“Ancaman pornografi sukar disekat kerana segala akses maklumat masa kini berada di hujung jari apatah lagi ia merupakan satu industri yang membawa pulangan besar,” kata Timbalan Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Dr. Hafidzah Mustakim ketika ucaptamanya.
Beliau berkata, ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan pegangan akidah, ibadah dan akhlak yang kukuh supaya menjadi benteng daripada terjebak pengaruh pornografi.
“Pornografi bukan perkara baharu tetapi pada masa dahulu orang mencari bahan atau gambar yang merangsang keinginan seks secara sembunyi tetapi kini bahan lucah amat senang didapati dan ia menjadi ketagihan atau ‘dadah’ milenium baharu.”
Peranan institusi keluarga tegasnya, perlulah membekalkan anak-anak dengan asas agama yang kukuh kerana ia senjata paling utama untuk berhadapan dengan serangan bahan lucah yang mengganas melalui ledakan teknologi Internet dan gajet pintar.
“Majoriti anak-anak terdedah dengan bahan lucah secara tidak sengaja contohnya apabila visual pornografi muncul secara pop-up di permainan yang mereka layari, sehingga mendatangkan kesukaan mereka mencarinya sendiri dan sampai satu tahap mereka membeli bahan lucah kerana sudah ketagih.
“Kita amat mengharapkan ibu bapa menanamkan pada anak-anak bahawa Allah sentiasa memerhati mereka seumpama kamera litar tertutup (CCTV) yang memerhati segala perbuatan mereka 24 jam,” tegas Dr Hafidzah.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Ketua Wanita IKRAM Kelantan, Dr. Norhani Abd. Rani berkata, kempen MAP adalah kesinambungan daripada gerakan Mawar Putih pada 2013 dan Ibu Menentang Pornografi pada 2015 yang bertujuan membanteras pornografi di peringkat akar umbi.
“Ketagihan pornografi di Internet bukan sekadar mengancam individu dewasa tetapi juga kanak-kanak, malah laporan Jabatan Penyiasatan Seksual Bukit Aman menyatakan Malaysia adalah negara yang mempunyai kadar jenayah pornografi yang tinggi membabitkan kanak-kanak.”
Menurutnya, sepanjang tahun lalu hingga awal tahun ini, pihaknya menjalankan hampir 30 program, ceramah dan pameran kesedaran terutama di sekolah bagi membantu guru dan ibu bapa membanteras pornografi.
“Ancaman ini bukan berada di bandar besar seperti Kuala Lumpur sahaja tetapi juga di kampung termasuk negeri ini melalui kemudahan Internet tanpa sempadan.”
Justeru, mana-mana pihak sama ada sekolah, masjid atau institusi yang memerlukan khidmat penerangan dan bengkel MAP boleh menghubungi Dr. Fatimah Az Zahra Dinsuhaimi di talian 017-425 2929.