Pengerusi i-Bantu IKRAM JBT, Dr Hishamuddin Alham berkata, bekalan elektrik sudah dipotong sejak bulan September 2015 dan keluarga tersebut dipaksa keluar daripada rumah itu pada hujung bulan ini kerana sudah tiga tahun tidak membayar sewa.
Pada siangnya, adik-beradik ini bermain di luar rumah kerana keadaan panas di dalam rumah. Dalam ziarah beliau pada malam 16 Mac lalu, beliau mendapati hanya kakak yang sulung tinggal dalam rumah berbekalkan lilin, sambil menelaah buku.
“Saya tidak dapat bayangkan jika mereka ini tidak dibantu… mereka akan merempat,” jelasnya.
Beliau seterusnya berbincang dengan tuan rumah agar dibenarkan keluarga ini menetap di rumah itu dengan syarat si bapa yang baru mendapat kerja mula membayar sewa rumah dan i-Bantu JBT membantu melangsaikan tunggakan sewa rumah di samping memulihkan keadaan rumah.
Pada 17 Mac, Dr Hishamuddin yang juga Timbalan Yang Dipertua IKRAM JBT (berbaju kuning) bersama Ustaz Norhisham daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) turut menziarahi bapa kepada enam orang anak tersebut (gambar).
Beliau sangat menghargai dan amat terharu dengan keprihatinan orang ramai kerana dalam masa kurang daripada 24 jam hebahan mengenai keluarga tersebut, lebih RM10,000 sumbangan diterima oleh i-Bantu. Selepas beberapa hari, sumbangan tersebut meningkat kepada RM22,000, melebihi sasaran RM15,000.
Selepas meminjamkan bekalan eletrik darpada jiran untuk sementara dan berbincang dengan tuan rumah, dengan jumlah sumbangan tersebut, i-Bantu JBT kini berhasil membayar tunggakan sewa rumah, bil elektrik dan penyambungannya, menukar pintu beserta cat, membaiki bumbung, mengecat bilik dan bilik air, membeli peti sejuk, katil, tilam baharu dan barangan kecil serta menukar tikar getah.
Menghargai jasa baik tuan rumah, beliau juga memuji orang ramai yang datang untuk menghulurkan bantuan termasuklah wakil daripada Baitulmal Johor Bahru.
“Ada yang beri tilam, katil dan ada yang beri dalam bentuk makanan, para guru anak-anak pun datang bertandang,” ujar Dr Hishamuddin.
Beliau turut menzahirkan komitmen IKRAM JBT untuk mengadakan ziarah seminggu sekali ke rumah tersebut untuk membuat tuisyen, mengajar mengaji dan solat untuk adik-beradik tersebut yang akan dikendalikan oleh anak-anak muda dalam kalangan ahli IKRAM, insya-Allah.
Sumber: FB IKRAM Johor Bahru Tengah