“Terbaru, MyKorban menawarkan korban unta yang akan dilaksanakan di Sudan pada harga RM650 satu bahagian.
“Dan harga terendah yang ditawarkan pada tahun ini ialah korban kerbau yang akan dilaksanakan di Nepal pada harga RM250 satu bahagian,” kata Pengerusi MyCARE, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dalam sidang media Mykorban hari ini.
Program yang memasuki tahun ke-21 itu turut menawarkan korban lembu antaranya di Palestin (RM1,900 satu bahagian) dan korban kambing di Syria (RM1,200 satu bahagian).
Negara-negara lain yang terbabit dalam program ini ialah Myanmar, Filipina, Lubnan, Malaysia, Yaman, Vietnam, Sri Lanka, Kemboja, Somaliland dan Cox’s Bazar (kem pelarian Rohingya di Bangladesh).
“Fokus sasaran penerima daging korban sumbangan peserta negara ini adalah dalam kalangan umat Islam minoriti yang ditindas, pelarian luar dan dalam negara, mangsa bencana, anak-anak yatim dan golongan miskin.
“Pihak kami akan meneruskan tradisi menyampaikan amanah rakyat Malaysia sempena Aidiladha kepada mereka yang memerlukan bantuan antarabangsa,” jelasnya.
Tambah Dr Hafidzi, MyKorban turut menganjurkan program Kembara Korban ke Vietnam dan Nepal untuk memberi peluang kepada para peserta merasai keadaan dan suasana negara tersebut.
“Untuk pakej lima hari dan empat malam ini, peserta kembara akan menyambut Aidiladha di sana dan akan menyaksikan pelaksanaan ibadat korban, melawat tempat bersejarah dan tempat menarik, serta menziarahi orang Islam tempatan,” ujarnya.
Pakej Kembara ke Nepal dan Vietnam masing-masing berharga RM3,500 dan RM2,750 seorang termasuk harga satu bahagian korban.
Turut hadir dalam sidang media ini Pn Kurais Abdullah Karim mewakili Action Caring Team (ACT) dan Bro Abdul Rahim mewakili Allamah Fazlullah Foundation sebagai NGO pelaksana korban di Filipina dan Cox’s Bazar.
Hadir sama Bro Ibrahim mewakili Arakan Rohingya Union (ARU) dan Dr Zeyad Shehada daripada Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM) sebagai NGO pelaksana korban di Myanmar dan Palestin.
MyCARE turut mengumumkan bantuan pembinaan sebanyak sembilan buah telaga tiub untuk penduduk Rohingya di Myanmar.
Mereka yang berminat menyertai MyKorban boleh melayari https://www.billplz.com/mykorban atau melakukan pembayaran ke akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad (Maybank 5642 5856 0698 / Bank Islam 12092 01003 4904).
Untuk maklumat lanjut, sila layari facebook MyKorban atau hubungi 019-2276760.