Wacana MM1: Catatan 4 Januari 2012
1. Sebagaimana yang ikhwah dan akhawat sedia maklum, JIM telah mengadakan PPN-nya yang ‘terakhir’ pada 25 Disember 2011 lepas. Riuh sekejap dalam net apabila TV Al-Hijrah dan Kosmo! buat liputan. Hj Zaid Kamaruddin selaku Presiden JIM telah menyampaikan ucapan dasar beliau yang bertajuk “Syariah Terlaksana Masyarakat Sejahtera”.
2. Antara topik utama yang telah beliau sentuh ialah The Arab Spring dan detik paling istimewa, Malaysia dan Bersih 2.0, asal kita, membawa risalah kepada masyarakat, pengalaman mendampingi masyarakat dan cabaran bagi gerakan dakwah.
3. Setiap satu tajuk tersebut sebenarnya menarik dan merupakan satu wacana tersendiri. Saya bercadang untuk mengupas dua atau tiga tajuk dalam rangka cubaan perkongsian ‘wacana masyarakat madani’ ini dengan harapan boleh menjadi bahan perbincangan dan tindakan, InsyaAllah. Mungkin bersiri, mungkin tidak, bergantung kepada idea dan respons yang datang.
4. Pertama dan untuk kali ini, The Arab Spring dan Detik Paling Istimewa. Tiada siapa yang sangka daripada Asia Barat itu yang lazimnya rejim bersifat diktator dan autokratik boleh lahir perubahan melalui kebangkitan umat. Menurut Hj Zaid, hasil The Arab Spring yang terpenting adalah dalam satu musim umat berjaya mengemukakan pendekatan bertamadun, memperjuangkan maruah dan kebebasan melalui gerakan aman dan bukan keganasan seperti yang mereka gambarkan. Ini intipati kebangkitan walaupun di sana berlaku keganasan dan kekerasan hasil provokasi rejim seperti di Libya, Syria dan Yaman. Perhatikan beberapa kata kunci di sini.
5. Masyarakat pula boleh menerima parti-parti dan kepemimpinan Islam. Kata Hj Zaid, penerimaan masyarakat serta kebijaksanaan kepemimpinan Islam berperanan bersama rakyat telah membersihkan gerakan Islam daripada imej buruk yang mereka palitkan sejak dahulu. Juga perhatikan kata kunci di sini: ”penerimaan masyarakat” dan ”berperanan bersama rakyat”.
6. Kalau dulu, gerakan Islam dikaitkan dengan Al-Qaeda, Ben Laden dan keganasan hinggakan usaha membebaskan bumi Palestin, tidak kira apa Hamas lakukan walaupun melalui proses pilihan raya, ditafsir sebagai keganasan. ”Kini gerakan Islam berada di tempat yang amat baik di dunia Arab. Kini gerakan Islam merupakan wakil ummah, the face of the ummah, tanpa dapat dipertikaikan. Kesannya kepada dunia akan menyerlah di hari mendatang”, menurut Hj Zaid.
7. Malah pada pendapat beliau, umat di sana telah melalui satu detik yang paling istimewa, satu saat yang memecahkan pasung yang memenjara jiwa mereka, satu sentakan yang membebaskan mereka dari perasaan ragu-ragu, bimbang, gusar dan takut. Mereka fikir untuk dapat keredhaan Allah SWT semata.
8. Bukankah ini melayakkannya untuk diwacanakan? Bilakah waktunya Malaysia melalui detik istimewa itu? Cukupkah apa yang kita lakukan hari ini untuk melayakkan kita memperolehi detik istimewa itu? Sebenarnya, memang banyak yang sudah diwacanakan tentang Arab Spring. Dalam Daurah Belia IKRAM Selangor 18 Disember lepas, saya telah mencadangkan forum bertajuk ”The Arab Spring: Apa Peranan Belia?” Terkejut Saudara Sofwan apabila mendengar tajuk tersebut pada mulanya.
9. Saya cadangkan demikian untuk menarik perhatian orang muda di samping sudah tentu untuk mengaitkan pengajaran daripadanya. Dalam pada itu, semasa sesi soal jawab, ternyata ada yang tidak tahu pun apa itu Arab Spring! Mungkin mereka hairan orang Arab mana yang jadi spring… Selepas forum, saya yakin mereka lebih faham.
10. Terlalu banyak pengajaran yang boleh diambil khususnya oleh gerakan Islam seperti IKRAM. Contohnya, peranan gerakan Islam dalam menyelesaikan permasalahan kehidupan masyarakat, kepekaan gerakan Islam dalam isu-isu keadilan dan saksama, pemberdayaan gerakan Islam terhadap golongan belia dan muda serta sikap dan akhlak ahli gerakan Islam yang menjadi contoh teladan.