KUALA LUMPUR – Sebanyak 61 badan bukan kerajaan (NGO) daripada pelbagai agama, bangsa dan latar belakang hari ini mencatat sejarah menubuhkan Gabungan Patriotisme dan Perpaduan Kebangsaan (GPPK).
Pengerusi GPPK, Brig Jen (B) Dato’ Mohamed Arshad Raji berkata, NGO-NGO dalam gabungan itu kerana mempunyai tekad dan aspirasi yang sama, iaitu mahu melihat Malaysia serta rakyatnya yang berbilang kaum, budaya dan agama hidup sebagai satu keluarga dengan kesefahaman, kemesraan, harmoni, kasih sayang, toleransi, saling menghormati dan membantu.
“Bukankah ini satu tuntutan dalam perlembagaan, Rukun Negara dan semua agama? Mana mungkin negara boleh maju tanpa perpaduan rakyat,” tegas beliau dalam sidang media GPPK yang bertemakan ‘Gelombang Perpaduan’ di Kelab Diraja Selangor, di sini.
Ujarnya, GPPK akan mengembangkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak dan yakin menerima sambutan dari kedua-dua negeri tersebut.
“Segala program yang bakal dilaksanakan oleh GPPK akan berpandukan prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara dan Perlembagaan,” kata beliau.
Beliau menzahirkan rasa sedih bahawa setelah 66 tahun merdeka, ada yang masih mempersoalkan perbezaan sesama rakyat, terutama mengenai kaum dan agama yang telah dipolitikkan oleh pihak tertentu bagi menguasai tampuk pemerintahan negara.
“Lebih buruk lagi, mereka telah meracuni dan memesongkan pemikiran rakyat dengan dakyah kebencian dan fitnah.”
“Ini adalah penghalang utama bagi penyatuan dan perpaduan rakyat, dan turut memberi kesan negatif terhadap pembangunan sosial dan ekonomi negara,” jelas Dato’ Arshad yang juga Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT).
Bersyukur dengan pembentukan GPPK, beliau menyatakan bahawa gabungan itu akan memberi perhatian kepada anak muda dari pelbagai kaum agar dibentuk bagi menghayati semangat patriotisme dan perpaduan, juga program khusus menyemai sifat tersebut dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti.
Menurutnya, GPPK tidak akan berpihak kepada mana-mana parti-parti politik atau dijadikan alat parti politik.
“Tapi ini tidak bererti bahawa kami akan berdiam diri terhadap apa jua kepincangan politik yang mungkin berlaku akibat fitnah dan hasutan oleh pihak-pihak tertentu,” tambahnya.
Beliau turut melontarkan beberapa syor untuk pihak berwajib antaranya hukuman tegas bendung politik kebencian, program membentuk insan mulia, menentang isu kaum, agama raja dan budaya, serta membentuk rakyat yang sayang kepada negara (patriotisme) dan mencintai perpaduan yang menjadi hasrat utama GPPK.
Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Ir Stanley Yong Yew Wei berkata dalam sidang media tersebut, GPPK akan memulakan program-program perpaduan menerusi advokasi dan pembinaan jambatan-jambatan kukuh yang menjalinkan pelbagai komuniti tempatan.
Tambahnya, GPPK bertindak sebagai satu pentas bagi rakyat jelata di Malaysia untuk memperkuat suara mereka sehingga kedengaran dalam mempromosi keharmonian merentasi kumpulan-kumpulan rakyat majmuk dalam negara.
“Kami memahami bahawa semakin ramai rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat berkehendakkan Malaysia yang lebih baik. Bersama-samalah kita mencari perdamaian demi kebaikan bersama,” jelas Stanley yang juga Timbalan Pengerusi I GPPK..
Selain PATRIOT dan GBM, antara NGO lain yang menganggotai GPPK ialah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), The Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) dan Gabungan NGO-NGO Masyarakat India Malaysia (i25), dengan sokongan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan gerakan Rasuah Busters.
Turut hadir dalam sidang media Presiden IKRAM, Hj Badlishah Sham Baharin, SP Nathan dari i25 dan Timbalan Presiden PATRIOT, Dato’ Zulkifli Mohamed yang bertindak sebagai moderator sidang media, serta wakil-wakil NGO gabungan GPPK.
Hadir sama mewakili IKRAM ialah Timbalan Presiden Jusni Yusoff (Timbalan Pengerusi II GPPK), Setiausaha Agung Hj Shahrul Aman Mohd Saari dan Ahli Jawatankuasa Pusat Dr Hjh Sabariah Baharun.