Almarhum telah pergi menemui Penciptanya pada usia 50 tahun selepas diuji dengan sakit kanser yang dikesan sekitar enam bulan yang lalu.
Almarhum adalah Ahli Dewan Perwakilan Nasional (DPN) IKRAM sesi 2010-2014 serta Timbalan Yang Dipertua IKRAM Wilayah Persekutuan bagi sesi yang sama. Almarhum Akh Roshasni terlibat aktif dalam usaha-usaha dakwah, tarbiah dan kebajikan sejak zaman mudanya.
Almarhum pernah menjawat jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Yang Dipertua JIM Kuala Lumpur serta pernah juga berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi (KPO) Ibu Pejabat JIM.
Almarhum juga pernah terpilih sebagai Naib Presiden Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM) sesi 2014-2017.
Sebenarnya banyak lagi jawatan dan sumbangannya jika hendak disenaraikan semuanya, namun memadailah bagi menunjukkan bahawa Almarhum adalah seorang Mujahid Dakwah yang telah membenarkan kata-katanya.
IKRAM mengucapkan takziah kepada isteri dan keluarga yang ditinggalkan. Kita doakan agar roh Almarhum ditempatkan bersama para syuhada dan solehin.
“Di antara orang-orang mukmin itu ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah untuk berjuang di jalan Allah. Maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu lalu gugur syahid dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah apa yang mereka janjikan itu sedikit pun.” (Al-Ahzab: 23)
Hj Nahar Md Nor
Setiausaha Agung
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Malam Jumaat, 10 Ogos 2017