Tular situasi minggu orientasi di Institut Pengajian Tinggi (IPT) baru-baru ini. Rentetan peristiwa tersebut, orang ramai memberikan pelbagai reaksi dan pendapat.
Situasi yang digambarkan adalah ketidaksesuaian cara pengendalian minggu orientasi tersebut oleh pelajar senior ke atas junior. Khalayak yang bersetuju memberikan reaksi setuju dan menyokong, manakala yang tidak bersetuju telah memberikan reaksi sebaliknya yang menjadi kecoh di media sini dan sana.
Minggu orientasi juga dikenali dengan nama minggu suai kenal, minggu taaruf dan sebagainya. Kebiasaannya dianjurkan pada minggu terawal permulaan semester dan sesi pengajian.
Matlamat umum minggu orientasi ialah sebagai mengalu-alukan pelajar baharu, memberikan panduan umum sesi pengajaran dan pembelajaran dan libat urus dalam hal kehidupan di kampus. Terdapat banyak modul yang diguna pakai dalam merealisasikan objektif ini dan budaya pengendaliannya dilihat unik mengikut IPT.
Dalam dunia media sosial tanpa sempadan, sementelah situasi ini kadang-kadang dengan sengaja atau tidak, mungkin disensasikan bagi urusan keterlihatan.
Penulisan kali ini ingin memberi fokus utama terhadap situasi yang lebih mega berkaitan mahasiswa, bukan sekadar situasi menghadapi dan memberi reaksi terhadap minggu orientasi semata-mata, malah memberi fokus memberdaya mahasiswa berjaya, mahasiswa Mahawangsa!
Mahasiswa Mahawangsa sebagai citra wangsa
Transformasi pendidikan yang berasaskan pemikiran tinggi yang telah diterapkan di peringkat pendidikan asas hinggalah pendidikan tinggi dapat memastikan transformasi negara dapat dicapai oleh negara.
Lantaran itu, universiti berperanan bukan sahaja dalam menyediakan graduan yang kompeten, berinovatif dan memenuhi keperluan pasaran kerja, malah adalah sesuatu yang penting bagi memastikan graduan mempunyai kemahiran dan pengetahuan tentang sekolah kehidupan.
Pembangunan pelajar tidak hanya dilihat kepada pencapaian akademik yang cemerlang, tetapi mempunyai kemahiran dan kualiti yang diperlukan oleh industri dan pasaran pekerjaan. Segala usaha tersebut adalah untuk menerapkan kemahiran tinggi dalam kalangan pelajar, maka perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan di peringkat institusi.
Dari aspek akademik pula, penambahbaikan kurikulum melalui kajian pasaran pekerjaan serta kerjasama dengan industri telah dan sedang giat dilaksanakan.
Manakala perkhidmatan sokongan pembangunan kerjaya juga penting dalam memastikan pelajar dapat menggarap pencapaian akademik dan pembangunan kemahiran tinggi.
Dalam erti kata lain, kelestarian pelajar perlu dilihat secara holistik di samping faktor luaran dan membuat keputusan kerjaya yang menyumbang kepada kepada peningkatan kemahiran tinggi graduan.
Pembangunan dan kelestarian pelajar tidak hanya dilihat kepada pencapaian akademik yang cemerlang, tetapi mempunyai kemahiran dan kualiti yang diperlukan oleh industri, pasaran pekerjaan serta maya kehidupan.
Segala usaha tersebut adalah untuk menerapkan kemahiran tinggi dalam kalangan pelajar, maka perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan di peringkat institusi.
Dari aspek akademik pula, penambahbaikan kurikulum melalui kajian pasaran pekerjaan dan kerjasama dengan industri telah dan sedang giat dilaksanakan.
Manakala perkhidmatan sokongan pembangunan dan kelestarian juga penting dalam memastikan pelajar dapat menggarap pencapaian akademik dan pembangunan kemahiran tinggi.
Dalam erti kata lain, kelestarian pelajar perlu dilihat secara holistik di samping faktor luaran dan membuat keputusan kerjaya yang menyumbang kepada peningkatan kemahiran tinggi graduan dan wawasan kehidupan.
Pengertian dan karakteristik perkembangan Mahasiswa Mahawangsa
Konsep Mahawangsa digunakan oleh Profesor Datuk Dr Awang Sariyan (2020), penyandang Kursi Za’ba Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris Perak, Malaysia bagi menggambarkan holistik, dan di dalam karya agung Merong Mahawangsa bagi menggambarkan keagungan ulama Arab di tanah dan peradaban Melayu Islam.
Mahasiswa Mahawangsa amat penting kerana wawasan kehidupan pada masa kini lebih dinamik dan lebih mementingkan kualiti seseorang mahasiswa. Hal ini terjadi adalah ekoran daripada perubahan persiapan daripada pelbagai aspek perlu dibuat terutamanya kemahiran insaniah dan tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.
