Selain kehadiran Jawatankuasa Pusat IKRAM, Jawatankuasa IKRAM Selangor dan sekitar 2,000 ahli IKRAM, majlis ini turut dihadiri wakil beberapa NGO seperti Integrated Muslim Associations Network (IMAN) Selangor, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muslim Care, wakil Partai Keadilan Sejahtera (PKS) dan juga ADUN Hulu Klang YB Saari Sungib.
Selain daripada ucapan Presiden IKRAM dan YDP IKRAM Selangor, majlis ini diserikan dengan bacaan syair Arab oleh Syeikh Abu Ammar dan perkongsian Aqsa Syarif oleh Dr Tahir Abd Rahman dan Ar Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf yang menceritakan pengalaman mengharungi konvoi misi kemanusiaan Aqsa2Gaza2 pada bulan Ramadan yang lalu.
Makanan tradisi sempena Aidilfitri telah dihidangkan kepada hadirin seperti sate, nasi impit, soto, rendang, roti jala dan kuih muih. Selain itu, lapan ekor kambing golek yang menjadi menu istimewa turut dihidangkan dalam majlis ini yang dikendalikan oleh pembekal makanan, Syarikat Al-Amin Eduniaga. Kambing-kambing tersebut disumbangkan oleh lapan IKRAM Daerah di negeri Selangor. Sebanyak 300 belon pula habis diedarkan kepada kanak-kanak oleh seorang badut yang sibuk melayan karenah mereka.
Iringan lagu-lagu nasyid dan celoteh DJ Hafiz Bai daripada Alunan Firdausi Entertainment turut menceriakan majlis. Persembahan kumpulan sketsa daripada UPSI juga memeriahkan majlis dengan lakonan bersahaja, menyampaikan mesej positif dan bermakna. Persembahan Muadz turut menarik perhatian dengan lagu-lagu yang dinyanyikan dengan penuh semangat.
Majlis yang bermula 10.00 pagi ini berakhir menjelang Zohor.