Unit Psikospiritual IKRAM (PSI) merasa sedih atas kematian seorang bayi berusia dua bulan, Nor Areesa Sofea Jiry pada Sabtu, 4 Februari 2017, seperti yang dilaporkan media massa. PSI ingin mengucapkan takziah kepada ibu serta keluarga bayi. Semoga ibu serta keluarga terus dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang berat ini.
Detik bersalin dan berpantang merupakan detik yang indah dan juga mencabar. Oleh itu, adalah perkara biasa sekiranya seseorang wanita berasa sedikit cemas, cepat marah dan mengalami kecelaruan emosi selepas bersalin (postnatal blues). Selalunya ianya reda sekitar 10 hari kemudian dan tidak memerlukan apa-apa rawatan.
Namun begitu, dianggarkan seorang daripada 1,000 orang wanita selepas bersalin mengalami penyakit mental yang lebih serius. Contoh gejala yang boleh berlaku adalah mendengar suara (yang orang lain tidak dengar), percaya kepada sesuatu yang tidak benar (contohnya: percaya bahawa beliau tidak selamat kerana komplot yang ingin menganiayainya), perubahan emosi yang mendadak, perubahan percakapan daripada biasa (contohnya: menjadi pendiam atau terlebih peramah).
Antara faktor yang menyumbang kepada gejala tersebut adalah perubahan hormon, tidak cukup tidur serta faktor keturunan. Wanita yang mengalami gejala-gejala tersebut perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.
Terdapat rawatan berkesan di mana-mana pusat rawatan yang menyediakan perkhidmatan psikiatri dan/atau psikologi klinikal. Rawatan perlulah holistik dengan mengambil kira kesemua aspek biologi, psikologi, sosial dan spiritual.
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Sahihnya, daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda:
مَا أَنْزَلَ اللهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شفَاءً
“Tidaklah Allah turunkan penyakit kecuali Allah turunkan pula ubatnya.”
Walaupun ruqyah merupakan salah satu kaedah penyembuhan, hadis tersebut menyarankan agar kita mendapatkan apa-apa rawatan yang berkesan. Malah, dalam tamadun Islam, Ishaq ibn Imran, pakar perubatan yang merupakan pakar psikiatri pertama Islam, telah aktif merawat pesakit mental sekitar tahun 224-240H (846-862M). Abu Bakr al-Razi (meninggal 925M), pakar perubatan tersohor dunia pula telah mendirikan pusat rawatan pesakit mental yang awal.
Walaupun kejadian tersebut dikaitkan dengan penyakit mental, PSI ingin menekankan bahawa secara umumnya, hanya segelintir sahaja individu-individu yang mengalami penyakit mental bertindak untuk mencederakan orang lain. Malah, individu-individu yang mengalami penyakit mental lebih cenderung menjadi mangsa kepada keganasan orang lain.
Salah faham ini boleh dikaitkan dengan media massa yang kerap melaporkan kejadian keganasan berkaitan individu-individu yang mengalami penyakit mental. Persepsi ini haruslah diperbetulkan.
Oleh itu, PSI menyeru ahli-ahli IKRAM serta semua rakyat Malaysia agar mengambil berat dalam isu kesihatan mental dengan:
a) menambahkan pengetahuan mengenai kesihatan mental melalui laman sesawang, rujukan dan pakar-pakar yang diyakini;
b) di samping usaha-usaha ruqyah, memastikan anda mendapatkan bantuan profesional/perubatan;
c) memberi sokongan dan menggalakkan saudara dan rakan-rakan untuk mendapat rawatan profesional/perubatan;
d) ibu-ibu Muslim yang berada dalam pantang yang masih belum boleh menyempurnakan solat, amat perlu sentiasa berzikir dan beristighfar. Ini, insya-Allah, membolehkan diri terus hampir dengan Allah ‘azzawajalla dan menjauhkan diri daripada gangguan syaitan.
Panel Pakar
Psikospiritual IKRAM (PSI)