Antaranya kemahiran komunikasi secara berkesan dan beberapa kemahiran lain seperti kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, pemikiran kritis, keusahawanan, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat serta etika dan moral profesional.
Cabaran yang lebih besar mahasiswa adalah dalam memahami dan memperkembangkan potensi yang ada pada mereka, mendapatkan kemahiran kerjaya berdasarkan bidang, kemahiran penyelesaian masalah, komunikasi dan membentuk jaringan global.
Sama pentingnya adalah kemahiran ICT, berfikir aras tinggi, bekerja dalam pasukan, komunikasi yang berkesan serta kemahiran mengurus masa.
Generasi Abad ke-22 : Literasi & integriti Islamiah, interpersonal, jaringan (LINTAR)
Untuk menjadi Mahasiswa Mahawangsa, beberapa langkah penting boleh diambil bagi mencapai kecemerlangan akademik, peribadi dan sumbangan kepada masyarakat. Berikut adalah beberapa panduan:
1. Kecemerlangan Akademik: Pastikan anda menumpukan perhatian penuh terhadap pelajaran. Ini termasuk menghadiri kuliah secara konsisten, aktif dalam perbincangan kelas dan berusaha mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Pilih bidang pengajian yang anda minati dan berusaha untuk menjadi pakar dalam bidang tersebut.
2. Aktiviti Kokurikulum: Sertai pelbagai aktiviti yang ditawarkan oleh universiti seperti persatuan pelajar, kelab atau program kesukarelawanan. Ini membantu mengembangkan kemahiran kepimpinan, berkomunikasi dan bekerja dalam pasukan. Penglibatan aktif dalam aktiviti ini menunjukkan dedikasi anda bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga dalam memperkaya pengalaman hidup.
3. Adab dan Akhlak Mulia: Sebagai mahasiswa, penting untuk menjaga adab dan akhlak baik, selaras dengan ajaran Islam. Jadilah contoh kepada rakan-rakan serta masyarakat sekitar dengan berpegang teguh kepada nilai-nilai murni seperti kejujuran, integriti dan kesopanan.
4. Sumbangan kepada Masyarakat: Mahasiswa yang terbaik biasanya adalah individu yang memberikan sumbangan kepada masyarakat. Ambil inisiatif untuk melibatkan diri dalam aktiviti komuniti, menyertai program amal atau memulakan projek yang membawa manfaat kepada orang lain, terutamanya dalam menyebarkan ilmu pengetahuan.
5. Hubungan dengan Pensyarah dan Rakan: Jalin hubungan yang baik dengan pensyarah, kakitangan universiti serta rakan-rakan. Sokongan daripada pensyarah boleh memberi bimbingan yang sangat bernilai dalam kerjaya atau pembelajaran lanjut. Rangkaian yang kuat dengan rakan-rakan pula boleh membuka peluang masa depan yang lebih luas.
6. Mengekalkan Hubungan dengan Universiti Selepas Graduasi: Setelah tamat pengajian, teruskan hubungan dengan universiti. Sertai program alumni dan cari peluang untuk menyumbang semula kepada universiti, sama ada melalui ceramah motivasi, sumbangan idea atau khidmat nasihat kepada pelajar baru.
Dengan mempraktikkan kesemua perkara ini, anda akan menjadi Mahasiswa Mahawangsa yang dihormati, membawa nama baik universiti dan mampu memberikan impak positif kepada masyarakat serta diri sendiri.
Pembangunan dan kelestarian mahasiswa Mahawangsa memerlukan pendekatan perancangan yang bersifat multistrategi. Selama ini perancangan pembangunan dan kelestarian mahasiswa banyak dikaitkan dengan dasar dan keperluan IPT, terutama untuk mengisi proses pembinaan diri (jati diri).
Untuk mencapai cita-cita menjadikan mahasiswa membangun dan lestari, dengan pengertian menjadikan mahasiswa Mahawangsa atau mahasiswa supraholistik, diperlukan pendekatan yang bukan sahaja berpusat (sentripetal) dan bidang pekerjaan, bahkan juga yang berdaya emparan (sentrifugal), iaitu yang memencar keluar daripada batas watan setempat ke lingkungan berkepentingan sepunya – dalam konteks ini, rantau maya kehidupan.
Dr. Rosfazila Abd Rahman
Pensyarah kanan/ Penyelidik/ Ketua Pasca Siswazah
Jabatan Pengajian Ketamadunan & Pembangunan Insan, Fakulti Sains Sosial (FSS)
Universiti Islam Selangor (UIS)
Kredit gambar: SAYS