ini tamat tanpa timbul sebarang kejadian yang tidak diingini dan menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan agar proses keadilan selanjutnya dapat berjalan dengan lancar insya-Allah.
Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia