“Dalam program ini, kami melatih empat asas kemahiran iaitu penulisan, reka bentuk poster, video dan juga asas penggunaan media sosial,” demikian ujar Pengarah Bengkel Media HCF, Puan Siti Hamisah Manan.
Para peserta bengkel telah mendapat pelbagai tip dalam penulisan dan penggunaan media sosial melalui perkongsian penulis, Dr Nur Aisyah Zainordin dan Fatin Syamimy Liyana Badaruddin, CEO Iman Publication.
Mesej Islam kini bukan hanya disampaikan melalui ‘mata bertemu mata’, bahkan kini dakwah boleh disampaikan melalui penulisan yang boleh ditular di media sosial seperti FB, Instagram, Twitter dan lain-lain.
Pereka bentuk grafik HCF, Muhammad Syafiq A Razak pula turut melatih para peserta asas-asas kemahiran reka bentuk poster secara teori dan praktikal. Peserta juga turut dilatih untuk menghasilkan video dakwah yang ringkas.
Menariknya melalui bengkel dua hari ini, para peserta berjaya menghasilkan poster ringkas dan video pendek yang menarik. Setiap poster yang dihasilkan kemudiannya dikongsikan di laman FB Hidayah Centre.
Di samping melahirkan sukarelawan untuk media HCF, bengkel ini juga bertujuan melahirkan insan-insan yang mampu mengisi media atas talian (online) dengan kandungan yang Islamik.
Semoga hasrat HCF untuk menyampaikan dakwah secara maya dapat direalisasikan melalui kumpulan sukarelawan yang dilatih dan dibentuk, insya-Allah.
Foto bengkel: http://bit.ly/2o9PN8J