Pertama:
Sempena dengan Hari Wanita kali ini, mari kita jadikan sebagai hari memantapkan jatidiri kewanitaan kita. Wanita yang diciptakan oleh Maha Pencipta ‘Azza wa Jalla daripada jasad yang sama dengan lelaki. Diciptakan untuk menjadi pasangan yang serasi, pendamping yang saling kasih mengasihi. Oleh itu, lelaki dan wanita sama taraf. Tiada kelebihan antara satu sama lain kecuali dengan taqwa. Dalam konteks ini, Allah Ta’ala berfirman (maksudnya):
“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.” (An-Nisa’: 124)
“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (An-Nahl: 97)
Kedua:
Hari Raya merupakan anugerah Yang Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya yang berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan. Orang yang berpuasa dengan iman dan ihtisab diampuni dosa-dosanya yang lalu. Lantaran itu Hari Raya puasa dinamakan Hari Raya fitrah, kerana selepas berpuasa, umat Islam seolah-olah kembali kepada fitrah asal, suci daripada dosa laksana bayi yang baru lahir ke dunia. Justeru, Hari Raya adalah hari untuk kita membuka lambaran hidup baru, melangkah dengan penuh yakin, cergas dan pantas melaksanakan tugas dan tanggujawab yang diamanahkan oleh Pencipta ‘Azza wa Jallla kerana diri tidak lagi terbeban memikul dosa-dosa yang berat, yang menggelapkan hati, fikiran dan perasaan.
“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.” (Al-Anfal: 24)
Ketiga:
Hari Kemerdekaan disambut oleh seluruh rakyat di peringkat kebangsaan sempena kebebasan negara dari penjajahan Negara Barat. Namun seorang wanita, khususnya muslimah harus melihat erti kebebasan lebih jauh daripada itu. Kebebasan yang hakiki adalah apabila kita bebas dari segala belenggu perhambaan kepada selain Allah, atau dengan kata lain mengikhlaskan ubudiah (pengabdian) dengan tulus ikhlas hanya kepada-Nya semata-mata.
Saat ini masih banyak perkara yang membelenggu dan membelit diri kita sehingga merencatkan pengabdian kita kepada-Nya. Di kalangan wanita ada yang masih dibelenggu cinta dunia, dikongkong budaya leka, jahil, malas dan berbagai-bagai sifat negatif sehingga membenarkan diri diperguna dan dieksploitasi oleh pelbagai pihak.
Maka sewajarnya kita, kaum wanita mengambil kesempatan dengan hadirnya ketiga-tiga hari yang sangat bererti dan penting ini, untuk mempertingkatkan kesedaran serta komitmen mempertahankan;
1. Jatidiri kewanitaan (menurut kehendak Pencipta ‘Azza wa Jalla);
2. Hak memahami dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab sesuai dengan jatidiri kewanitaan yang selaras dengan syari’at Pencipta;
3. Erti kebebasan atau kemerdekaan sebenar yang merupakan fitrah semula jadi setiap insan.
“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (An-Nisaa’: 1)
Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita IKRAM Pusat