Majlis ini diadakan bertujuan untuk menghargai para penaja yang baru dan lama yang konsisten menaja anak-anak yatim di bawah jagaan MyCARE sama ada anak yatim yang berasal dari Palestin, Iraq mahupun Rohingya.
Seramai 120 orang penaja telah hadir bersama 132 orang anak yatim serta pengiring daripada empat buah madrasah iaitu Darul Hijrah (Gombak), Madrasah Hashimiah, (Selayang), Madrasah Aram (Ampang) Madrasah Muiin (Meru).
Di samping itu, wakil-wakil NGO pelaksana, para sukarelawan serta penaja daripada PCOM, Persatuan Muslimah Krabi, IESCO, Al Ameen Serve, Syarikat Tamek, The Space dan lain-lain turut bersama memeriahkan program.
Antara tetamu, anak yatim yang hadir dan bacaan al-Quran
Majlis dibuka dengan bacaan alunan ayat al-Quran oleh salah seorang anak yatim Rohingya. Seterusnya, Pengerusi MyCARE, Prof. Madaya Dr. Hafidzi Mohd Noor menyampaikan kata-kata aluan dan motivasi serta mengingatkan bahawa Allah s.w.t sangat memuliakan sesiapa yang menyantuni anak yatim.
Sambil menikmati juadah, para penaja dihiburkan dengan persembahan anak-anak yatim Rohingya yang menyanyikan nasyid dalam bahasa Rohingya, berpidato Bahasa Malaysia dan berselawat. Anak-anak muda Stand Up Flashmob (SUF) turut membuat persembahan dengan berlatar belakangkan lagu-lagu keamanan.
Video secara langsung dari Gaza, ucapan Dr Rukhayah dan pemberian bunga untuk para penaja
Seusai itu, para penaja mendapat kesempatan untuk bersama staf MyCARE di Palestin dan anak-anak yatim di sana dalam sesi video secara langsung eksklusif dari Gaza. Majlis juga memberi kesempatan kepada Dr Rukhayah daripada Persatuan Muslimah Krabi yang datang dari Thailand semata-mata untuk memberi ucapan penghargaan kepada MyCARE kerana memberi peluang kepada mereka untuk turut menyumbang dan menaja anak-anak yatim dibawah kelolaan MyCARE.
Pengurus Kanan MyCARE, Pn Roha Hassan telah menerangkan kepada penaja-penaja mengenai program-program dan sumbangan yang telah diamanahkan kepada MyCARE bagi menyantuni anak-anak yatim Palestin, Iraq dan Rohingya sepanjang awal kempen sehingga sekarang.
MyCARE turut merakamkan penghargaan kepada para penaja anak yatim yang hadir dan juga penaja utama majlis, The Space serta Al-Ameen Serve, MyCARE Gombak serta para individu yang dermawan.
Sumber: http://bit.ly/1RngzBG